Wednesday, May 29, 2013

Monolog Jah dan Od (BAB 8)



Monolog Jah

“Jah!”
Gerakan tanganku yang giat mengisi karipap ke dalam piring, terhenti secara mendadak. Aku menoleh ke arah suara itu. Di depanku, Od buat pameran gigi dengan gigihnya. Aku kenal amat dengan gaya sengihnya itu. Sengih ada makna! Spontan aku pandang setalam karipap pusing di depanku.
“Tak boleh!” Sesegera mungkin aku larikan fokus mata ini ke arah lain. Kegiatan mengisi karipap ke dalam piring yang tergendala, aku sambung semula. Kewujudan Od di situ aku biarkan saja.
“Bolehlah.” Sengihan Od masih lebar. Pandangan matanya penuh pengharapan.
“Nanti tak cukup,” balasku bena tak bena.
Dan seperti yang dijangka, Od tetiba duduk mendepani aku. Dengan pantasnya dia mengambil piring, lalu menonjolkan tahap kerajinannya yang meningkat secara mendadak. Kuih apam, karipap dan buah tembikai diisi pada piring-piring yang sedia ada. Secara sorok-sorok, aku menyengih suka. Sejak lima belas minit yang lalu, aku seorang menguruskan kuih-muih ini. Kak Soya dan Kak Imas yang menjadi rakan sepasukan, tetiba meninggalkan aku huru-hara sendiri. Kak Soya terpaksa melayan anak kecilnya yang merengek nak susu.
Kak Imas kena berkejar ke bangsal demi mendapatkan beberapa buah talam lagi untuk menghidang kuih-muih ini, tetapi masih tak kembali ke sini. Aku syak Kak Imas berlibat dalam mana-mana sesi dialog dengan mana-mana individu di bangsal. Kak Imas memang ringan mulut. Sesiapa pun boleh jadi lawan boraknya. Orang cakap sepatah, dia layan sampai berpatah-patah. Dengan kewujudan Od di sini, maka turunlah sikit paras kehuru-haraan aku.
“Dah! Dah! Tak payah tunjuk rajin. Tempat kau bukan kat sini. Tempat kau kat sana.” Kak Soya muncul dan mencekak pinggang depan kami berdua. “Kau tu hantu karipap. Semua orang dah tau tektik kau tu,” sambungnya.
“Elehhh... orang nak tolong Jah pun tak boleh.” Od mencebik. Kak Soya sudah mendudukkan diri di sebelah Od, lalu dengan sekuat tenaga menyiku-nyiku adiknya itu supaya berkalih tempat.
“Pak Kemat dan Abang Usin kat belakang tu sampai krem tangan membasuh pinggan mangkuk. Pergi tolong sana!” Kak Soya masih giat menyiku-nyiku Od. Suka tak suka, Od memaksa dirinya supaya mengesot menjauhi talam berisi karipap.
“Jah...” Vokal yang terlepas keluar dari mulut Od penuh dengan intonasi memohon simpati. Bibirnya terjuih-juih pada longgokan karipap pusing dalam talam di depan aku. Malas aku nak pandang muka Od lama-lama waktu itu. Sah-sah mukanya menyerlahkan mimik sedih yang dibuat-buat. Sengaja aku bikin Od panas. Mana dia boleh tahan dengan godaan karipap yang berlonggok-longgok di depan mata. Sengaja aku mahu dera perasaannya. Kah kah kah!
“Sudah! Cepat tolong Pak Kemat sana!” Kalau tadi Kak Soya hanya menyiku, kini dia menolak-nolak pula tubuh Od dengan kasar. Akhirnya Od dengan rasa hati yang membara dan diserang wabak kecewa yang mendalam, bangun juga dia dari tempat berhimpunnya segala kuih-muih termasuk karipap.
 “Od!” Aku panggil dia. Namun dia tak menoleh langsung. “Tak mahu ke?” Sengaja aku memancingnya. Sah! Od terkejang pada kordinatnya, tapi tidak terus berpaling pada aku.
