Thursday, September 19, 2013

Novel Baru Nak Terbit!


Dengan seronok diumumkan Monolog Jah dan Od akan diterbitkan dengan tajuk baru, Jah dan Od_Soulmate Selamanya. Yang paling seronok, novel ini akan terbit bulan ini, dan akan beredar di kedai-kedai buku pada awal Oktober 2013. Yey! :: LOMPAT BINTANG SAMPAI BINTANG! ::


Siapa sangka, sepantas ini manuskrip Jah dan Od_Soulmate diterbitkan. Syukur ke hadrat Ilahi yang Maha Pemurah. Ada juga buah tangan saya buat tahun ini. Moga pertukaran genre ini akan memberi banyak manfaat kepada para pembaca, dan pengalaman baru buat saya. Moga Yang Maha Esa terus memberikan ilham mencurah-curah untuk saya. 


Terima kasih kepada JS Adiwarna kerana suka dan sudi menerbitkan manuskrip ini. Terima kasih atas segala susah dan payah. Kawan-kawan semua, sudi-sudikanlah menghadam naskhah terbaru saya nanti.

Cantik sangat sampul novel ni. Teruja tauuu!

Saturday, June 15, 2013

Monolog Jah dan Od (Bab 9)




Monolog Jah       

Ikan-ikan pemberian Acik Utoh aku keluarkan dari plastik. Semuanya dah siap bersiang. Acik Utoh memang rajin. Dia menjala ikan, kemudian dia siangkan terus. Kadang-kadang dia sendiri yang buat kerja-kerja menjeruk ikan itu untuk dijadikan pekasam. Itu pun kalau tangkapannya banyak. Acik Utoh memang tak lupa kegemaran aku. Ikan puyu. Aku rasa, habis segala puyu yang ditangkapnya tadi diberikan pada aku. Bibirku melebar tahap maksima. Ikan puyu masak lemak cili padi dengan nasi panas, lawankan ulam pegaga dan sambal kelapa. Perghhh, nikmat dunia! Jiwa boleh terawang-awang sampai langit ketujuh. Mentua lalu pun tak sedar.
Bercakap soal mentua. Ahhh... aku rasa kena bahan saja di rumah Acik Utoh hari ini. Macam ternampak-nampak saja paparan-paparan ketika aku berada di rumah mereka tadi. Dan aku pun terhanyut dengan gambaran-gambaran yang terjadi setengah jam yang lalu.
“Apa kau bawa tu, Jah?” soal Kak Soya sebaik tapak kaki ini menjejak lantai rumah Acik Inab tadi. Tidak syak lagi biji matanya terfokus tepat ke arah bekas yang aku bawa.
“Karipap.” Aku sedekahkan senyuman pada Kak Soya dan Acik Inab. Gigih sangat nampaknya dua beranak itu menyagat ubi kayu. “Yang ini belum digoreng,” kataku lagi sambil menyerahkan bekas makanan yang aku bawa kepada Kak Soya.
“Nak buat kerepek?” soalku. Macam tak biasa pula. Kalau nampak Acik Inab menyagat ubi, dah sah-sah nak buat kerepek.
“Ha’ah.” Acik Inab menjawab ringkas. Tanpa segan silu, aku mendudukkan diri di depan Kak Soya yang menolong Acik Inab meleraikan kepingan-kepingan nipis ubi yang disagat di atas hamparan surat khabar.
“Jah, kamu tahu tak.” Acik Inab buat mukadimah.
“Tak.” Sengihanku terserlah. Tawa Kak Soya terhasil serta-merta.
“Ini acik nak beritahu kamulah ni.” Acik Inab menjeling geram.
“Acik Inab ni buat saspenlah. Cakaplah,” kataku sambil membantu Kak Soya meleraikan kepingan ubi.
“Ada orang berkenan pada kamu.” Senyum Acik Inab menyungging pada bibir.  Spontan aku mencebir.
“Merepek!” sanggahku.
“Kalau betul, macam mana?” Kak Soya menggiat.
“Taklah. Merepek!” Bibirku tercebir.
“Betul, Jah.” Dengan beria-ia Acik Inab mengiakan kata-kata Kak Soya. Spontan telunjuk Acik Inab mencucuk pinggang aku. Secara spontan juga terhasilnya gelombang bunyi berskala besar dari mulut aku. Terperanjat.
“Jah, cepat-cepatlah belajar apa yang patut ya.” Keterujaan Kak Soya dalam hal ehwal mengusik makin menjadi-jadi.
“Acik, nanti Jah nak sikit kerepek ni ya?” Dengan muka tebal tiga tingkat, aku ubah topik. Walhal hakikat sebenarnya, memang sikit pun perasaan aku tak terjejas digiat macam tu oleh Acik Inab dan Kak Soya. Sumpah! Sikit pun tak!
“Nak lari tajuk ya?” Kak Soya tak habis-habis mengusik. Dia ingat aku percaya apa yang dia dan Acik Inab cakap? Tidak sama sekali!
“Jah nak yang sira pedas ya. Kat KL mana ada kerepek ubi sira pedas yang sedap macam Acik Inab buat.” Terus tercantas ilham Kak Soya dan Acik Inab untuk membahan aku sekali lagi.
“Kamu kena belajar buat kerepek pedas ni, Jah. Orang tu pun suka sangat kerepek pedas ni. Semalam dia angkut sebalang kerepek dari sini. Sebab itulah acik buat lagi hari ini,” kata Acik Inab. Aduhai, tak habis-habis lagi rupanya. Aku ingat misi mencantas idea mereka dan menghentikan sesi mengusik aku sudah tamat. Rupa-rupanya masih bersambung!
Handsome tak orang tu, mak?” Sekali lagi Kak Soya mengutarakan soalan. Sajalah tu, nak membahan aku dengan sesedap rasa.
“Eh, mestilah handsome. Kerja pun bagus. Jurutera minyak. Kadang-kadang kena duduk kat pelantar tengah laut tu. Tak apalah, duduk tengah laut pun tapi hasilnya lumayan.” Dengan penuh bersemangat Acik Inab berkisah.
“Wah, untunglah Jah nanti. Bahagia hidup. Sama-sama suka kerepek ubi pedas pulak tu. Memang sepadanlah.” Amboi. Tak menahan-nahan Kak Soya punya ilham untuk menggiat aku habis-habisan.
Tetiba mukaku rasa panas semacam. Tidak syak lagi! Sedang berlaku fenomena merah padam pada pipiku. Tetiba juga diri ini mengalami tindakan luar kawal; bangun lalu keluar dari situ untuk bertemu Od di luar rumah.
“Malulah tu.” Mengekek-ngekek Kak Soya sambil meneruskan kerja-kerjanya.
Di luar, aku duduk menghadap Od yang membela-bela motorsikal Acik Utoh. Terasa malas nak memulakan sesi bual bicara dengan Od. Fikiran masih terganggu dengan usikan Acik Inab dan Kak Soya. Namun aku mengambil keputusan untuk tak percaya pada isu itu. Aku yakin dengan sepenuh hati, dua beranak itu dengan sengaja membahan aku sebagai salah satu aktiviti hiburan mereka hari itu.
Apabila memandang Od waktu itu, tetiba aku teringat perihal coklat misteri yang tak sempat aku ceritakan sampai tamat kepada Od dulu. Namun apabila memikirkan bagaimana reaksi Od ketika itu, aku jadi sakit hati. Apabila memikirkan kecilnya hati aku atas sikap Od yang melupakan aku beberapa minggu sudah, membuatkan aku tawar hati untuk berkongsi cerita sekali lagi.
Akhirnya aku menopang dagu sambil memandang Acik Utoh dan Abang Baki yang berlenggang-lenggang balik dari menjala. Tak lama Od menegur aku. Mamat ni mana boleh nampak aku diam lama-lama. Maka berlakulah dialog aku dan Od pada hari itu. Dan tanpa sedar, kisah mengenai coklat misteri itu akhirnya terpacul juga dari mulut ini. Kononnya malas dah nak meluahkan perasaan seram sejuk pada Od. Namun semuanya berakhir bila Od mengajak aku menjalankan sesi dialog pada hari nan bahagia ini.
Namun bual bicara bersama Od itu akhirnya mengakibatkan aku sentap tak ingat. Rasa tercalar egoku apabila Od kata, ada juga yang minat aku. Okey, aku tak selawa Julie dia tu. Maka tak adalah yang minat pada aku. Dengan ini, coklat misteri yang tetiba mendarat atas meja aku itu hanyalah dongeng rekaan aku semata-mata, atau paling tidak pun adalah satu salah sangka, iaitu pemberian rakan pejabat yang malu untuk mengaku dia yang memberi coklat mahal tersebut. Inilah layanan ‘istimewa’ dari sabahat sejati untuk seorang aku yang sedang memerlukan khidmat nasihat ini? Fine!
Kebetulan Acik Utoh lambai aku ketika itu. Tanpa membazirkan masa, terus aku bangun meninggalkan Od.
Siapa tak suka kalau disuakan dengan ikan darat segar, siap disiang lagi? Rasa nak buat lompat bintang, tapi terpaksa ditahan demi menjaga kesopanan dan kesusilaan diri ini. Seganas-ganas aku pun, masih tahu tatasusila. Acik Utoh dan Acik Inab memang tak lokek. Ada rezeki lebih, tak kisah mengongsi dengan jiran tetangga. Keadaan dan sikap yang aku amat dambakan di Kuala Lumpur, tempat aku bermastautin kini.
“Jah, belajar masak ikan darat sedap-sedap ya. Nanti acik pinangkan Jah untuk anak saudara acik. Dia suka makan ikan darat. Serupa macam kamu.” Ayat-ayat yang terhasil daripada mulut Acik Utoh ada persamaan dengan ayat yang terhasil oleh mulut Acik Inab. Ish, mereka suami isteri ni macam sengaja buat pakatan membahan aku saja hari ini. Dialog pun hampir sama, cuma situasi saja berbeza. Namun aku sedar waktu itu haba mula meningkat secara mendadak ke muka aku. Spontan aku minta diri daripada Acik Utoh dengan alasan hari dah tinggi.
Od yang memanggil-manggil pun malas nak kulayan. Biar rasakan dia. Sentapku tadi masih belum reda. Ditambah lagi dengan usikan Acik Utoh, lagilah aku malas berlama-lama di rumah itu. Baik aku balik dengan beg plastik penuh ikan, masak sedap-sedap sebagai ubat sentap aku pada Od tadi. Huh!
Secara serius, aku tak ambil serius pada gurauan serius Acik Inab, Acik Utoh dan Kak Soya. Yang aku ambil serius sekarang adalah rasa sentap aku pada reaksi Od atas masalah serius yang aku utarakan padanya tadi. Err... faham tak? Buat-buat faham sajalah. Dan sekarang, aku masih tersangat sentap. Serius, aku sentap! Sentap yang amat serius! Huh!



