Tuesday, May 7, 2013

Monolog Jah dan Od (Bab 5)


BAB 5



Monolog Jah
“Eh, coklat siapa pula sesat-barat atas meja aku ni?” Pagi-pagi lagi omelanku sudah teraktif. Ketika tanganku membelek sepapan coklat bersaiz besar itu, mataku juga serentak meliar ke sana sini, tercari-cari gerangan makhluk empunya coklat tersebut.
“Coklat kau ke Tina?” soalku pada Tina yang baru memulakan sesi pengemasan meja kerjanya yang jerongkang-korang. Tina kerling aku sesaat dua, kemudian menggeleng laju.
“Muss, kau punya?” Soalan yang sama aku tujukan pada Muss, pereka grafik di pejabat aku.
“Aku tak minat coklat. Makan coklat nanti kena kencing manis.” Muss buat muka selamba saat melontarkan ayat-ayat dari mulutnya.
“Ini dark chocolatelah. Kurang gula. Err... kau tak suka. Tapi kau belanja aku, kan?” tekaku.
“Daripada aku kasi kau, baik aku kasi tunang aku.” Sengihan Muss terserlah secara drastik. Aku angkat kening sebelah.
Sebentar kemudian pintu pejabat terkuak. Lina memunculkan diri dari balik pintu. Muka manisnya bertambah manis apabila dia menyedekahkan senyuman yang juga manis padaku. Ya, aku yakin coklat itu oleh-oleh Lina. Lina yang meletakkan coklat itu di meja aku kerana dia baru balik dari Langkawi. Pasti! Sesiapa yang balik dari Langkawi, coklat adalah oleh-oleh wajib untuk seluruh suku-sakat dan kroni-kroni.
“Kenapa?” Kali ini aku pula ditanya orang. Mungkin Lina dilanda wabak hairan apabila hari ini aku menyambut keberangkatan tiba dirinya dengan pandangan yang pelik.
“Err... terima kasih ya bagi ini.” Namun ucapanku membuatkan kening Lina terkerut-kerut secara mendadak. Coklat itu aku angkat agar dia faham maksudku.
“Aku belum bagi apa-apa lagi. Macam mana kau dah terima pula?” Semakin menjadi-jadi kerutan kening Lina. Kelajuan denyut jantungku semakin meningkat selepas Lina menamatkan kata-katanya. Misteri sungguh!
“Lagipun, coklat yang aku nak beri untuk semua bukan macam tu...” Muncung Lina memuncung ke arah coklat yang berada di tanganku, kemudian mengeluarkan dua peket besar coklat mini dari beg kertas yang dijinjitnya. “Tapi macam ni,” katanya.
Penafian-penafian yang dilakukan oleh rakan-rakan sepejabat semakin membuat aku saspens. Od? Tak mungkin! Mana boleh sewenang-wenangnya manusia berstatus bukan staf masuk ke pejabat ini. Lagipun Od semakin ‘jauh’ dari aku walaupun kami semakin dekat.
“Dah memang kat meja kau, kau punyalah tu.” Dengan mudahnya Tina membuat kesimpulan.
Aku belek coklat papan bersaiz besar itu. Siapa yang beri? Macam tahu-tahu saja aku pencinta tahap langit ketujuh akan coklat gelap dengan campuran kekacang nan rangup. Bukan calang-calang coklat yang berada dalam genggaman aku. Coklat import Mak Jemah oi! Made in Belgium. 80% coklat tulen.
“Erk... Jai! Ini coklat kau ke?” soalku pada Jai selepas Mamat tu keluar dari bilik air. Namun Jai hanya tunduk tanpa memandang muka aku. Cepat-cepat beliau menggeleng dan hayunan kakinya menjadi pantas pula. Kecewa juga aku dengan aksi-aksi yang ditunjukkan Jai.
“Ambil sajalah. Rezeki kau tu.” Kening Lina terjongket-jongket. “Kalau kau tak nak, aku nak!” Tetiba coklat kualiti premium lagi mahal itu disambar Lina. “Huyohhh! Coklat mahal ni.” Tetiba juga Lina menonjolkan kekagumannya.