“Tak mahu sudah. Aku nak hidang terus pada tetamu.” Dengan sengaja juga aku menambahkan bara di hati Od.
“Nak!” Bukan setakat gelombang bunyi saja yang membuat aku terkejut. Malah serbuan yang dilakukan Od ke arah aku, membuatkan jantung ini hampir terlompat keluar. Sepiring penuh karipap akhirnya bertukar tangan secara drastik.
“Terima kasih, Jah. Kaulah sahabat aku dunia akhirat.” Bukan main cemerlang lagi Od membuat tayangan gigi.
“Jah... oh, jah!” Aku, Od dan Kak Soya berpaling secara berjemaah ke arah Kak Lin yang kocoh-kocoh masuk ke dapur. “Hah, Od pun ada kat sini. Elok sangatlah tu,” kata Kak Soya. Aku dan Od pandang-memandang sesama sendiri. Kak Soya pandang kami berdua.
“Ada tetamu nak jumpa kamu berdua,” kata Kak Lin.
“Aku? Tak ada orang nak jumpa?” Kak Soya mencelah.
“Hah, kau pun sama. Pergilah keluar,” gesa Kak Lin.
Buat kesekian kalinya, aku, Od dan Kak Soya berjemaah mengerutkan kening memasing.
“Siapa?” soal Od.
“Alah... pergi ajelah. Banyak soal pula.” Kak Lin tiada kerajinan untuk menjerumuskan diri dalam sesi soal siasat yang Od ingin laksanakan.  
“Kuih-muih ni siapa nak uruskan?” tanya Kak Soya. “Imas ni ke mana pula ghaibnya? Ambil talam ke, tempa talam?” Rungutan Kak Soya terhasil sama.
“Panggillah budak-budak kat luar sana tolong urus sekejap. Lagipun bukannya nak berlama-lama jumpa orang tu,” cadang Kak Lin. Kak Lin kekalutan juga kerana tetamu pada kenduri akikah dan potong jambul anaknya datang tak putus-putus.
Tanpa membazirkan masa, aku turut langkah Kak Lin. Od mendengus di belakangku. Tidak dapat disangkal lagi, kekecewaannya begitu terserlah kerana terpaksa menangguhkan sesi pembahaman karipap yang sudah dirancang sejak awal lagi. Kak Soya pula masih belum meninggalkan penempatan kuih-muih itu, dan sibuk menggamit beberapa orang demi menguruskan hidangan sepeninggalan kami.
“Ini Khadeeja? Aisyah Khadeeja?” Sebaik saja aku mendekati mak dan Acik Inab, seorang wanita lebih kurang baya mak menegur aku. Pantas aku angguk-angguk, seraya menyedekahkan senyum padanya.
“Sekolah tingkatan berapa?” Mak cik itu bertanya buat kedua kalinya. Otakku kejang barang dua tiga saat apabila soalan itu berjaya aku taakul. Od di belakang, aku pandang. Virus gembira dan bangga menyerang perasaanku tanpa sempat ditangkis. Bibirku tersungging tanpa segan silunya. Bibir Od mencebir, sambil mata hitamnya naik ke atas. Terserlah kejakian Od di mataku.
“Dah kerja,” jawabku dengan gigi yang masih terperaga dengan bangganya.
Biji mata mak cik itu membulat dengan sempurna. “Oh, dah kerja rupanya. Ingatkan masih sekolah. Comel saja kamu ni. Manis. Macam mak kamu dulu-dulu,” kata mak cik yang masih belum dikenal pasti identitinya itu.
“Ini Acik Ipah, sepupu Acik Inab. Dulu dia duduk kat kampung ni juga. Kemudian pindah ke Johor ikut suaminya. Masa tu kamu kecil sangat,” jelas Acik Inab panjang lebar. Aku hulur tangan pada Acik Ipah.
“Hah, Od. Apa tunggu lagi tu? Acik Ipah ni!” Od tersentak apabila ditegur oleh Acik Inab dengan vokal bernotasi tinggi. Kocoh-kocoh dia bersalaman dengan Acik Ipah.