Monolog Od

Sambil mengunyah karipap yang Jah beri sebelum balik ke KL tadi, aku berSkype  dengan Julie. Rindu wooo pada Julie. Sebelum berkenalan mesra dengan teknologi Internet dulu, aku agak hairan dengan mana-mana individu yang menjalinkan hubungan khususnya hubungan cinta di alam maya.
Waktu itu aku menuduh bahawa sesungguhnya hubungan cinta dalam talian adalah karut-marut! Boleh ke jatuh cinta tanpa bersemuka, tanpa pernah bertemu di dunia realiti, malah tanpa pernah mendengar suara pun? Karut amat bagi aku. Tahap kehairanan aku berapa sama tinggi dengan bintang-bintang di langit, macam mana orang boleh bercinta secara maya hanya melalui chatting, hanya melalui ayat-ayat yang terpapar pada skrin.
Sekarang apabila dah terlalu karib dengan Internet, barulah aku tahu penangannya. Apa? Tak takut kena tipu? Takut juga. Namun setakat ini belum pernah lagi aku terpedaya dengan ayat-ayat manis wanita-wanita luar negara, yang mendakwa mereka adalah waris aristokrat mana entah yang tetiba gila tak memasal nak memindahkan duit sekontena pada aku. Belum pernah lagi aku terjebak dan bertukar menjadi ‘keldai’ yang mengangkut marijuana keluar dari Malaysia nan permai ini.
Sekarang barulah aku mengakui penangan ayat-ayat manis dari Internet mampu memerangkap ramai mangsa ke arah sesuatu yang tidak sihat, tidak selamat dan menggugat kebahagiaan umat sejagat.
Mungkin mudah saja berkata, “Hei, kalau ya pun agak-agaklah. Takkan mudah sangat orang nak bagi kau tiket melancong secara percuma, dengan duit saku ribu-riban segala.”
Atau begini, “Takkanlah senang-senang orang nak pindahkan kekayaan dia pada kau? Hilang akal ke apa?”
Juga begini mungkin, “Takkanlah dengan buat penghantaran beg ke satu tempat, kau dibayar harga sebiji banglo? Agak-agaklah!”
Hakikatnya, perasaan yang sudah dibunga-bungakan dengan ayat manis sampai terhasilnya emosi asyik mahsyuk, otak pun bertukar jadi kelabu asap, krem secara tiba-tiba. Semua keraguan hilang sekelip mata dek panah arjuna. Nampak tak permainannya? Nampak? Gambar profile ‘kawan’ sebelah sana muka Kaukasia. Hakikatnya makhluk tersebut kulitnya iras-iras Dayang Senandung.
Hei, tolong jangan menuduh aku kasanova Internet pula. Ya, aku mengaku hampir semua teman tapi mesraku dulu dikenali melalui Internet, namun itu bukan bermakna aku seorang kasanova. Aku berkawan dengan ikhlas, begitu juga dengan mereka. Kami jujur antara satu sama lain. Memasing jujur mendedahkan identiti. Entahlah, mungkin aku bernasib baik kerana tak pernah terjebak dalam mana-mana penipuan. Mungkin juga disebabkan aku mengikut gerak hati. Mat Salleh kata instinct. Woohoo, ada gaya-gaya manusia psikik pula. Malangnya jodoh aku dengan mereka tak pernah sampai. Mungkin kerana tiada chemistry menyebabkan kami selalu berselisih pendapat, atau mungkin lama-kelamaan menjadi hambar lalu terus mengjauhkan diri tanpa ada sebarang kata putus. Kata orang, faham-faham sendirilah.
Dalam menjalinkan sebarang hubungan di alam maya, sama ada sebagai rakan, perniagaan, cinta, kerja dan lain-lain, ia bergantung sejauh mana tahap kepekaan kita pada ‘rakan maya’ itu. Takkanlah kalau dia kata nak bersedekah jariah duit sekontena kepada kita, maka kita terus percaya? Hilang akal ke apa? Takkanlah tetiba ada orang yang terlalu murah hati beri tiket melancong secara percuma ke luar negara? Kita tak rasa peliknya? Apa orang tu tidur atas duit ke sampai begitu dermawan bersedekah serba-serbi untuk kita yang tak dikenali ini? Oh, tolonglah! 
Ayat-ayat manis tanpa wajah, amat bahaya. Lainlah aku. Sepanjang aku berkenalan dengan gadis-gadis di Internet, tak pernah sekalipun aku mengarang ayat-ayat manis sebagai senjata untuk menggoda. Niat asal adalah berkawan. Cerita tentang minat, tentang kerja, tentang kawan-kawan, err... juga tentang politik kadang-kadang. Lontarkan persoalan-persolan yang dapat memancing ‘rakan regu di sebelah sana’ melontarkan fikiran dan pendapat. Beri soalan-soalan cepu emas. Dari situ pun kita boleh menilai siapa teman chatting kita. Weh, jangan main redah!
Namun antara aku dengan Julie, setakat ini berjalan lancar. Dalam banyak-banyak teman tapi mesra, dengan Julie paling menjadi. Dengan Julie tingkat hubungan itu naik ke peringkat seterusnya tetapi masih dalam usaha mengenali hati budi masing-masing. Ececeh!

Julie : Buat apa tu?
Aku : Makan karipap.
Julie : Beli?
Aku : Tak. Jah buat.
Julie : Jah sihat?
Aku : Sihat. Cuma hari ni dia sentap sikit dengan saya.

Tengok! Jujur tak aku? Semua kronologi tentang Jah pun aku mahu cerita pada Julie. Pendek kata, dia ‘kenal’ Jah melalui aku. Julie juga begitu. Gaduh dengan kawan di tempat kerja pun dia cerita juga pada aku. Ada Mat Bangla mengurat dia pun, dia cerita juga pada aku.