“Ambillah kalau kau nak,” kataku sambil duduk. Aku pun tiada keberanian untuk merasa nikmatnya coklat gelap berkualiti premium itu kalau makhluk yang memberinya masih tidak dapat dikesan.
“Betul ke ni?” Biji mata Lina bulat sempurna memandang aku.
“Hmmm... ambillah,” kataku sambil gigih mengibas-ngibas debu yang bertenggek tanpa segan silu di mejaku.
“Terima kasih!” Jeritan kecil Lina terlompat melepasi bibirnya. Girang gembira sangat dapat coklat mahal. Walhal diri sendiri sudah semestinya memborong coklat macam nak sawan di Langkawi.
“Kau sibuk-sibukkan coklat misteri kat meja Deeja tu, apa cerita pula coklat-coklat yang kau bawa tadi?” Ayat-ayat yang meluncur laju dari mulut Tina umpama tamparan ghaib yang membuatkan Lina terkesima barang dua tiga saat.
“Ha’ah, aku terlupa.” Lina tergelak. “Maklumlah, coklat misteri ni lebih mahal daripada coklat-coklat dari Langkawi yang aku bawa ni.” Tanpa membazirkan masa, Lina mengagihkan coklat-coklat yang dibawanya kepada semua orang.
“Untuk kau, aku kasi lebih sebagai tukaran kepada coklat mahal ni.” Dengan seronoknya Lina menyauk dua tiga genggam coklat untuk aku.  Semestinya makan coklat pemberian Lina jauh lebih nikmat dan tenang berbanding makan coklat gelap kualiti premium yang entah dari mana munculnya. Seram weh!
“Amboi, makan coklat mahal tak mahu ajak orang. Minta separuh!” Tangan Johan terhulur betul-betul depan batang hidung Lina. Tidak lama kemudian, Tina juga turut berkecimpung dalam acara menghabislicinkan coklat mahal yang sesat di meja aku tadi. Walaupun hati geram dengan coklat mahal tersebut, namun demi melindungi diri daripada sebarang anasir-anasir yang tidak diingini, maka dengan terpaksa aku melarang keras coklat itu meluncur ke dalam tembolokku walaupun cuma sebesar atom.
“Deeja, aku rasa ada orang minat kau di pejabat ni. Tentu orang tu yang hadiahkan coklat ni kat kau. Siapa lagi yang tahu kau hantu coklat hitam kalau bukan budak-budak pejabat ni juga?” Teori yang dihasilkan Tina menyebabkan detak jantungku menjadi tidak keruan ritmanya.
“Betul!” Nampaknya teori Tina mendapat sokongan padu daripada Johan dan Lina.
“Merepek!” sanggahku dalam masa yang sama berusaha menyedapkan hati sendiri. Ah, sudah! Ini yang buat aku serba-serbi tak kena di pejabat ini. Macam mana aku nak buat kerja? Macam mana aku nak berjalan? Macam mana aku nak berinteraksi dengan semua orang? Tidak! Tidak!
Pagi-pagi lagi aku dah mula rasa tertekan.

Monolog Od

Aku pandang langit dengan diameter kelopak mata yang mengecil secara auto. Jelas matahari tegak di atas ubun-ubun. Panas membahang. Yati, Ijam dan aku diarahkan keluar membuat kajian ke kedai-kedai buku tengah hari ini. Tengah-tengah hari nan panas begini? Haih, setakat kerja di dalam aircond, apalah yang payahnya? Di kampung dulu, setakat membajak bendang seekar tengah-tengah panas pun abah aku buat dengan selambanya. Setakat mengangkat guni padi sampai berkilat dahi pun, abah buat sambil bersedekah senyum. Inikan pula aku yang kena buat kerja di tempat sejuk? Err... ya, abah yang buat kerja tengah-tengah panas. Aku duduk depan komputer riba saja. Sesekali saja aku datang tolong abah apabila segala job selamat tiba di dalam kotak e-mel client.
Ijam bersiap siaga di dalam keretanya. Enjin sudah menderum, lagu pun sudah menggegar-gegar gegendang telinga. Yati yang sejak tadi menjadikan tablet sebagai kawan karib pun dah mula menguak pintu kereta Ijam. Hanya aku yang masih terkedu-kedu di tangga pejabat dek hawa panas masa kini.
“Od!”