“Dah kahwin ke belum? Lamanya tak jumpa kamu. Ikmal kirim salam pada kamu.” Acik Ipah menepuk-nepuk bahu Od. Apa yang Od mampu buat hanyalah memperagakan gigi dengan cemerlang. Tak semena-mena gelakku terbabas keluar. Od mula jegilkan mata padaku.
“Ikmal tak ikut?” soal Od tanpa menjawab pertanyaan Acik Ipah.
“Dia memang nak ikut. Tapi tiba-tiba ada kerja penting. Terpaksalah dia batalkan cuti,” jelas mak cik yang baru dikenal pasti sebagai Acik Ipah, mak saudara sepupu Od. Od mengangguk-angguk tanda faham.
“Kerja di mana?” soal Acik Ipah. Kocoh-kocoh Od mengendurkan mukanya semula dengan membungakan senyum pada bibirnya.
“Di Kuala Lumpur,” jawab Od.
“Pejabat Jah dan Od dekat-dekat saja di Kuala Lumpur tu.” Tiba-tiba mak mengucapkan ayat penyata.
“Ohhh.” Acik Ipah mengangguk. “Haaa... ini Soya, kan?” Giliran Kak Soya pula menjadi fokus utama mata Acik Ipah. Tapak tangannya siap melekat memicit-micit lengan Kak Soya yang gebu itu. “Macam mana boleh jadi besar macam ni?” Ayat yang terhasil dari mulut Acik Ipah umpama suis yang meledakkan gelak orang di sekitarnya.
“Bila Acik Ipah sampai?” tanya Kak Soya lalu bersalaman sambil tersipu-sipu akibat dibahankan mak saudara sepupunya itu.
“Baru lagi,” jawab Acik Ipah sambil menepuk-nepuk lengan Kak Soya. “Kamu nampak sihat sekarang. Kali akhir acik datang ke sini masa kamu kahwin dulu. Emmm... lima tahun lepas rasanya.” Jelas, nyata dan terang muka Acik Ipah penuh kegembiraan dan keterujaan memandang kami semua.
Inilah yang seronoknya masa kenduri. Kenduri jadi medan mengukuhkan silaturrahim. Kenduri jadi tempat berhimpunnya sanak-saudara jauh dan dekat. Jadi lokasi jejak kasih bagi individu-individu yang lama terpisah, seterusnya terjadilah sesi melepas rindu sesama sendiri dengan penuh keharuan. Oh, banyaknya berkat dan kebaikan.
“Orang minta diri dululah ya, Acik Ipah. Ada kerja kat belakang tu.” Od meminta diri. Amboi, Acik Ipah belum pun puas beramah mesra, dia dah nak cabut. Aku tahu, Od sebenarnya tak sabar-sabar nak memulakan aktiviti pembahaman karipap yang aku sediakan untuknya tadi.
Emak, Acik Inab dan Acik Ipah mula berbual dengan rancak. Kak Soya pun tak memasal membabitkan diri dalam bual bicara orang-orang veteran itu. Berbondong-bondong rasa serba salah ini datang. Perlukah aku berkecimpung sama dalam arena bual bicara tersebut, atau terus cabut ke dapur?
Dalam keadaan diulit-ulit rasa serba salah, tetiba bantuan Ilahi datang tanpa disangka. Atas batu jemala ini terasa ada mentol ghaib memancar-mancar dengan terangnya.
“Jah ke dapur dulu ya.” Aku minta diri. Acik Ipah mengangguk dan membungakan senyum.
Sekejapan aku sampai ke dapur. Mata ini menjatuhkan fokus pada Od yang begitu giat memasukkan karipap ke mulutnya tanpa menghiraukan makhluk-makhluk sekeliling.
“Dah berapa pinggan kau makan?” Soalan aku menyentak Od. Semerta dia berpaling padaku.
“Hek elehhh... baru tiga ketul!” Cebikan Od terserlah dengan nyata. Senyum senget aku hadiahkan padanya, sebagai maksud ejekan.