Julie : Kenapa?
Aku : Dia cerita kat saya, yang dia takut sebab dapat coklat misteri di pejabat. Dua kali dia dapat. Tapi saya usik dia. Saya kata, ada juga yang minat dia ya.
Julie : Ooo... patutlah dia sentap. Awak macam menghina dia. Seolah-olah dia tak laku.
Aku : Wah, awak pun sebelahkan dia?
Julie : Dah tentulah. Saya perempuan. Malu pun ada kalau lelaki cakap macam tu. Terhina tau.
Aku : Saya nak bergurau saja. Takat dengan Jah, saya memang gurau kasar. Semua lepas, tak ada tapis-tapis.
Julie : Bukan semua benda boleh dibuat gurau.
Aku : Yalah. Saya silap. Tapi sampai ke sudah dia sentap. Kemudian dia lari balik. Tak sempat saya nak pujuk.
Julie : Esok awak kena pujuk dia.
Aku : Esok kena belanja dia cendol depan pejabat. Cendol pulut kat situ sedap. Teringin sangat nak belanja awak makan cendol kat situ.
Julie : InsyaAllah, masanya akan tiba tak lama lagi.
Aku : Tak lama lagi? Bila tu?

Aku rasa macam mahu lompat bintang.  Dalam tempoh sebulan dua lagi, aku yakin mampu merembat kereta terpakai yang aku intai dengan Jah dulu. Dan aku mahu Julie jadi orang pertama menaikinya sebagai tanda merasmikan kereta pertamaku. Weeheee!

Julie : Dua tiga bulan lagi macam mana? Dah sedia nak bersemuka dengan saya yang garang ni?
Aku :Ya, bersedia. Bersedia nak berdepan dengan Cik Julie yang garang macam harimau miau-miau. Nak kongsi gambar kenduri di rumah Jah tak? Awak boleh tengok suasana kenduri dan budaya di kampung saya.
Julie : Mestilah nak!

Siapa tak bahagia kalau macam ni? Dia memahami, terbuka, tak cemburu. Aku agak yakin untuk bersemuka dengan Julie. Dan pastinya aku perlu bersedia demi menyempurnakan saat itu. Tetiba denyut jantungku jadi tak tentu hala. Oh, Julie!


Monolog Jah

“Assalamualaikum.”
Aku menoleh apabila ditegur seseorang. Topi keledar aku tanggalkan dari kepala selepas Mr. Ready ditongkatkan. Aku sedekahkan senyuman pagi buat jejaka itu.
“Waalaikumsalam.” Aku kemaskan tudung pada cermin sisi Mr. Ready, tanpa segan silu pada Johan, jejaka yang menegur aku dengan ramahnya itu.
“Dah lawa dah tu.” Teguran Johan menyebabkan aku tersipu-sipu. Destinasi yang dituju oleh kaki kami tentulah ke pejabat.
“Deeja...”
Biji mataku memfokus pandangan pada Johan yang beriringan denganku. Aku jongketkan kening sekali padanya.
“Aku tanya, kau tak marah kan?” soal Johan ragu-ragu.
“Tanyalah. Takkan aku nak marah kau tak memasal pulak.” Ada unsur-unsur saspens di balik ayat-ayat Johan.
“Kau buat apa dengan coklat misteri yang kau dapat kali kedua tu? Kali pertama dulu kau bagi aku dan Lina makan. Kali ni kau buat apa?” soal Johan.
Laaa... apa punya soalanlah! Buat saspens saja.
“Aku sedekah pada anak jiran aku. Pahalanya aku hadiahkan pada makhluk yang bermurah hati bagi coklat tu. Macam mana? Okey tak?” Mukaku serius. Tetiba denyut jantungku tak keruan ritmanya. Aku yakin sangat individu misteri itu adalah rakan sepejabatku sendiri. Dan dengan selalunya dia memerhati tanpa pengetahuanku. Dan aku akan jadi tak tentu hala selagi aku belum tahu siapa si pemberi tersebut. Dan sehari-harilah juga aku tertekan sebab itu. Arghhh!
“Eh, kau ni! Lain kali, bagi aku.” Johan mencekak pinggangnya.
“Kau pun peminat coklat ke?” soalku.
“Ya, aku jadi minat coklat sebab gadis pujaan hati adalah peminat coklat. Maka aku kena belajar menyintai coklat sebagaimana dia.” Sengih Johan terhasil setengah. Kemudian dia menunduk, lalu mengeluarkan karbon dioksida dari lubang hidungnya secara mendadak.
“Malangnya, pujaan hati aku tak tau dirinya menjadi pujaan aku.” Sekali lagi sengih separuh Johan terhasil.
“Ooo, kenapa tak terus terang saja? Apalah!” Kepalaku tetiba tergeleng dua kali.
“Aku takut dia menolak. Lagipun, aku dapat rasa diriku ini bukan pilihannya. Aku syak dia ada pilihan sendiri.” Tiada senyum yang berjaya mekar pada bibir Johan. Malah Johan sengaja menonjolkan muka sedih yang dibikin-bikin.
“Belum cuba belum tau. Boleh tahan juga handsome kau ni. Kulit tanne, mata kuyu, err... apa lagi eh?” Aku pandang Johan atas bawah, sampai tersegan-segan dia jadinya. “Ada tahi lalat sebiji kat dagu. Tahi lalat pemanis tu!” usikku lagi.
“Engkau ni, kalau bab menyakat memang johan.” Bibir Johan tercebir.
“Apa pulak aku yang johan? Engkaulah Johan. Aku naib johan saja.” Tetiba gelakku terbabas keluar dari mulut. Namun demi menonjolkan kesopanan dan kesusilaan, dengan pantasnya aku tekupkan tapak tangan ke mulut. Manalah tahu, ada air liur terpercik ke muka Johan, mana tak kusorokkan muka malu itu nanti?
“Ingat tau, kalau kau dapat coklat lagi dan tak berani makan, aku ada.” Johan menepuk-nepuk dada, lalu tersengih sebelum cepat-cepat memotong aku.
“Joe, aku kenal tak pujaan kau tu?” laungku demi menyampaikan gelombang bunyi yang aku hasilkan ke corong telinga Johan. Namun Johan cuma menyerlahkan bibir yang lebar setengah inci sebagai jawapan.

Sebelum kaki ini menjejak ke dalam pejabat, aku baca dulu Al-Fatihah, Tiga Qul, dan Ayat Kursi sebagai pelindung. Hanya pada Allah saja aku berserah. Wahai otak, jangan kau fikirkan sangat tentang individu yang memberi coklat kepada aku.

Wednesday, May 29, 2013

Monolog Jah dan Od (BAB 8)