Tetiba ada satu suara milik makhluk berjantina perempuan memanggil namaku. Aku menoleh ke arah datangnya suara itu. Jelas Jah melambai-lambai ke arahku sambil menyedekahkan senyumanan.
“Od, cepatlah! Apa yang kau tercegat lagi tu?” Laungan Ijam dari tingkap kereta yang terbuka mengambil alih perhatian aku.
“Hah, yalah! Yalah!” Aku terkocoh-kocoh memasukkan diri ke dalam kereta Ijam tanpa terfikir untuk membalas lambaian Jah. Sebaik saja pintu kereta ditutup, Ijam terus memecut keretanya.
“Aku dah kelaparan. Pagi tadi tak sempat sarapan. Mesyuarat dengan ilustrator sampai tengah hari. Cuma sempat minum kopi semalam punya.” Kata-kata Ijam terhasil selepas keretanya bergerak. “Aku nak minta tolong kau sikit, Od. Boleh?” tanya Ijam.
Keningku terjongket sebagai isyarat tanya, ‘apa dia?’ kepada Ijam.
“Kumpulkan hasil survey dan kajian kita nanti ya. Mudah aku nak buat pembentangan dalam mesyuarat lusa.” Dahi Ijam berkerut-kerut. Selaku ketua unit, kepala otak dialah yang paling penat bekerja demi menzahirkan idea-idea di luar kotak, unik atau lain dari yang lain yang kami jana bersama.
“Beres!” Aku angguk.
Sejak sebulan lalu, aku dengan jayanya sudah beradaptasi dengan keadaan, suasana dan individu-individu yang bekerja di pejabatku. Syukur, tiada sebarang masalah. Dari hari ke hari semakin serasi dengan jiwa ini. Pergi kerja tak perlu pakai kemeja, slack atau tali leher. Ikut suka sesedap rasa nak pakai apa. Yang penting mesti berbaju. Kalau datang tak berbaju, maka tanpa segan silunya akan adalah manusia yang membuat panggilan minta dihantarkan sepasukan polis dan ambulan, siap dengan ubat penenang dan baju pasung. Kemudian, adalah manusia yang akan menghuni hospital bahagia dengan bahagianya juga.
Datang kerja pun tak perlukan perakam waktu. Ikut suka sesedap rasa nak datang pukul berapa. Kalau ada yang terlajak bangun pukul sebelas pun tak kisah. Janji datang bekerja di pejabat selama lapan jam. Kalau datang pukul dua belas, pukul lapan malam nantilah kau balik. Janji kerja beres. Semuanya anjal. Hanya kulit aku saja yang makin lama makin hilang keanjalannya. Harus melabur duit demi mendapatkan produk kecantikan macam dalam iklan TV tu. Anti penuaan katanya. Huuu!
  Setiap minggu akan ada penganjuran acara makan-makan di pejabat kami. Maka berpotlucklah kami. Bagi yang bujang macam aku, beli saja kuih-kuih Mak Cik Nasi Lemak warung bawah pokok tempat kami selalu makan tu. Tak pun, Kak Soya akan dimangsakan untuk memasak. Aku pun kena jaga air mukaku yang kacak ni juga. Takkan nak bawa perut saja?
Ya, inilah tempat kerja yang membahagiakan aku buat masa ini.
Getaran telefon bimbit menggugat lamunan. Oh, tetiba teringat pada Jah. Sebaik kutoleh belakang, baru sedar kereta Ijam dah sampai entah ke mana-mana. Mamai betul aku. Telefon yang bergetar aku ambil. Julie!
Pelebaran bibir terjadi secara mendadak. Julie hantar gambarnya sedang makan keropok lekor rebus. Nak jaga badan katanya. Makanan goreng-goreng dilarang sama sekali berada dalam senarai menu hariannya.
Dua tiga menjak ini kami berdua saling berbalas-balas gambar, mengemas kini situasi masing-masing. Angau? Hmmm... entahlah. Yang pasti, seronok. Dengan yang dulu-dulu pun macam ni juga. Mungkin perkataan yang paling sesuai untuk situasi terkini aku dengan Julie adalah ‘mengenal’. Ya, mengenali sesama sendiri dengan lebih mendalam. Buat masa ini memang kami serasi. Namun belum ada bunga-bunga untuk mengadakan sebarang sesi perjumpaan. Kami tetap mengatakan, ‘nanti dulu’.