“Kak Imas, hidangan yang ni untuk siapa? Jah minta setalam boleh tak?” tanyaku pada Kak Imas yang entah bila kembali ke situ. Mungkin ketika aku berkenal-kenal dengan Acik Ipah tadi.
“Ambillah.” Kak Imas menjawab sambil cekatan menyediakan hidangan lain. Mukaku tak langsung berada dalam fokus matanya.
Tanpa hirau pada yang lain termasuk Od, aku angkat talam berisi kuih-muih itu ke ruang depan untuk Acik Ipah dan keluarganya. Namun sempat aku memalingkan badan pada Od sambil menatang talam.
“Od, minta tolong kejap,” kataku pada Od. “Ambilkan air kat bangsal untuk Acik Ipah, boleh?” Aku lebarkan bibir semaksima yang mampu.
“Okey.” Sepatah Od menjawab, sambil mengangkat seketul lagi karipap ke mulutnya.
Dua minit kemudian aku sudah muncul semula di ruang depan dengan setalam hidangan kuih-muih. Acik Ipah sambut aku dengan bibir yang lebar. Namun kali ini aku terperasan fokus biji mata Acik Ipah tak lepas dari aku. Bibirnya pun tak letih-letih melebar. Serba tak kena aku dibuatnya. Tangan ini macam tak terpegang saja piring-piring kuih yang aku hidang depan Acik Ipah. Mahu tak mahu, aku paksa-paksakan bibir ini supaya melebar sama. Tertekan aku jadinya!
Disebabkan keharu-biruan perasaan aku ketika itu, sepantas yang boleh aku minta diri ke dapur semula. Ketika itu aku berselisih dengan Od yang menatang sedulang minuman yang aku minta tadi.
Entah kenapa ada rasa lain macam pada pandangan mata Acik Ipah tadi. Seram sejuk aku jadinya. Acik Ipah bela saka agaknya. Meremang-remang segala bulu dibuatnya. Bulu hidung pun rasa nak terpacak sama. Heee....


Monolog Od

“Od!”
“Ya.” Malas aku nak menoleh. Kenal betul aku pada suara tu. Tak lain tak bukan, suara Jah. Daripada aku tengok muka Jah, baik aku tengok motorsikal abah ni. Sejak aku duduk Kuala Lumpur, abah tak bela langsung motorsikalnya. Main belasah sesedap rasa saja. Kalau rosak nanti, macam mana? Kan susah nak ke bendang, nak ke masjid. Tadi sempat aku tukar minyak hitam. Isi minyak pelincir. Betulkan breknya. Harap-harap motorsikal ini sihat sejahtera sepanjang ketiadaan aku.
“Kau balik bila?” soal Jah sambil duduk di tepi tangga, tak jauh daripada tempat keberadaan aku dan motorsikal abah.
“Petang ni. Kau?” Aku gosok rim motorsikal abah dengan sepenuh daya usaha. Biar hilang selut-selut yang berumah tangga di situ.
“Petang ni juga,” jawab Jah.
“Itu apa?” tanyaku sambil memanjangkan muncung pada bekas makanan yang masih berada di dalam raga Cik Pinky. Karipap! Karipap! Karipap! Diam-diam aku berdoa dalam hati. Tinggi harapanku agar karipap yang berada dalam bekas makanan itu.
“Oh, itu.” Jah bangkit lalu mencapai bekas itu. “Nah.” Bekas itu dihulurkan padaku.
“Karipap?” soalku dengan mata yang bersinar-sinar.
Jah mengangguk. “Yang belum digoreng. Lebihan kenduri semalam,” jawab Jah.
“Yahuuu!” Aku menjunjung genggamku. Syukur alhamdulillah. Doaku tadi termakbul. “Tangan aku berminyak ni. Pergilah hantar ke dapur,” kataku. Jah masuk ke dalam rumah. Beberapa minit kemudian gelombang-gelombang bunyi mula menggetarkan gegendang telingaku. Tidak syak! Kewujudan Jah di dapur emak, menghasilkan suasana riuh-rendah.