Monolog Jah

“Jah!”
Gerakan tanganku yang giat mengisi karipap ke dalam piring, terhenti secara mendadak. Aku menoleh ke arah suara itu. Di depanku, Od buat pameran gigi dengan gigihnya. Aku kenal amat dengan gaya sengihnya itu. Sengih ada makna! Spontan aku pandang setalam karipap pusing di depanku.
“Tak boleh!” Sesegera mungkin aku larikan fokus mata ini ke arah lain. Kegiatan mengisi karipap ke dalam piring yang tergendala, aku sambung semula. Kewujudan Od di situ aku biarkan saja.
“Bolehlah.” Sengihan Od masih lebar. Pandangan matanya penuh pengharapan.
“Nanti tak cukup,” balasku bena tak bena.
Dan seperti yang dijangka, Od tetiba duduk mendepani aku. Dengan pantasnya dia mengambil piring, lalu menonjolkan tahap kerajinannya yang meningkat secara mendadak. Kuih apam, karipap dan buah tembikai diisi pada piring-piring yang sedia ada. Secara sorok-sorok, aku menyengih suka. Sejak lima belas minit yang lalu, aku seorang menguruskan kuih-muih ini. Kak Soya dan Kak Imas yang menjadi rakan sepasukan, tetiba meninggalkan aku huru-hara sendiri. Kak Soya terpaksa melayan anak kecilnya yang merengek nak susu.
Kak Imas kena berkejar ke bangsal demi mendapatkan beberapa buah talam lagi untuk menghidang kuih-muih ini, tetapi masih tak kembali ke sini. Aku syak Kak Imas berlibat dalam mana-mana sesi dialog dengan mana-mana individu di bangsal. Kak Imas memang ringan mulut. Sesiapa pun boleh jadi lawan boraknya. Orang cakap sepatah, dia layan sampai berpatah-patah. Dengan kewujudan Od di sini, maka turunlah sikit paras kehuru-haraan aku.
“Dah! Dah! Tak payah tunjuk rajin. Tempat kau bukan kat sini. Tempat kau kat sana.” Kak Soya muncul dan mencekak pinggang depan kami berdua. “Kau tu hantu karipap. Semua orang dah tau tektik kau tu,” sambungnya.
“Elehhh... orang nak tolong Jah pun tak boleh.” Od mencebik. Kak Soya sudah mendudukkan diri di sebelah Od, lalu dengan sekuat tenaga menyiku-nyiku adiknya itu supaya berkalih tempat.
“Pak Kemat dan Abang Usin kat belakang tu sampai krem tangan membasuh pinggan mangkuk. Pergi tolong sana!” Kak Soya masih giat menyiku-nyiku Od. Suka tak suka, Od memaksa dirinya supaya mengesot menjauhi talam berisi karipap.
“Jah...” Vokal yang terlepas keluar dari mulut Od penuh dengan intonasi memohon simpati. Bibirnya terjuih-juih pada longgokan karipap pusing dalam talam di depan aku. Malas aku nak pandang muka Od lama-lama waktu itu. Sah-sah mukanya menyerlahkan mimik sedih yang dibuat-buat. Sengaja aku bikin Od panas. Mana dia boleh tahan dengan godaan karipap yang berlonggok-longgok di depan mata. Sengaja aku mahu dera perasaannya. Kah kah kah!
“Sudah! Cepat tolong Pak Kemat sana!” Kalau tadi Kak Soya hanya menyiku, kini dia menolak-nolak pula tubuh Od dengan kasar. Akhirnya Od dengan rasa hati yang membara dan diserang wabak kecewa yang mendalam, bangun juga dia dari tempat berhimpunnya segala kuih-muih termasuk karipap.
 “Od!” Aku panggil dia. Namun dia tak menoleh langsung. “Tak mahu ke?” Sengaja aku memancingnya. Sah! Od terkejang pada kordinatnya, tapi tidak terus berpaling pada aku.
“Tak mahu sudah. Aku nak hidang terus pada tetamu.” Dengan sengaja juga aku menambahkan bara di hati Od.
“Nak!” Bukan setakat gelombang bunyi saja yang membuat aku terkejut. Malah serbuan yang dilakukan Od ke arah aku, membuatkan jantung ini hampir terlompat keluar. Sepiring penuh karipap akhirnya bertukar tangan secara drastik.
“Terima kasih, Jah. Kaulah sahabat aku dunia akhirat.” Bukan main cemerlang lagi Od membuat tayangan gigi.
“Jah... oh, jah!” Aku, Od dan Kak Soya berpaling secara berjemaah ke arah Kak Lin yang kocoh-kocoh masuk ke dapur. “Hah, Od pun ada kat sini. Elok sangatlah tu,” kata Kak Soya. Aku dan Od pandang-memandang sesama sendiri. Kak Soya pandang kami berdua.
“Ada tetamu nak jumpa kamu berdua,” kata Kak Lin.
“Aku? Tak ada orang nak jumpa?” Kak Soya mencelah.
“Hah, kau pun sama. Pergilah keluar,” gesa Kak Lin.
Buat kesekian kalinya, aku, Od dan Kak Soya berjemaah mengerutkan kening memasing.
“Siapa?” soal Od.
“Alah... pergi ajelah. Banyak soal pula.” Kak Lin tiada kerajinan untuk menjerumuskan diri dalam sesi soal siasat yang Od ingin laksanakan.  
“Kuih-muih ni siapa nak uruskan?” tanya Kak Soya. “Imas ni ke mana pula ghaibnya? Ambil talam ke, tempa talam?” Rungutan Kak Soya terhasil sama.
“Panggillah budak-budak kat luar sana tolong urus sekejap. Lagipun bukannya nak berlama-lama jumpa orang tu,” cadang Kak Lin. Kak Lin kekalutan juga kerana tetamu pada kenduri akikah dan potong jambul anaknya datang tak putus-putus.
Tanpa membazirkan masa, aku turut langkah Kak Lin. Od mendengus di belakangku. Tidak dapat disangkal lagi, kekecewaannya begitu terserlah kerana terpaksa menangguhkan sesi pembahaman karipap yang sudah dirancang sejak awal lagi. Kak Soya pula masih belum meninggalkan penempatan kuih-muih itu, dan sibuk menggamit beberapa orang demi menguruskan hidangan sepeninggalan kami.
“Ini Khadeeja? Aisyah Khadeeja?” Sebaik saja aku mendekati mak dan Acik Inab, seorang wanita lebih kurang baya mak menegur aku. Pantas aku angguk-angguk, seraya menyedekahkan senyum padanya.
“Sekolah tingkatan berapa?” Mak cik itu bertanya buat kedua kalinya. Otakku kejang barang dua tiga saat apabila soalan itu berjaya aku taakul. Od di belakang, aku pandang. Virus gembira dan bangga menyerang perasaanku tanpa sempat ditangkis. Bibirku tersungging tanpa segan silunya. Bibir Od mencebir, sambil mata hitamnya naik ke atas. Terserlah kejakian Od di mataku.