“Abang Od sengih-sengih sendiri tu kenapa?” Yati mengutarakan soalan.
“Eh, mana ada.” Aku tak sempat menyorokkan sengih yang terserlah daripada fokus mata Yati.
“Kau angau ke?” soal Ijam.
Aweklah tu.” Ada usaha untuk mengintai paparan pada telefon pintarku oleh Yati. Drastik aku sorok telefon itu.
“Yalah tu.” Kening Yati terjongket-jongket.
“Budak kat Penerbit Cendekiawan tu ke?” soal Ijam.
Amboi, memasing gigih sangat nak tahu ‘teman tapi mesra’ aku. Nampaknya telahanku mengenai sikap keakuan penduduk urban salah sama sekali. Manusia tetap manusia. Tetap tak boleh menghaibkan sikap ambil tahu, sibuk lagi menyibuk.
“Jah?” Secara automatik kepala ini tergeleng dengan lajunya, seraya bibir mencebir. “Budak tu kawan dari kecil, duduk berjiran di kampung.” Tetiba gelakku terlompat melepasi bibir.
“Tapi Abang Od nampak sepadan dengan dia. Dia pun comel juga. Ada lesung pipit sebelah, mata bulat dengan bulu mata melentik. Suka senyum. Tak mekap pun cantik,” komen Yati.
“Ish, tak adalah. Jah tu luar dalam abang kenal. Dah macam saudara sendiri.” Aku menggeleng-geleng buat kesekian kalinya.
“Tu dia! Luar dalam kau kenal, Od.” Ijam gelak penuh makna.
“Ke situ pulak.” Jelingan aku aktifkan. Bukan jeling sekilas, tetapi berkilas-kilas.
“Haaa... dah kenal luar dalam lagilah senang. Tak perlu ambil masa nak kenal-kenal.” Bukan main galak lagi Yati menggiat aku.
“Betul Minah tu bukan buah hati kau? Betul ni?” soal Ijam beria-ia.
“Betullah bukan,” jawabku dengan beria-ia juga.
“Kalau bukan, adjustkan untuk aku.” Mata Ijam yang terfokus pada jalan sempat terkenyit-kenyit pada aku.
“Tak payah mengada-ada.” Tanpa segan silu aku menolak.
“Aku handsome apa. Sepadan dengan dia. Ada kereta baru, ada gaji tetap. Cukup setakat nak tampung hidup dia dan dua tiga orang anak lagi.” Tanpa rasa bersalah Ijam menanam angan-angannya.
“Amboi, tunang Abang Ijam nak campak mana?” Yati menyampuk sekaligus memudahkan aku. Tak perlu aku membuat pembaziran air liur ‘menyembur’ Ijam.
“Yang abang cakap tadi tu, selepas ditolak campur isteri pertama dan kedua sekali. InsyaAllah cukup.” Dengan keyakinan yang tinggi Ijam mengeluarkan ayat.
“Satu pun belum nikah, dah berangan nak pasang dua.” Yati mencebik. “Nampaknya terpaksalah saya membujang beberapa tahun lagi sampai yakin,” katanya lagi.
“Yakin pasal apa?” soalku. Otakku gagal menaakul ayat-ayat yang dihasilkan Yati.
“Yakin masih ada lagi lelaki yang setia,” jawab Yati sambil jarinya bermain-main pada skrin tabletnya.
“Adik Yati oiii! Inilah namanya lelaki. Lebih baik abang berterus terang saja ya. Semua lelaki ada fikiran nak tambah cawangan. Suka atau tak, para wanita kena terima hakikat. Haaa... tak percaya? Tanyalah mana-mana lelaki, tentu terlintas hal ni dalam kepala mereka. Cuma isunya, adakah mereka berani atau tidak untuk tanggung risiko, tanggungjawab dan bersedia dengan masalah-masalah yang menanti? Kebanyakannya cuma berangan-angan saja, buatnya tidak.” Sambil mengawal stereng, sempat juga Ijam mengadakan sesi debat.