Namun tak lama, Jah menghadirkan kembali dirinya berdekatan aku. Dia duduk di tepi tangga macam tadi juga. Selepas dua minit tiada vokal yang terhasil daripada mulutnya. Aku pandang dia. Dia termangu di tepi tangga itu.
“Oit, termenung sangat ya,” tegurku. Tangan ini masih gigih menggosok apa yang patut digosok pada motorsikal Abah. “Ada masalah ke?” soalku pula.
“Hmmm...” Jah masih tidak mengeluarkan perkataan walaupun sepatah. Matanya fokus pada abahku yang baru balik dari menjala bersama Abang Mizi, yakni suami Kak Soya.
“Banyak dapat ikan?” tegur Jah. Bibirnya dilebarkan sikit.
“Banyak juga. Ada puyu, sepat, dan sepat layang. Haruan pun ada. Tersangkut dalam lukah dekat palong,” jawab Abah sambil meninjau tong cat terpakai berisi ikan. Abang Mizi meletakkan jala di perdu mangga di tepi rumah. Nanti Abah yang akan kiraikan jala itu. Jala mana boleh sembarang letak di tanah. Adalah nanti ayam atau itik yang terjerat kaki. Silap-silap ada juga cucu manusia yang terjala sekali. Anak-anak saudara aku bukan boleh tengok benda pelik sikit. Adalah sesi demonstrasi yang akan dijalankan mereka nanti. Pantang lepa. Dan macam yang aku agak, anak sulung Kak Soya heboh menerpa ayahnya, kemudian galak membelek jala yang baru diletakkan Abang Mizi.
“Apa masalahnya?” Kali ini aku duduk di mendepani Jah.
“Coklat misteri,” kat Jah sepatah.
“Ooo, yang tu.” Spontan tangan ini menggaru kepala. “Siapa yang beri?” soalku.
“Kalau aku tahu siapa yang beri, taklah aku panggil ‘coklat misteri.’ Pemberinya sangat misteri.” Jah masih menopang dagu. Fokus matanya terarah pada Abah yang sedang mengirai jala, namun kelopak matanya langsung tak berkelip.
“Kau makan coklat tu?” soalku buat kesekian kalinya. Jah geleng, kemudian pandang muka kacakku dengan pantas.
“Cari nahas?” Bulat sempurna diameter kelopak mata Jah ketika memandang aku. “Entah-entah si pemberi dah perasapkan kemenyan sekati, mandrem dengan bomoh Siam ke apa.” Jah kerling aku.
“Kalau macam tu, lain kali bagi pada aku. Kalau coklat tu dijampi pun, tak ada kesan pada aku, sebab serapah tu semua atas nama kau.” Keningku terjongket-jongket dengan seronoknya.
“Yalah tu.” Jah mencebir.
“Kau buat apa coklat tu?” soalku.
“Coklat? Mana coklat? Nak!” Satu suara comel menyampuk tak semena-mena. Spontan aku dan Jah memandang ke arah suara itu. Azim, anak sulung Kak Soya berumur tiga tahun bermuka serius berdiri di anak tangga keempat di atas Jah.
“Mana ada coklat.” Aku membalas.
“Tadi Pak Usu cakap coklat,” kata Azim dengan pelat dan muka cemberut.
“Pak Usu kata, motorsikal atuk ni dah jadi warna coklat sebab kotor.” Aku jelir lidah pada Azim. Gelak Jah terbabas keluar. Azim memanjat anak tangga dengan warna kecewa yang terserlah pada mukanya.
“Aku bagi kawan-kawan pejabat,” kata Jah demi menjawab pertanyaan aku tadi.
“Tentu manusia yang berkenaan kecewa bila nampak coklat tu bukan kau yang makan.” Keningku terjongket-jongket lagi.
“Aku seram tau. Serba tak kena jadinya di pejabat.” Dahi Jah terkerut-kerut.