“Dah kerja,” jawabku dengan gigi yang masih terperaga dengan bangganya.
Biji mata mak cik itu membulat dengan sempurna. “Oh, dah kerja rupanya. Ingatkan masih sekolah. Comel saja kamu ni. Manis. Macam mak kamu dulu-dulu,” kata mak cik yang masih belum dikenal pasti identitinya itu.
“Ini Acik Ipah, sepupu Acik Inab. Dulu dia duduk kat kampung ni juga. Kemudian pindah ke Johor ikut suaminya. Masa tu kamu kecil sangat,” jelas Acik Inab panjang lebar. Aku hulur tangan pada Acik Ipah.
“Hah, Od. Apa tunggu lagi tu? Acik Ipah ni!” Od tersentak apabila ditegur oleh Acik Inab dengan vokal bernotasi tinggi. Kocoh-kocoh dia bersalaman dengan Acik Ipah.
“Dah kahwin ke belum? Lamanya tak jumpa kamu. Ikmal kirim salam pada kamu.” Acik Ipah menepuk-nepuk bahu Od. Apa yang Od mampu buat hanyalah memperagakan gigi dengan cemerlang. Tak semena-mena gelakku terbabas keluar. Od mula jegilkan mata padaku.
“Ikmal tak ikut?” soal Od tanpa menjawab pertanyaan Acik Ipah.
“Dia memang nak ikut. Tapi tiba-tiba ada kerja penting. Terpaksalah dia batalkan cuti,” jelas mak cik yang baru dikenal pasti sebagai Acik Ipah, mak saudara sepupu Od. Od mengangguk-angguk tanda faham.
“Kerja di mana?” soal Acik Ipah. Kocoh-kocoh Od mengendurkan mukanya semula dengan membungakan senyum pada bibirnya.
“Di Kuala Lumpur,” jawab Od.
“Pejabat Jah dan Od dekat-dekat saja di Kuala Lumpur tu.” Tiba-tiba mak mengucapkan ayat penyata.
“Ohhh.” Acik Ipah mengangguk. “Haaa... ini Soya, kan?” Giliran Kak Soya pula menjadi fokus utama mata Acik Ipah. Tapak tangannya siap melekat memicit-micit lengan Kak Soya yang gebu itu. “Macam mana boleh jadi besar macam ni?” Ayat yang terhasil dari mulut Acik Ipah umpama suis yang meledakkan gelak orang di sekitarnya.
“Bila Acik Ipah sampai?” tanya Kak Soya lalu bersalaman sambil tersipu-sipu akibat dibahankan mak saudara sepupunya itu.
“Baru lagi,” jawab Acik Ipah sambil menepuk-nepuk lengan Kak Soya. “Kamu nampak sihat sekarang. Kali akhir acik datang ke sini masa kamu kahwin dulu. Emmm... lima tahun lepas rasanya.” Jelas, nyata dan terang muka Acik Ipah penuh kegembiraan dan keterujaan memandang kami semua.
Inilah yang seronoknya masa kenduri. Kenduri jadi medan mengukuhkan silaturrahim. Kenduri jadi tempat berhimpunnya sanak-saudara jauh dan dekat. Jadi lokasi jejak kasih bagi individu-individu yang lama terpisah, seterusnya terjadilah sesi melepas rindu sesama sendiri dengan penuh keharuan. Oh, banyaknya berkat dan kebaikan.
“Orang minta diri dululah ya, Acik Ipah. Ada kerja kat belakang tu.” Od meminta diri. Amboi, Acik Ipah belum pun puas beramah mesra, dia dah nak cabut. Aku tahu, Od sebenarnya tak sabar-sabar nak memulakan aktiviti pembahaman karipap yang aku sediakan untuknya tadi.
Emak, Acik Inab dan Acik Ipah mula berbual dengan rancak. Kak Soya pun tak memasal membabitkan diri dalam bual bicara orang-orang veteran itu. Berbondong-bondong rasa serba salah ini datang. Perlukah aku berkecimpung sama dalam arena bual bicara tersebut, atau terus cabut ke dapur?
Dalam keadaan diulit-ulit rasa serba salah, tetiba bantuan Ilahi datang tanpa disangka. Atas batu jemala ini terasa ada mentol ghaib memancar-mancar dengan terangnya.
“Jah ke dapur dulu ya.” Aku minta diri. Acik Ipah mengangguk dan membungakan senyum.
Sekejapan aku sampai ke dapur. Mata ini menjatuhkan fokus pada Od yang begitu giat memasukkan karipap ke mulutnya tanpa menghiraukan makhluk-makhluk sekeliling.
“Dah berapa pinggan kau makan?” Soalan aku menyentak Od. Semerta dia berpaling padaku.
“Hek elehhh... baru tiga ketul!” Cebikan Od terserlah dengan nyata. Senyum senget aku hadiahkan padanya, sebagai maksud ejekan.
“Kak Imas, hidangan yang ni untuk siapa? Jah minta setalam boleh tak?” tanyaku pada Kak Imas yang entah bila kembali ke situ. Mungkin ketika aku berkenal-kenal dengan Acik Ipah tadi.
“Ambillah.” Kak Imas menjawab sambil cekatan menyediakan hidangan lain. Mukaku tak langsung berada dalam fokus matanya.
Tanpa hirau pada yang lain termasuk Od, aku angkat talam berisi kuih-muih itu ke ruang depan untuk Acik Ipah dan keluarganya. Namun sempat aku memalingkan badan pada Od sambil menatang talam.
“Od, minta tolong kejap,” kataku pada Od. “Ambilkan air kat bangsal untuk Acik Ipah, boleh?” Aku lebarkan bibir semaksima yang mampu.
“Okey.” Sepatah Od menjawab, sambil mengangkat seketul lagi karipap ke mulutnya.
Dua minit kemudian aku sudah muncul semula di ruang depan dengan setalam hidangan kuih-muih. Acik Ipah sambut aku dengan bibir yang lebar. Namun kali ini aku terperasan fokus biji mata Acik Ipah tak lepas dari aku. Bibirnya pun tak letih-letih melebar. Serba tak kena aku dibuatnya. Tangan ini macam tak terpegang saja piring-piring kuih yang aku hidang depan Acik Ipah. Mahu tak mahu, aku paksa-paksakan bibir ini supaya melebar sama. Tertekan aku jadinya!
Disebabkan keharu-biruan perasaan aku ketika itu, sepantas yang boleh aku minta diri ke dapur semula. Ketika itu aku berselisih dengan Od yang menatang sedulang minuman yang aku minta tadi.
Entah kenapa ada rasa lain macam pada pandangan mata Acik Ipah tadi. Seram sejuk aku jadinya. Acik Ipah bela saka agaknya. Meremang-remang segala bulu dibuatnya. Bulu hidung pun rasa nak terpacak sama. Heee....