“Oh, lelaki ni memang besarlah nafsu dan angan-angannya ya?” Perlian Yati terlepas daripada mulut. “Tapi malangnya ketidakmampuan menyekat keinginan,” tambahnya sambil menyerlahkan senyum senget. Senyum mengejek!
“Aihhh, ini sudah lebih, dik!” Terasa ada tangan ghaib menempeleng mukaku. “Itu Abang Ijam. Abang tak macam tu.” Aku berusaha menafikan dakwaan-dakwaan Yati berdasarkan pengakuan berani mati Ijam. Aku jeling Ijam. Memanglah Mamat ni seorang yang suka menjatuhkan saham para lelaki. Pembelotan yang melampau ke atas kaum sendiri! Cisss!
“Ya?” Jari Yati yang sejak tadi membuat tarian tanpa tempo pada skrin tablet, terbrek dengan sendirinya. Keningnya terjongket lagi sambil memandangku dengan ekor mata. “Abang ada buah hati?” soalnya kemudian.
Ish, budak ini tentu dalam proses nak membuang semburan-semburan api dari mulutnya. Aku berfikir-fikir dengan mendalam akan jawapan yang sesuai untuk Yati.
“Err... tentulah ada. Tengok mukalah. Kacak, kan?” Sengaja aku aktifkan kerlingan pada Yati yang duduk di belakang, sambil membetulkan kolar bajuku. Sekali lalu aku kerling Ijam yang fokus pada pemanduannya. Mahu saja aku sumpah Mamat ni jadi lombong minyak. Sesedap rasa saja membuka rahsia unggul kaum lelaki. Kemudian lepas tangan tanpa sebarang inisiatif mengawal fikiran Yati.
“Okey, Abang Od kacak.” Yati mengangguk sambil senyum nipis. Tengok, Yati mengakui kekacakan aku. Weehuuu!
“Yang ada sekarang ini satu-satunya?” soal Yati.
“Dah tentulah! Abang dah kata tadi, abang setia orangnya.” Soalan Yati aku jawab dengan penuh yakin.
“Termasuk kali ini, dah berapa kali abang bercinta?”
“Enam kali.”
Gelak Yati terlompat-lompat melepasi mulutnya. Dan aku spontan mengacip mulut. Kenapa aku jawab soalan perangkap Yati ni? Arghh! Budak ini buat aku tertekan tengah-tengah hari buta ni.
“Wau, tentu perempuan datang dan pergi dalam hidup abang, kan? Senangnya. Easy come, easy go.” Bibir Yati lebar-selebarnya. Mungkin petanda yang dia sedang meraikan kemenangan bahawa sesungguhnya apa yang ada dalam kepala otaknya itu betul.
“Od, kau jangan malukan aku.” Ijam mencelah.
Beri kemenangan pada Yati? Oh, tidak semudah itu sayang. Tetiba aku rasa tercabar. Senyuman Yati tetap belum surut walaupun dia menyambung semula tarian jari pada muka skrin tabletnya. Jangan cepat perasan kau dah menang, dik!
“Jadi kau nak kata Abang Od ni playerlah ya?” soal Ijam sambil menonjolkan sengihan kejam. Ya, bagus. Aku dah masuk dalam perangkap Yati, kemudian Ijam sengaja bikin provokasi.
“Saya tak cakap. Abang Ijam yang cakap macam tu.” Yati sengaja tonjolkan muka bena tak bena. Jejarinya masih gigih menari-nari pada muka tablet.
“Nak cari isteri bukan senang. Macam pilih baju juga. Kena sesuai dengan bentuk badan. Kena sepadan dengan skema warna kulit, dan dalam majlis apa kita nak pakai.” Aku mulakan sesi mukadimah.
“Jadi kalau tak sesuai, tinggalkan saja?” Yati dengan sengaja pasang jerat lagi.
“Habis tu, kalau tak muat di badan, tak sesuai warna dan coraknya, takkan nak bazirkan masa dan duit beli baju yang tak kena dengan kita?” Dengan yakin aku menepis soalan Yati dengan soalan juga.
“Macam mana dengan perasaan orang yang ditinggal?”
Diam. Ohhh, kena beri Minah ni jawapan yang mantap. Jangan sampai tumbang! Dengan gigihnya aku memaksa otak supaya bekerja dengan lebih optimum pada tengah hari buta nan terik ini.