“Tak sangka, ada juga peminat kau eh?” kataku sambil menghasilkan gelak berskala kecil.
“Yalah, aku bukannya lawa pun. Tak macam Julie kau tu. Model sambilan, pelakon tempelan, dan segala yang ‘lan-lan’ lagi.” Suara Jah beraura geram. Mukanya ketat mendadak.
“Sentap nampak?” Kegigihan tanganku dalam sesi penggilapan motorsikal abah, terganggu serta-merta.
Jah diam. Biji matanya beralih pada Abah yang tekun menyiang ikan di bawah pokok mangga. Beberapa ekor ayam mengambil kesempatan mencuri-curi patuk isi perut ikan yang disiang Abah. Azim yang tadinya berada di atas rumah, kini elok mencangkung di depan Abah. Gigih sangat Abah melayan soalan-soalan Azim yang mencabar minda itu sambil giat menyiang ikan. Aktif sangat budak ni. Sekejap tadi menyerbu ayahnya. Kemudian main-main di tangga. Tak lama, main di atas rumah rumah pula. Sekarang tahu-tahu dah mencangkung jadi mandor atuknya menyiang ikan sambil buat sesi temu ramah.
“Berapa kali kau terima coklat misteri tu?” Kali ini aku menyerlahkan keseriusan. Aku tak mahu Jah sentap lagi.
“Baru dua kali,” jawab Jah dengan malas. Agaknya mood Jah hilang bahana usikan tadi. Datang bulan ke apa budak Jah ni? Sensitif tak memasal.
“Jah, ke sini kejap!” Abah menggamit Jah.
Ah, Abah potong stim betul. Baru saja aku nak memujuk Jah yang tersentap tadi. Jah macam tak mahu hadap muka aku lagi, terus bangun menuju ke arah Abah.
“Ambillah ikan ni.” Abah hulur bungkusan beg plastik berisi ikan. Kocoh-kocoh Jah buka bungkusan itu. Aku perhati saja mereka dari kordinat asal.
“Banyak sangat ni.” Biji mata Jah terserlah kebulatannya. Bulu mata lentiknya terkipas-kipas laju.
“Ambillah. Acik dapat banyak hari ni. Rezeki kamulah. Kamu kan suka ikan puyu ni. Ikan haruan seekor tu untuk Lin,” kata Abah.
“Laaa... Kak Lin nak habis pantang dah.” Jah buat-buat jual mahal. Eleh, sebenarnya sedang tahan diri dari buat lompat bintang.
“Alah, makan bila-bila pun elok.” Abah sengih. “Jah...” Mulut Abah terkumat-kamit, tetapi tak kudengar pula ayat-ayat yang dihasilkannya. Abah senyum-senyum. Kemudian secara drastik berlaku fenomena merah padam pada muka Jah. Ayat macam mana yang Abah hasilkan sampai berlakunya perubahan warna pada pipi Jah?
“Acik ni!” Suara Jah melengking. Gelak Abah terlompat-lompat keluar. Semerta kerutan-kerutan pada dahiku terserlah. Lain macam saja Abah dengan Jah ni!
“Jah balik dululah, cik. Dah tengah hari. Petang ni nak balik dah. Terima kasih.” Aku perhatikan Jah simpul tangkai beg plastik, lalu melajukan langkah kakinya. Abah masih meneruskan gelak, tetapi makin kecil skala gelombang bunyi yang dihasilkannya.
“Hei, nak balik ke? Aku belum habis cakap lagi ni.” Aku laung pada Jah apabila dia tak kembali duduk di depan aku.
“Nak baliklah. Nak masak.” Jah tak menoleh ketika menghasilkan ayat itu. Terus menonong saja langkahnya. Aku syak Minah ni mengalami ketidakstabilan hormon. Sentisif!

Err... apa agaknya yang Abah bahankan Jah tadi sampai merah-merah muka Jah jadinya? Dan dahiku masih juga mengerut-ngerut dengan hebatnya disebabkan adegan tersebut.

No comments:

Post a Comment