Monolog Od

“Od!”
“Ya.” Malas aku nak menoleh. Kenal betul aku pada suara tu. Tak lain tak bukan, suara Jah. Daripada aku tengok muka Jah, baik aku tengok motorsikal abah ni. Sejak aku duduk Kuala Lumpur, abah tak bela langsung motorsikalnya. Main belasah sesedap rasa saja. Kalau rosak nanti, macam mana? Kan susah nak ke bendang, nak ke masjid. Tadi sempat aku tukar minyak hitam. Isi minyak pelincir. Betulkan breknya. Harap-harap motorsikal ini sihat sejahtera sepanjang ketiadaan aku.
“Kau balik bila?” soal Jah sambil duduk di tepi tangga, tak jauh daripada tempat keberadaan aku dan motorsikal abah.
“Petang ni. Kau?” Aku gosok rim motorsikal abah dengan sepenuh daya usaha. Biar hilang selut-selut yang berumah tangga di situ.
“Petang ni juga,” jawab Jah.
“Itu apa?” tanyaku sambil memanjangkan muncung pada bekas makanan yang masih berada di dalam raga Cik Pinky. Karipap! Karipap! Karipap! Diam-diam aku berdoa dalam hati. Tinggi harapanku agar karipap yang berada dalam bekas makanan itu.
“Oh, itu.” Jah bangkit lalu mencapai bekas itu. “Nah.” Bekas itu dihulurkan padaku.
“Karipap?” soalku dengan mata yang bersinar-sinar.
Jah mengangguk. “Yang belum digoreng. Lebihan kenduri semalam,” jawab Jah.
“Yahuuu!” Aku menjunjung genggamku. Syukur alhamdulillah. Doaku tadi termakbul. “Tangan aku berminyak ni. Pergilah hantar ke dapur,” kataku. Jah masuk ke dalam rumah. Beberapa minit kemudian gelombang-gelombang bunyi mula menggetarkan gegendang telingaku. Tidak syak! Kewujudan Jah di dapur emak, menghasilkan suasana riuh-rendah.
Namun tak lama, Jah menghadirkan kembali dirinya berdekatan aku. Dia duduk di tepi tangga macam tadi juga. Selepas dua minit tiada vokal yang terhasil daripada mulutnya. Aku pandang dia. Dia termangu di tepi tangga itu.
“Oit, termenung sangat ya,” tegurku. Tangan ini masih gigih menggosok apa yang patut digosok pada motorsikal Abah. “Ada masalah ke?” soalku pula.
“Hmmm...” Jah masih tidak mengeluarkan perkataan walaupun sepatah. Matanya fokus pada abahku yang baru balik dari menjala bersama Abang Mizi, yakni suami Kak Soya.
“Banyak dapat ikan?” tegur Jah. Bibirnya dilebarkan sikit.
“Banyak juga. Ada puyu, sepat, dan sepat layang. Haruan pun ada. Tersangkut dalam lukah dekat palong,” jawab Abah sambil meninjau tong cat terpakai berisi ikan. Abang Mizi meletakkan jala di perdu mangga di tepi rumah. Nanti Abah yang akan kiraikan jala itu. Jala mana boleh sembarang letak di tanah. Adalah nanti ayam atau itik yang terjerat kaki. Silap-silap ada juga cucu manusia yang terjala sekali. Anak-anak saudara aku bukan boleh tengok benda pelik sikit. Adalah sesi demonstrasi yang akan dijalankan mereka nanti. Pantang lepa. Dan macam yang aku agak, anak sulung Kak Soya heboh menerpa ayahnya, kemudian galak membelek jala yang baru diletakkan Abang Mizi.
“Apa masalahnya?” Kali ini aku duduk di mendepani Jah.
“Coklat misteri,” kat Jah sepatah.
“Ooo, yang tu.” Spontan tangan ini menggaru kepala. “Siapa yang beri?” soalku.
“Kalau aku tahu siapa yang beri, taklah aku panggil ‘coklat misteri.’ Pemberinya sangat misteri.” Jah masih menopang dagu. Fokus matanya terarah pada Abah yang sedang mengirai jala, namun kelopak matanya langsung tak berkelip.
“Kau makan coklat tu?” soalku buat kesekian kalinya. Jah geleng, kemudian pandang muka kacakku dengan pantas.
“Cari nahas?” Bulat sempurna diameter kelopak mata Jah ketika memandang aku. “Entah-entah si pemberi dah perasapkan kemenyan sekati, mandrem dengan bomoh Siam ke apa.” Jah kerling aku.
“Kalau macam tu, lain kali bagi pada aku. Kalau coklat tu dijampi pun, tak ada kesan pada aku, sebab serapah tu semua atas nama kau.” Keningku terjongket-jongket dengan seronoknya.
“Yalah tu.” Jah mencebir.
“Kau buat apa coklat tu?” soalku.
“Coklat? Mana coklat? Nak!” Satu suara comel menyampuk tak semena-mena. Spontan aku dan Jah memandang ke arah suara itu. Azim, anak sulung Kak Soya berumur tiga tahun bermuka serius berdiri di anak tangga keempat di atas Jah.
“Mana ada coklat.” Aku membalas.
“Tadi Pak Usu cakap coklat,” kata Azim dengan pelat dan muka cemberut.
“Pak Usu kata, motorsikal atuk ni dah jadi warna coklat sebab kotor.” Aku jelir lidah pada Azim. Gelak Jah terbabas keluar. Azim memanjat anak tangga dengan warna kecewa yang terserlah pada mukanya.
“Aku bagi kawan-kawan pejabat,” kata Jah demi menjawab pertanyaan aku tadi.
“Tentu manusia yang berkenaan kecewa bila nampak coklat tu bukan kau yang makan.” Keningku terjongket-jongket lagi.
“Aku seram tau. Serba tak kena jadinya di pejabat.” Dahi Jah terkerut-kerut.
“Tak sangka, ada juga peminat kau eh?” kataku sambil menghasilkan gelak berskala kecil.
“Yalah, aku bukannya lawa pun. Tak macam Julie kau tu. Model sambilan, pelakon tempelan, dan segala yang ‘lan-lan’ lagi.” Suara Jah beraura geram. Mukanya ketat mendadak.
“Sentap nampak?” Kegigihan tanganku dalam sesi penggilapan motorsikal abah, terganggu serta-merta.
Jah diam. Biji matanya beralih pada Abah yang tekun menyiang ikan di bawah pokok mangga. Beberapa ekor ayam mengambil kesempatan mencuri-curi patuk isi perut ikan yang disiang Abah. Azim yang tadinya berada di atas rumah, kini elok mencangkung di depan Abah. Gigih sangat Abah melayan soalan-soalan Azim yang mencabar minda itu sambil giat menyiang ikan. Aktif sangat budak ni. Sekejap tadi menyerbu ayahnya. Kemudian main-main di tangga. Tak lama, main di atas rumah rumah pula. Sekarang tahu-tahu dah mencangkung jadi mandor atuknya menyiang ikan sambil buat sesi temu ramah.
“Berapa kali kau terima coklat misteri tu?” Kali ini aku menyerlahkan keseriusan. Aku tak mahu Jah sentap lagi.
“Baru dua kali,” jawab Jah dengan malas. Agaknya mood Jah hilang bahana usikan tadi. Datang bulan ke apa budak Jah ni? Sensitif tak memasal.
“Jah, ke sini kejap!” Abah menggamit Jah.
Ah, Abah potong stim betul. Baru saja aku nak memujuk Jah yang tersentap tadi. Jah macam tak mahu hadap muka aku lagi, terus bangun menuju ke arah Abah.
“Ambillah ikan ni.” Abah hulur bungkusan beg plastik berisi ikan. Kocoh-kocoh Jah buka bungkusan itu. Aku perhati saja mereka dari kordinat asal.
“Banyak sangat ni.” Biji mata Jah terserlah kebulatannya. Bulu mata lentiknya terkipas-kipas laju.
“Ambillah. Acik dapat banyak hari ni. Rezeki kamulah. Kamu kan suka ikan puyu ni. Ikan haruan seekor tu untuk Lin,” kata Abah.
“Laaa... Kak Lin nak habis pantang dah.” Jah buat-buat jual mahal. Eleh, sebenarnya sedang tahan diri dari buat lompat bintang.
“Alah, makan bila-bila pun elok.” Abah sengih. “Jah...” Mulut Abah terkumat-kamit, tetapi tak kudengar pula ayat-ayat yang dihasilkannya. Abah senyum-senyum. Kemudian secara drastik berlaku fenomena merah padam pada muka Jah. Ayat macam mana yang Abah hasilkan sampai berlakunya perubahan warna pada pipi Jah?
“Acik ni!” Suara Jah melengking. Gelak Abah terlompat-lompat keluar. Semerta kerutan-kerutan pada dahiku terserlah. Lain macam saja Abah dengan Jah ni!
“Jah balik dululah, cik. Dah tengah hari. Petang ni nak balik dah. Terima kasih.” Aku perhatikan Jah simpul tangkai beg plastik, lalu melajukan langkah kakinya. Abah masih meneruskan gelak, tetapi makin kecil skala gelombang bunyi yang dihasilkannya.
“Hei, nak balik ke? Aku belum habis cakap lagi ni.” Aku laung pada Jah apabila dia tak kembali duduk di depan aku.
“Nak baliklah. Nak masak.” Jah tak menoleh ketika menghasilkan ayat itu. Terus menonong saja langkahnya. Aku syak Minah ni mengalami ketidakstabilan hormon. Sentisif!

Err... apa agaknya yang Abah bahankan Jah tadi sampai merah-merah muka Jah jadinya? Dan dahiku masih juga mengerut-ngerut dengan hebatnya disebabkan adegan tersebut.

Sunday, May 26, 2013

Monolog Jah dan Od (BAB 7)



Monolog Jah.

Walaupun perut aku lapar, tapi selera mati tiba-tiba. Namun Mamat di depanku bukan main gigih lagi memenuhkan perut, dengan penuh semangat pula gayanya. Sedangkan aku hanya menguis-nguis nasi di pinggan.
“Tak luak pun nasi tu?” Teguran Od secara mendadak mengkelam-kabutkan aku. “Tadi kata lapar. Lauk paru sambal tu, bukan ke kegemaran kau? Tu... ikan masin, kerabu mangga lagi,” tambah Od sambil telunjuknya yang berlumur dengan gulai dan nasi tiga empat biji lurus ke arah pingganku.
Memang. Lauk dalam pinggan aku, dia yang pilih. Dia tahu apa yang aku suka dan tidak. Minum pun dia yang pesan. Aku cuma disuruh duduk, chop meja untuk kami. Manusia berbondong-bondong ke gerai bawah pokok ini. Kalau ditinggalkan meja ini, makan bertinggung tepi longkanglah jawabnya kami.
Tegurannya itu menggigihkan tanganku untuk membuat suapan. Sebenarnya aku sendiri tak tahu kenapa aku tetiba tersentuh apabila Od beritahu yang dia sedang berusaha menyediakan segala serba. Dia mahu kahwin, dan kali ini dia serius.
Setelah dua minggu aku macam tak wujud pada kotak chattingnya, tetiba hari ini dia menunggu aku depan pejabat. Dengan tabahnya dia memujuk, kemudian mendesak aku supaya mengikutnya. Aku yang memang berjauh hati atas layanan endah tak endahnya, malah aku dikatakan menyibuk dan mengganggu dia berchatting dengan Julie, mahu tak mahu terpaksa menurut kemahuannya.
Rupa-rupanya Od bawa aku ke premis kereta terpakai. Tetiba rajukku lesap macam dihembus angin. Tetiba mataku yang keletihan akibat menatap skrin komputer empat jam tanpa henti, jadi segar dan cegar. Tetiba semuanya terubat apabila Od menunjuk sedan Datsun 120Y. Tetiba aku bersikap hu-ha macam biasa dengan Od. Lupa terus akan penyingkiran Od terhadap kewujudan aku sejak dua minggu lepas. Semunya dengan tetiba!
Namun kemudian, aku rasa akan kehilangan apabila Od cakap nak kahwin. Dalam kepala tetiba terfikir, adakah hari ini dia mempergunakan aku? Waktu seronok-seronok, dia lupa akan kewujudan aku. Waktu perlu, barulah menonjolkan ketabahan memujuk aku supaya mengikut dia dan jadi peneman ketika berangan-angan. Dan nasi beserta lauk-pauk di depan aku ini adalah  upah kerana mengikut dia berdiri tengah-tengah terik mendenting tengok kereta terpakai tu. Macam tu? Macam tu? Macam tu ke?
‘Hei, ikhlaslah!’ Ada bisik halus dalam kepala aku.
‘Aku ikhlaslah ni.’ Jiwaku membalas bisikan itu.
‘Kalau ikhlas, jangan pertikaikan apa-apa macam sekarang.’ Bisikan itu menempelak.
‘Okey, belajar ikhlas!’ jawab jiwaku.
‘Bagus. Kau baik!’
Aku sengih sebagai membalas teguran Od. Aku harap Od tak buat aku jauh hati lagi. Tapi... ah, entahlah. Ada sesuatu menampar-nampar hati.
“Jah, esok buatkan aku karipap. Karipap ayam ya?”  Od sengih. Waktu itu dia baru tamat menyuap. Habis licin berkilat pinggannya.
“Seketul seringgit.” Sengihku pun teraktif sama.
“Melampau!” Od mencebir.
“Hai, Deeja.” Tetiba Johan muncul di gerai itu dengan Jai. Namun Jai cuma tunduk memandang kasut seliparnya saja, sebelum meningkatkan kelajuan langkah kakinya ke kaunter makanan. Sikit pun dia tak pandang aku. Dulu-dulu Jai ramah juga dengan aku. Kenapa sekarang lain macam?
“Makan.” Od menyedekahkan senyuman untuk Johan, tetapi telunjuknya lurus pada pinggan aku. Johan hanya angguk kemudian membontoti Jai. Mungkin betul tingkah Od dengan menuding pinggan aku, sebab pingganya sendiri licin bersinar-sinar tanpa membazirkan walau sebiji nasi pun.
Tengah hari itu aku terus lupa sekejap dengan insiden penemuan coklat di atas meja dan di bakul motorsikal aku. Semuanya disebabkan teruja dengan hasil lawatan sambil berangan ke premis kereta terpakai bersama Od. Bangga tahap Gaban sebab jadi orang pertama tengok kereta yang akan dibeli Od. Namun kehadiran Johan dan Jai secara drastik mengingatkan aku pada resah, gelisah, seriau dan canggung yang terhasil daripada insiden kewujudan coklat misteri itu.
“Kau nak join kawan-kawan kau tu ke? Kalau macam tu, aku balik ke pejabat dulu.” Od bersedia untuk bangun.
“Aku pun dah sudah.” Dengan pantas aku pun bangun. Nasi berbaki hampir seperempat lagi di dalam pinggan, tak mampu aku habiskan. Nak tunggu lagi? Dengan Jai pula? Oh, tidak sama sekali! Err... aku malas untuk mengesyaki Jai. Namun kata hati ini... Jai adalah... Ah, tertekan! Tertekan! Adalah lebih baik aku bangun dan balik ke pejabat.
“Od.” Aku berusaha meningkatkan tahap kelajuan langkah kaki demi menyaingi Od.
“Tak payah lari. Nanti senak perut tu. Tak sabar nak jogging ke?” usik Od.
“Od, aku seriaulah.” Tanpa peduli dengan usikan Od, aku bermukadimah tentang insiden penemuan coklat itu. Sejak dua minggu lalu, aku memang harap Od akan ada untuk jadi tempat meluah rasa. Tapi Od kata aku penyibuk sebab mencelah waktu dia gigih bersenam jari melayan kekasihnya di Skype. Sekaranglah masanya untuk meluahkan keseriauan yang makin mendalam ini padanya.
“Seriau pasal apa?” Od angkat sebelah keningnya yang tebal itu. Kedua-dua belah tangan menyeluk poket jeansnya. Kami berjalan kaki saja balik ke pejabat. Bukan jauh mana pun pejabat kami.
“Ada orang bagi coklat.” Aku menjawab. Tetiba bulu romaku tegak 90 darjah.
“Kau biar betul. Orang bagi coklat pun nak seriau?” Gelak Od terlompat-lompat keluar dengan galaknya. Ikutkan hati, mahu saja aku gonyoh mulutnya dengan tempurung berbulu. Tak nampak ke dia keseriusan muka aku ni?
“Kau tak nak coklat tu ke? Kalau tak nak, aku nak.” Amboi, makin galak gelak Od. Aku jeling menyampah padanya. Gelaklah! Gelak sampai putus urat kentut!
“Hoi, aku seriuslah!” Tetiba aku buat latihan vokal pula. Tetiba suhu darah ini menginjak ke takat didih. Tetiba mukaku terasa ketat. Semerta hilang kesopanan dan kesusilaan aku. Semerta gelak Od hilang. Semerta kaki ini makin laju melangkah.
“Okey! Okey, aku salah!” Od turut melajukan langkahnya demi mengejar aku. “Beb, janganlah marah!” Kali ini Od berjaya cemerlang memintas aku. Aku pun bukannya boleh lari sangat. Baru lepas makan nasi, mana boleh buat aktiviti berlari-larian. Bolah muntah dibuatnya. Akan terjadi pembaziran pula nanti. Tak baik membazir. Nanti jadi BFF syaitan nir rajim!
Od menghalang laluanku. Aku ke kanan, dia ke kanan. Aku ke kiri, dia sengaja ke kiri. Akhirnya kakiku melekat pada kordinat yang sama.
“Okey, apa masalahnya?” Bibir Od melebar setengah inci. Aku tahu dia terpaksa menghasilkan senyuman. Tahu pun takut. Takut aku tak buatkan karipap ayam yang dia nak sangat tu.
“Macam ni. Coklat tu....”
“Helo! Haa... okey! Okey!” Belum sempat ayatku berakhir dengan sempurna, Od sibuk dengan telefonnya pula. “Alamak, Jah. Maaf sangat-sangat. Aku kena balik pejabat sekarang juga. Bos nak jumpa aku. Urgent katanya,” kata Od padaku. Ah, macam dalam drama pula! Huh!
Tanpa menunggu suara aku keluar dari mulut, Od tergesa-gesa meninggalkan aku dalam keterpinga-pingaan.
“Jangan lupa karipap ayam aku. Esok ya!” Sambil membuat aktiviti lari-lari anak, sempat pula Od menoleh dan melaung mengingatkan aku akan karipap ayam yang menjadi idamannya itu.
Aku penuhkan peparu dengan oksigen sampai puas. Kemudian dengan kasar kuhembus pula karbon dioksida dari kedua-dua lubang hidungku. Sabarlah hati!


Monolog Od

Malam ini seperti biasa aku buat senaman jari di atas papan kekunci komputer ribaku. Namun hakikatnya jariku tak juga meruncing atau dalam erti kata lainnya, langsing. Di depanku sekarang ialah Julie. Chop! Bukan Julie yang sebenar, melainkan gambar Julie saja. Julie sedang berkongsi gambarnya denganku. Dia sengaja buat pose skema dengan propnya ialah buku-buku agama yang aku hadiahkan pagi tadi padanya.
Julie: Terima kasih. Bacaan yang menarik
Aku: Sama-sama. Dah mula baca?
Julie: Dah, sikit-sikit.
Aku: Bagus. Anda gadis yang baik.
Bibirku melebar. Gembira. Julie mendengar kata. Kalau dengan Jah, tentu ada saja yang mahu dibangkangnya. Ada saja yang nak didebatkan denganku.
Aku: Bila agaknya nak berhijab terus?
Julie: Belum tahu lagi. Masih belajar.
Aku: Berhijab wajib. Sebenarnya tak ada alasan untuk tidak berhijab bagi muslimah.
Julie: Ya, ustaz ada beritahu. Cuma ada perkara yang membuatkan saya belum menunaikan kewajipan tu.
 Aku: Okey. Belajar elok-elok. Bincang dengan ustaz dan ustazah. Nanti bila dah pandai, saya nak buat surprise.
Julie: Alamak. Tak sabarnya! Tak sabar nak dapat surprise.
Aku membayangkan Julie terlompat-lompat seronok di sebelah sana. Pelebaran bibir ini dah sampai ke tahap maksima. Bagaimanapun tetiba aku rasa macam ada sebongkah batu sebesar gunung pada pundak ini. Julie saudara baru. Dan aku ada satu tanggungjawab, iaitu membimbing dia. Dalam masa yang sama, aku pun bukannya ‘berjalan dengan betul’ sangat. Apabila bercakap dengan Julie berkenaan hijab, aku sendiri pun tak pandai memberikan hujah bernas padanya. Terus aku kebuntuan. Ah, macam mana tu?
‘Oit, inilah masanya kau pun jadi manusia yang ‘berjalan pada laluan yang lurus.’.
Eh... eh, siapa pula yang berbisik ni? Aku pandang gambar Julie pada paparan skrin komputer riba sesaat dua. Dia bergambar dengan buku-buku agama yang aku hadiahkan.
‘Aku kena jadi ustaz. Barulah boleh didik dia betul-betul,’ jawab hatiku.
Ya, betul juga kata bisikan tu. Serampang dua mata. Aku belajar sikit, aku beritahu sikit. Aku belajar banyak, aku beritahu banyak. Ilmu di dada kena tambah demi menjadi pembimbing yang baik, kemudian ajak Julie masuk kelas agama dan belajar bersama-sama. Banyak kes saudara baru kembali pada pegangan asal disebabkan tiada bimbingan berterusan dan tiada usaha pemantapan iman dan akidah.
Aku: Julie, kita tak tahu masa depan kita macam mana. Saya harap, kalau suatu hari nanti saya tak ada lagi dalam hidup awak sama ada sebagai kawan, atau apa-apa pun, saya harap awak tetap berpegang teguh dengan pegangan baru ini dan sentiasa belajar.
Julie: Ya, saya faham. Saya tahu ajal dan jodoh adalah takdir. Saya okey saja. Kita baru kenal dan macam awak cakap, kita tak pasti masa depan kita macam mana.
Aku: Harap semunya baik-baik.
Kadang-kadang aku takut andai nanti aku dan Julie tak sampai ke mana, kemudian dia terus berpaling dari pegangan yang baru dianutinya ini. Nauzubillah!


 Hujung Minggu yang Seronok



Monolog Od

Aroma yang semerbak menyerbu-nyerbu lubang hidungku. Akibatnya mataku terpejam-pejam saat menghayati aroma itu. Beberapa saat sengaja membiarkan aroma itu mencucuk hidung, maka penaakulan itu berjaya mengenal pasti aroma ikan pekasam yang sedang melalui proses penggorengan. Rindunya pada masakan Hajah Zainab!
Dan-dan itu juga aku lari meninggalkan bilik. Aroma pekasam itu umpama magnet yang menarik aku supaya mendekatinya. Sampai saja di dapur, aku capai pinggan di atas para. Nasi panas di dalam periuk karan aku cedok.
“Hei, tak siap lagilah!” Kak Soya menegurku. “Gulai pucuk ubi baru mendidih. Ni, sambal belacan masih ditumbuk,” tambahnya sambil gigih menujah-nujah alu pada lesung.
“Tadi baru habiskan nasi lemak sepinggan. Sekarang dah lapar?” soal emak. “Kau tak cukup makan ke kat rumah kakak kau tu?” Mak mencekak pinggang.
“Kicap ada?” soalku tanpa memberikan jawapan kepada mak. Tanpa mengeluarkan sebarang bunyi dari mulutnya, mak hulur kicap sebotol padaku. Kemudian aku duduk, tuang kicap sesedap rasa, capai seekor puyu pekasam, kemudian duduk. Dengan penuh selera aku memulakan acara memasukkan nasi hangat berkicap berlaukkan pekasam.
“Sedapnya, mak!” Dengan beria-ia aku menghabislicinkan nasi di pinggan aku.
“Nak tambah lagi?” soal mak. Sekenyit mata aku menggeleng.
“Makan macam masuk hantu raya.” Dalam kegigihannya menumbuk sambal belacan, sempat juga Kak Soya mengaktifkan perliannya padaku.
“Mak masak nasi sedap sangat ni. Mak goreng pekasam pun sedap tak boleh tahan.” Pujianku disambut dengan cebikan oleh Kak Soya.
“Bodek! Bodeklah mak tu. Timang dia tinggi-tinggi.” Sindiran Kak Soya terbabas dari mulutnya.
“Ehhh... suka hati oranglah nak bodek siapa.” Aku jeling Kak Soya. “Mak, nanti bila dah siap semua, mak panggil makan cepat-cepat ya?” kataku sebelum keluar dari dapur.
“Ishhh... kebulur betul budak ni!” balas mak.
“Orang rindu dengan gulai pucuk ubi mak tu. Kak Soya mana reti buat gulai pucuk ubi!” Kata-kata yang aku hasilkan menyebabkan sehelai kain lap dapur yang sukar diklasifikasikan warnanya melayang-layang secara pantas lalu terjelepuk tepat ke mukaku. Maka secara spontan hidung ini menangkap aroma yang langsung tak sedap untuk dihidu.
Namun dengan pantas juga aku melemparkan kain lap dapur itu kepada Kak Soya. Bagaimanapun dia sempat mengelaknya. Malas aku nak layan Kak Soya. Daripada aku main dengan mak budak, lebih baik aku main dengan budak macam bapa aku yang ketika itu bermain dengan cucu-cucunya.
Sejak aku menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur sebulan setengah yang lalu, inilah pertama kali aku balik ke kampung yang kurindui ini. Selain menziarahi orang tua yang kini sudah kembali berbulan madu di rumah akibat ketiadaan anak-anak yang tinggal bersama, aku juga akan menghadirkan diri pada majlis akikah anak Kak Lin, kakak kepada Jah.
Komuniti Kampung Parit Burung yang indah lagi makmur ini masih lagi meneruskan amalan kekitaan. Syukur kepada hadrat Ilahi. Biarpun warga mudanya ramai berhijrah ke seantero Malaysia, namun ukhwah sesama kami tetap tersimpul kukuh lagi kejap. Dengar saja si polan-polan buat kerja kenduri, maka berduyun-duyunlah yang balik ke kampung untuk memeriahkan acara. Tak kiralah kenduri aku terima nikahnya, kenduri potong jambul, kenduri masuk Jawi, dan segala macam jenis kenduri lagi. Bukan itu saja, andainya ada kematian pun semerta memasing pakat minta pelepasan dari bos untuk tujuan menziarah.
Syukurlah aku dilahirkan sebagai anak kampung ini. Nanti apabila aku buat kerja kenduri aku terima nikahnya, ramai yang akan hulur tangan membantu. Dulu masa mak dan abah buat kenduri aku terima nikahnya untuk Kak Soya, rumah kami tetiba saja bertukar jadi stor penyimpanan makanan. Waktu itu kerja kenduri akan berlangsung beberapa minggu lagi, dan abah belum pun membeli sebarang benda demi menjayakan majlis besar itu nanti.
Wak Sentot menyumbang seguni besar beras. Pak Man tanpa berkira usung dua kotak besar gula. Embah Piah siang-siang lagi hambat cucunya, si Shahrul itu supaya kumpulkan segala telur dari reban ayamnya, buat tambah-tambah nanti kalau-kalau mak nak buat kuih bahulu. Acik Bari sibuk angkut ubi dua kantung. Boleh dibuat kerepek untuk kudap-kudap orang rewang katanya. Bawang-bawang, asam garam segala adalah dari sumbangan serba sedikit jiran-jiran. Mak dan abah cuma tambah-tambah mana yang kurang. Itu belum cerita lagi jiran tetangga lain yang sibuk usung tulang empat kerat, sibuk menahan mata daripada menghasilkan tahi mata barang semalam dua, memerah peluh siapkan apa yang patut pada hari rewang. Biar majlis tiada cacat celanya. Biar tuan rumah tak terkena aib.
Aku duduk di KL sebulan, rasa rimas. Rumah-rumah jiran sentiasa tertutup. Bertegur sapa cuma ketika menunggu lif. Itu pun bukannya borak sakan. Sekadar berbasa-basi pun dah cukup bagus. Selalunya, memasing cuma buat muka ketat dan sentiasa kukuh dengan kelakuan aku-aku, engkau-engkau. Jarang-jarang ada yang buat pahala dengan menyedekahkan senyuman. Kalau aku senyum pun, cuma dibalas dengan senyum buatan. Malah kadang-kadang aku macam orang gila; senyum sendiri. Eee... malu weh! Ah, tak apalah. Aku dah buat apa yang patut. Jadi mereka itulah yang memang tak patut layan aku macam tu.
Oh, rindunya pada kampung! Rasa nak tinggal lama-lama saja. Namun apakah daya, memang tiada daya. Cuti tahun pun aku belum punya. Alahai, kasihannya!

Kerana Julie terpaksa aku korbankan perasaan ini.