“Okey, abang bercakap bagi pihak abang sendiri dan bukan bagi pihak lelaki lain. Cara setiap orang tak sama.” Aku tarik oksigen sebanyak mungkin. Biar peparuku santak dengan oksigen. Biar cukup bekalan ke otak demi menjana buah-buah fikir yang mampu meyakinkan Yati.
“Abang bukan pasang banyak sekali rap. Satu gagal, baru cuba dengan yang baru. Abang pun tak pernah janji apa-apa, tak pernah beri harapan. Sebab abang tak nak ada yang terluka kalau sesuatu hubungan tu gagal sampai ke peringkat seterusnya,” kataku. Namun aku malas menoleh ke belakang. Aku tak mahu tengok mimik muka Yati ketika itu.
“Jadi abang memang tak ada perasaan pada mereka pada waktu abang berkawan?” Soalan Yati kali ini lebih kepada rasa ingin tahu.
“Perasaan belum ada. Baru minat saja.” Jawapan aku jujur sangat-sangat.
“Kalau mereka ada perasaan macam mana?” tanya Yati. Minah ni kembali menduga aku.
“Itulah masalahnya dengan perempuan. Baru ada yang pandang, dah mula perasan. Baru  ajak borak, dan feeling dengan mendalam. Dah taruh harapan tinggi-tinggi.” Kali ini Ijam sibuk-sibuk nak jawab bagi pihak aku.
Wabak risau mula menyerang. Aku takut berkemungkinan Ijam sekali lagi bikin rosak nama seluruh ketuanan kaum lelaki. Namun tak tergamak pula aku nak cantas Ijam. Biarlah kali ini dia menerbitkan hujah-hujahnya. Kalau dia buat malu lagi, aku lebih rela terjun saja dari kereta ini. Hmmm....
“Kemudian bila hubungan tak menjadi, dia salahkan lelaki pula. Walhal dia sendiri yang perasan, terawang-awang tak memasal.” Ijam tergeleng-geleng. Sengihku terserlah. Kali ini aku kagum dengan hujah Ijam.  
“Seorang pun tak ada yang buat abang jatuh cinta atau sekurang-kurangnya ada perasaan sikit?” soal Yati. Aku dah tak ingat berapa soalan keluar dari kepala otaknya.
“Ada juga. Cuma belum cukup mendalam untuk sampai ke tahap kecewa,” jawabku. Kali ini aku toleh ke belakang. Mimik muka Yati ada tanda-tanda yang dia puas hati dengan jawapan aku.
“Abang kata tadi, setakat baru berminat, belum sampai tahap jatuh cinta. Jadi tarikan atau minat tu datang dari fizikallah, kan? Itu lebih kepada nafsu tu.” Kening Yati terjongket. Aduh! Minah ni pasang jerat lagi. “Kesiannya pada yang kurang menarik dari segi fizikal. Hmmm...” Yati buat-buat mengeluh, kemudian tergeleng-geleng.
“Yati oiii!” Ijam sekali lagi bertindak mengeluarkan bunyi dari mulutnya. Harap-harap ayat yang dihasilkannya tidak menyebabkan aku melompat dari kereta ini.
“Jangankan lelaki, perempuan pun suka lelaki yang menarik juga. Sebab itulah kita digalakkan berhias untuk pasangan sah kita. Sebabnya semua orang suka benda-benda yang menarik. Biar pasangan kita sedap mata memandang.” Jawapan Ijam membuatkan aku tarik nafas dengan lega.
“Bab menarik ni subjektif. Lain orang lain citarasa dan pandangannya. Ada yang suka kurus. Ada yang suka montel sikit. Ada yang suka hitam manis, ada yang suka putih gebu. Tapi bab ni akan termansuh dengan sendirinya bila cinta dah mula menunjukkan kuasanya.” Wah, pandainya aku menghasilkan ayat. Walhal aku sendiri pun belum pernah cinta maut dengan mana-mana makhluk berjantina perempuan. Sekarang pun baru jatuh suka pada Julie. Aku sendiri pun belum pasti adakah aku dah sampai ke tahap cinta atau belum?
“Ya, betul. Kau pernah nampak tak pasangan yang kau rasa tak sepadan? Lelakinya muka macam... err... faham-faham sendiri sudah, tapi buah hatinya macam ratu dunia. Atau yang perempuannya azab pada mata kau, tapi yang lelakinya macam Aaron Aziz. Pernah, kan?” soal Ijam pada Yati. Namun dia tidak menoleh pada Yati. Nak meninggal main toleh-toleh sambil memandu?
“Itulah tandanya semua orang ada citarasa berbeza. Semua orang ada tarikan tersendiri. Tengok orang Afrika yang dahi jendul, kulit bersinar-sinar gelap-gulita, kurus macam ranting, tetap ada pasangannya. Bagi mereka, itulah yang cantik di mata.” Terbaik sangat jawapan Ijam. Tak jadi aku nak terjun keluar dari kereta. Nauzubillah! Bunuh diri jadinya nanti. Kur semangat!
“Macam mana pula dengan lelaki yang memang menjadikan perempuan sebagai barang koleksi? Tanpa teragak-agak bermulut manis menabur janji berbunga-bunga pada perempuan. Sana sambar, sini pun tangkap. Yang tu macam mana?” Nampaknya Yati masih belum puas hati lagi. Pergh. Susah betul nak meyakinkan Minah ni. Aku agak dia trauma. Mungkin dia pernah melalui tragedi cinta.
Ijam pandang aku. Aku panjang Ijam. Nampaknya kali ini kami hanya bertelepati.
‘Jawab Od! Kasi baik punya!’
‘Kaulah jawab! Ini semua sebab mulut celopar kau tadi.’
Aku rasa itulah dialog telepati yang sesuai antara aku dan Ijam saat kami berbalas-balas pandangan. Aku tunggu beberapa saat, namun Ijam tetap gagal mengeluarkan sebarang ayat daripada mulutnya.
“Hah, itu baru betul-betul player!” Nampaknya hanya itu yang mampu mulut aku hasilkan. “Sungguh jahat orang itu. Kami tak macam tu,” kataku.
“Sebab tu orang perempuan ni kena hati-hati. Jangan mudah cair meleleh-leleh dengan kata-kata manis dan pujuk rayu. Masing-masing ada akal. Mak bapak hantar sekolah tinggi-tinggi, kan? Jangan nanti salahkan orang tua pula. Ada yang sekolah agama sampai ke seberang laut, tapi bila bab nafsu ni selalu tewas. Semua tak mampu kawal, lupa dunia. Itu sebab orang kata, ikut nafsu lesu. Ikut hati mati. Ikut iman barulah aman.” Akhirnya ayat-ayat Ijam terhasil juga saat aku kekontangan buah kata.
“Jadi perempuanlah yang salah sebab mudah hanyut?” Nampaknya Yati tetap tak kering idea dalam sesi bual bicara pada tengah-tengah hari nan buta begini.
“Syaitan yang salah!” Spontan aku menjawab.
“Bukan salah syaitan. Syaitan cuma menjalankan tanggungjawabnya saja demi meramaikan lagi ahli-ahli neraka. Manusia yang salah kerana lalai dan leka. Tak kuat iman. Kita dah tau batas, tetap langgar juga. Agama kata, tutup aurat. Tetap juga tayang paha. Agama kata jangan berdua-duaan, jumpa juga. Dalam gelap lagi. Kemudian bila dah melanjur, termengandung, mula nak tuding jari.” Boleh tahan juga Ijam kalau menghasilkan bebelan. Berkilo-kilometer ayatnya.
Bab aurat tu aku paling tak tahan. Julie masih juga gigih memuat naik gambarnya dengan legging dan skirt mini. Adakah hubungan ini kerana nafsu semata? Aku sendiri pun tak pasti jawapannya. Yang pasti dia cantik. Patutlah aku sentap sikit dengan komen-komen Yati tentang tarikan perempuan tadi. Sebab ayat yang meluncur dengan yakin dari mulutnya memukul kepala aku dengan hebatnya.
Tak apa. Julie mualaf. Sekurang-kurangnya dia semakin kurang menayangkan gambar-gambar seksinya di laman sosial. Dalam kepala ini ada mentol ghaib yang menyala secara tiba-tiba. Buku-buku agama yang mana sesuai untuk saudara baharu?

2 comments: