Sunday, April 21, 2013

Monolog Jah dan Od (Bab 4)



BAB 4

Monolog Jah

Telefon bimbit bergetar, tanda ada pesanan ringkas yang masuk.
Aku nak jumpa kau sekarang. Boleh? – Od.
Sebaik tamat membaca kiriman SMS itu, kening ini berkerut secara drastik. Aku di KL. Dia di kampung. Nak jumpa sekarang? Dia fikir aku ni ada ilmu ghaib-ghaib, atau ada kelebihan teleport macam Hiro Nakamura, boleh sesenang  pling... pling, ada di sana. Pling... pling... ada di sini semula?
Okey, aku terbang balik kampung sekarang. Tunggu khadam aku bawakan tikar terbang sekejap lagi ya. – Aku.
SMS Od aku balas dengan ayat berbaur perlian.
Seminit selepas itu felefon di tangan menjerit-jerit tanda ada panggilan masuk. Od! Amboi, malas nak buat senaman jari, terus telefon ya?
“Hoi, tak payah nak tunggu tikar terbang segala. Aku dah sedia terpacak depan pejabat kau ni.” Tanpa salam, Od terus bersuara sebaik sahaja ikon terima aku calit. Dia yakin sangat memang aku yang menjawab telefon itu. Kalau orang lain yang tolong jawab, macam mana? Barulah dia tahu definisi malu.
“Hah? Kau ada depan pejabat aku?” Mamat ni biar betul? Dengan terkocoh-kocoh aku berlari-lari anak ke arah tingkap di tingkat tiga itu.
“Yalah. Cepat turun!” Suara Od mendesak dari corong sebelah sana.
Sebaik sahaja aku jengukkan kepala ke bawah, sah... memang Od sudah tegak terpacak di bawah, betul-betul menghadap ke pintu masuk pejabat ini. Mimpi apa Od malam tadi agaknya?
“Tak pernah-pernah dia datang ke pejabat aku! Waras ke tidak dia ni?” Aku menggumam sambil berusaha menyorokkan wabak terperanjat yang menyerang secara pantas itu. Musykil! Musykil sangat!
“Kau cakap dengan siapa?” Teguran Tina mengejutkan aku. Alamak, boleh pula didengar orang. Drastik aku menekup mulut.
“Nak keluar makan tengah hari?” Tina menegur lagi selepas aku terkocoh-kocoh membuka pintu. Waktu itu hanya ada aku, Tina dan ketua grafik saja.
“Ya,” balasku sambil menguak pintu.
“Tadi kata tak nak keluar makan.” Kening Tina berkerut. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah menyerlahkan sengihan padanya, sebelum terkocoh-kocoh turun.
Detak jantung ini terasa keras berdenyut. Macam-macam perasaan ada. Gementar, takut, cemas. Mengapa Od tiba-tiba muncul? Tak ada angin, tak ada ribut!
“Mak atau bapak aku sakit ke?” Ritma jantungku makin kencang. Langkah kaki ini aku tingkatkan kelajuannya. Biar cepat sampai ke bawah. Biar cepat tahu mengapa Od tetiba terpacak depan pejabat aku tengah-tengah hari begini.
“Woohoo! Tiga puluh saat saja?” Od memandang jam tangannya ketika aku tercungap-cungap hampir putus nafas memecut dari tingkat tiga.
“Kenapa kau tetiba datang?” Pertama-tamanya, itulah yang aku mahu tahu daripada Od.
“Hei, relaks!” Od pandang aku atas bawah. “Aku tak suruh kau lari ke bawah macam kena kejar hantu. Pucat sangat muka kau ni, kenapa?” Muka Od langsung tidak menonjolkan sebarang tanda yang dia mengutus khabar kurang gembira dari kampung.
“Yalah, kau tetiba muncul depan pejabat aku tengah-tengah hari ni kenapa?” soalku lagi. Selagi Od masih belum memberikan jawapan, selagi itu aku masih belum puas hati. Dalam kepala otak aku waktu ini hanya nampak muka Hajah Marlina dan Haji Misron saja.
“Aik, aku datang pejabat kau pun tak boleh? Nak ajak kau makan tengah harilah.” Mimik muka Od masih selamba macam biasa.
“Kau biar betul, Od?” Aku masih gagal mempercayai kata-kata Od. Mamat ni kadang-kadang suka main-main. Hmmm... tapi kalau sesuatu yang buruk terjadi di kampung, takkan Od nak sembunyikan dari aku? Tentu mimik muka Od takkan seselamba sekarang, kan?
“Yang muka kau pucat lesi macam zombi ni kenapa?” soal Od sekali lagi. Aku bertanya, dia pun sibuk bertanya juga. Helooo... aku mahu jawapan, bukannya soalan. Tertekan betul!
“Eh, mana ada!” Aku tepuk-tepuk muka. Kemudian aku tersedar kembali perihal Od yang memunculkan diri secara tiba-tiba di depan pejabat aku. Tak mungkin dia saja-saja datang!
“Cakaplah Od, kenapa kau datang ke sini, depan pejabat aku ni?” Buat kesekian kalinya aku mengutarakan soalan pada Od. Hanya dia yang belum menyelatankan jawapan. Hmmm, ada utara, tentulah ada selatan, kan?
“Laaa... budak ni!” Od mula menjalankan kegiatan penggaruan kepala. “Aku datang nak ajak kau makan tengah harilah. Bukan ke sekarang ni waktu makan tengah hari?” balasnya.
Aku perhatikan mimik muka Od. Ada riak-riak kehairanan pada mukanya melihat aku turun macam taufan.
“Kau ni dah kenapa?” Riak kehairanan pada muka Od semakin menonjol. Dan buat kesekian kalinya dia menyoal. Aduhai, kalau begini sampai bila pun tak habis-habis menyoal. Aku soal dia, dia soal aku balik.
‘Okey, Od tak bawa apa-apa berita buruk dari kampung. Semuanya okey,’ bisik hatiku menenangkan diri. Ritma jantung mula stabil. Nafas pun sudah tenang-tenang.
“Okey, kau datang tengah-tengah hari ni nak ajak aku makan.” Aku tarik nafas panjang, buat pameran gigi, dan berharap sangat Od tak tukar topik kepada sesuatu yang aku tak mahu dengar. Tolonglah jangan!
Mak! Bapak! Tolonglah hidup dengan baik dan sihat walafiat di kampung!
“Kita makan kat warung bawah pokok. Kat sana.” Semerta jari telunjukku lurus ke arah warung tidak jauh dari pejabat.
“Chop!”
Langkahku yang baru bermula, terhenti secara mendadak apabila suara Od melantun. Aku menoleh padanya, lalu mengerutkan kening.
“Tak nak kenalkan aku pada pakwe kau ke?” Sengihan Od terhasil. Kening tebalnya terjongket-jongket. Nakal.
Tiba-tiba hati aku jadi kembang. Inilah masanya aku mahu buat tayangan perdana pada Od. Dengan penuh bangga lagi berlagak, aku beri isyarat pada Od supaya mengikut aku.
“Tadaaa!” Dengan penuh rasa cinta aku ‘kenalkan’ Od pada ‘kekasih gelapku’.
“Lepas ni kecintaan kau pada Cik Pinky makin terhakislah ya,” ujar Od sambil membelek Mr. Ready yang terlalu kacak di mataku.
“Cik Pinky takkan kulupakan. Tetap menjadi kesayangan aku walaupun kami terpaksa berjauhan.” Dengan seronoknya aku menyedekahkan senyuman pada Od. “Macam mana? Handsome, kan?” soalku dengan gedik sekali. “Jauh sangat kapcai EX5 kau tu kalau dibandingkan dengan Mr. Ready ni.” Buat kesekian kalinya dengan sengaja aku menonjolkan keberlagakan yang semakin bertingkat-tingkat tingginya.
“Tak sayang mulut betul! Berlagak nak meninggal.” Od mencebir. Namun dia tidak banyak bunyi. Aku tahu dia mengakui ketampanan Mr. Ready. Cuma dia malu saja untuk mengakuinya. Ahak!
“Sudahlah. Dah lama aku menanggung kelaparan. Layan kau punya berlagak ni bukannya boleh kenyang.” Od mula jengkel.
“Jom!” balasku tanpa berfikir panjang.
“Hai, Deeja!” Alin, kawan sepejabat aku menegur sesampainya aku dan Od di warung itu.
“Oh, hai.” Aku terkesima barang dua tiga saat. Alamak! Di warung itu bukan hanya ada Alin. Johan, Nomey, Muss dan Jai pun ada sama. Dan aku dilihat bersama-sama Od. Oh, habislah jadi gosip besar di pejabat. Kenapalah aku tak terfikirkan hal ini tadi? Ini semua gara-gara terperanjat dek kemunculan Od secara tiba-tiba di pejabat. Terus otak aku jadi weng sekejap. Ditambah pula dengan keghairahan aku menayangkan kekacakan Mr. Ready pada Od, terus aku lupa segala.
“Deeja?” Od menekup mulut sepantas mungkin sebelum gelaknya terlompat melepasi bibirnya. Mataku mula terjegil-jegil padanya. Tahap kegeraman ini makin tinggi melihat Od menyerlahkan kesungguhan dalam cubaan menahan gelaknya daripada terburai. Mamat ni memang nak kena!
“Ini kawan-kawan pejabat.” Aku kenalkan mereka pada Od. Kelopak mata ini aku cuba kecil-kecilkan dengan harapan biji mataku tidak tersembul “Ini jiran aku kat kampung.” Dengan sengihan yang sengaja kulebar-lebarkan semaksima yang boleh, aku kenalkan Od pada rakan sepejabat pula.
“Okey, okey. Kami faham.” Johan angkat kening dua tiga kali.
“Kami pun nak sudah makan. Sila-sila... jangan malu.” Yang lain-lain pun bukan main lagi buat ‘nasi tambah’. Aku pula terpaksa menggigihkan diri terus mempamerkan gigi untuk tempoh seminit dua lagi.
“Ini kawan sekampung sayalah.” Dengan beria-ia aku menjelaskan pada mereka. Namun mereka semua menganjurkan sesi bersedekah senyum secara berkumpulan padaku. Senyuman yang penuh makna!
“Deeja, jangan lewat masuk pejabat ya,” usik Anne dengan kening terjongket-jongket dan bibir yang melebar setengah inci. “Handsome,” bisik Anne tetiba ke telingaku. Ah, sudah! Kabarangkalian aku menjadi ‘bahan’ di pejabat mulai hari ini adalah tinggi.
Dalam banyak-banyak makhluk dari pejabat aku, hanya Jai yang bermuka statik. Aku tak pasti apa emosinya waktu itu. Hok tidak. Hek pun tidak.
“Deeja?” Gelak yang ditahan-tahan Od sejak tadi tiba-tiba melompat keluar. “Nak muntah aku! Ini Jahlah! Jah!”
Eee... ikutkan hati, mahu saja aku lipat sepuluh Mamat ni! Sabar. Sabar. Aku penuhkan peparu di sebalik dada ini dengan oksigen demi mengawal tahap didih darahku supaya tidak meningkat.
“Peliklah kawan-kawan kau ni,” komen Od seraya duduk. Kawan-kawan pejabatku masing-masing beredar selepas selesai memenuhkan perut.
“Pelik? Tak adalah. Kau tu yang pelik. Tiba-tiba datang.” Omelanku mula teraktif. Od mencebir.
“Od, sebab apa kau datang?” Soalan yang sama masih juga meluncur dari mulutku dengan lajunya. Namun kali ini aku yakin tiada apa yang patut aku runsingkan berdasarkan pada rupa paras dan mimik muka Od sejak tadi. Aku saja yang terlebih cemas.
“Eh, budak ni! Sabarlah sikit. Biar aku buat pesanan air dulu. Aku lapar ni. Nanti aku ceritalah.” Od menjeling. Selesai memesan minuman, aku ambil nasi campur. Kemudian Od pula mengambil giliran.
“Kau buat apa di KL ni?” Ketidaksabaranku masih boleh dikawal, walaupun ia semakin rapuh. Sejak tadi jawapan yang sangat-sangat aku kehendaki masih belum meluncur dari mulut Od.
Kali ini Od membuat peragaan gigi pula. Hish... makin geram aku jadinya. Ikutkan hati, mahu saja aku merajuk, terus naik ke pejabat. Biar Mamat ni terkulat-kulat seorang diri. Secara auto, muka ini sudah jadi ketat.
“Hari ini, dengan rasminya aku jadi penghuni Kuala Lumpur.” Ayat-ayat yang dihasilkan oleh Od itu membuatkan aktiviti kunyahan yang baru saja aku jalankan, terhenti mendadak.
Melihat aktiviti kunyahan yang terhenti, selain bukaan kelopak mataku yang semakin luas, Od mula mengjongket-jongketkan keningnya yang lebat berselerak itu. Oh, bab buat saspens memang serah pada Od. Dia memang pakar. Namun kepakarannya itulah yang selalu meningkatkan tahap kejengkelan aku ke paras paling tinggi.
“Kalau nak cerita, cerita sampai habis. Tak payah nak saspens. Kau ingat tulis novel seram ke nak saspens-saspens ni?” Muka ini memang sudah cukup ketat aku rasakan. Jelingan geram sengaja kutayangkan pada Od.
“Sabarlah sikit.” Od mencebir. Sikit pun tak terkesan dengan muka ketat dan jelingan tajam yang sedang aku aktifkan.
“Bermula hari ini, aku mula berkhidmat sebagai pereka grafik di Penerbitan Cerdik Pandai.” Od pandang muka aku yang masih ketat, seraya menyuap sesudu nasi ke dalam mulut.
“Hah?” Sumpah, hampir-hampir nasi yang aku kunyah tersembur keluar. “Bohong!” balasku. Sikit pun tak ada rasa percaya pada berita yang baru ditaakul oleh mindaku tadi.
“Itulah kau. Tadi beria-ia nak tahu kenapa aku ada di sini. Sekarang tak percaya pula.” Od mencebir. Dengan selambanya dia meneruskan aktiviti memasukkan makanan ke dalam mulut.
Penerbitan Cerdik Pandai hanya selang satu blok sahaja dari pejabat aku!
“Motif tetiba kerja kat KL?” soalku selepas berjaya mencerna maklumat dari Od, lalu cuba memaksa diri supaya percaya.
“Dah tiba masanya. Umur makin banyak. Dan yang paling penting, nak kumpul duit untuk kahwin.” Kali ini muka Od terserlah keseriusannya.
Melihat mukanya yang serius, kemudian dia termenung barang seminit dua, juga menghentikan kegiatan memasukkan makanan ke mulut, sudah cukup meyakinkan aku yang dia tidak bergurau. Sahihlah. Dia memang bekerja di Kuala Lumpur, dengan tempat kerjanya hanya selang satu blok dari tempat kerja aku.
Emmm... di kampung berjiran. Di KL pun dia nak berjiran juga dengan aku.
Ops, nanti dulu! Dia kata tadi, salah satu sebabnya dia bekerja di Kuala Lumpur untuk kumpul duit belanja kahwin? Apakah telinga aku tersilap dengar, atau Od yang tersilap cakap? Dengan siapa? Anne? Mona? Julie?

*          *          *

 Monolog Od

Okey, sekarang aku sudah jadi macam yang semua orang mahu. Apa yang semua orang mahu aku lakukan? Cari kerja. Kerja tetap. Siapa yang mahu aku bekerja secara tetap, ada gaji bulan-bulan? Orang nombor satu ialah emak. Nombor dua ialah Jah. Mereka adalah watak utamanya. Watak-watak tambahan ialah Kak Soya, iaitu kakak aku. Tidak lupa juga bapak aku sendiri. Watak-watak tempelan yang selalu menyibuk-nyibuk sama ada aku sudah kerja secara tetap atau belum ialah orang-orang kampung macam Haji Dogol, Diang Galoh, Wak Senduk, Acik Siah dan lain-lain lagi. Naik rimas aku.
Legalah mereka sekarang agaknya apabila dapat tahu aku sudah dapat kerja di Kuala Lumpur. Walaubagaimana sakit sampai meleleh-leleh tahi telinga pun, aku teringin juga mengucapkan terima kasih pada mereka semua kerana mendesak aku secara langsung atau tidak supaya mencari kerja. Akhirnya demi meneruskan kesinambungan hidup, juga demi menyunting Julie, maka di Kuala Lumpur jugalah aku akhirnya. Ohhh....
“Od!”
Lamunanku tersentak. Suara Kak Soya dengan cemerlang membuatkan gegendang telinga ini tergigil-gigil. Aku menoleh padanya. Dia tak pandang pada aku pun. Tangannya begitu giat melipat kain-kain yang baru diambil dari ampaian.
“Bila Jah nak balik kampung?” soal Kak Soya.
“Minggu inilah. Nak buat akikah anak Kak Lin sekali kat kampung,” jawabku sambil jejari ini bersenam ringan, menaip papan kekunci dengan laju. Hmmm... Julie di talian. Oh, lawanya Julie. Hehehe.
“Kak Lin jemput kita tak?” Sekali lagi Kak Soya menyoal.
“Eh, mestilah jemput. Melampaunya kalau tak jemput,” balasku pantas, sepantas jejariku yang menari laju di atas papan kekunci membalas perbualan Julie di Skype.
“Bila masa dia jemput? Tak tahu pun.” Dari intonasi vokal Kak Soya, aku tahu mimik mukanya waktu itu mesti sedang berkerut-kerut dahi dan termuncung-muncung bibir macam mulut itik. Ada unsur-unsur ketiadapuasan hati yang mula tumbuh dalam dirinya.
“Kak Lin sampaikan pesan pada orang melalui Jah semalam. Orang lupa nak beritahu kakak,” jelasku.
“Hmmm...”
Intonasi vokal Kak Soya membuatkan kepalaku secara drastik menoleh padanya.
“Kenapa?” tanyaku. Aku kenal Kak Soya. Egonya boleh tahan tinggi juga. Kalau kawan karib tak jemput secara lisan dalam bab kenduri-kendara, terus tiada keinginan dia nak menjengah ke majlis itu nanti.
“Tak ada apa-apa.” Kak Soya bena tak bena.
Tetiba Jah buzz aku. Namun tegurannya sengaja aku abaikan. Ish, tak terfikir pula nak tukar mood invi sebelum chatting dengan Julie tadi.
Sejurus selepas Kak Soya menamatkan pengeluaran kata-katanya, telefon pun berdering-dering. Alahai, nak berchatting dengan buah hati pun tak senang. Harapkan Kak Soya nak jawab telefon, hmmm... memang tiada harapan. Apatah lagi koordinat telefon yang sememangnya lebih dekat dengan aku, lagilah dia malas. Maka dengan malasnya jugalah aku yang menjawab telefon itu. Lambat-lambat angkat, nanti bayi Kak Soya, Ammar yang  lenyak di atas gebar tebal itu terkejut pula.
“Kak!” Kak Soya kupanggil sambil mengangkat gagang. “Panjang umurnya,” tambahku lagi. Dengan tahap kemalasan yang tinggi, Kak Soya menggigihkan diri untuk bangun dan meninggalkan misi melipat kain yang sedang giat diusahakannya. Bibirnya melebar setengah inci apabila tahu gerangan makhluk yang berada di talian.
“Haaa... panjang umur Kak Lin.” Kak Soya memulakan dialog dengan Kak Lin selepas gagang telefon melekat pada telinganya. Dan akhirnya misi melipat kain-kain ditangguhkan hingga esok apabila Kak Soya dan Kak Lin masih bergayut bersambung-sambung, macam aku dan Julie yang meleret-leret berchatting sejak tadi.
Julie, ya dia memang cantik. Buat masa ini aku belum tunjuk lagi gambar pada Kak Soya. Makhluk yang tahu mengenai kewujudan Julie dalam hidup aku ialah Jah. Buat masa ini biarlah Jah saja yang tahu.
Dan sekali lagi Jah buzz aku. Kali ini aku tidak juga menjawab teguran Jah. Okey, lain kali kena ‘menyorok’ dulu sebelum mula chat dengan Julie. Barulah aman damai tanpa sebarang gangguan.
Buzz!
Oh, Jah masih gigih menegur.
Aku – Sibuklah kau ni!
Jah – Kau sibuk ke?

Lama baru aku membalasnya kerana kerancakan aku dan Julie merancang masa depan semakin menjadi-jadi.

Aku – Ha’ah, sibuk dengan Julie.
Jah – Ooo, okey.
Terus Jah hilang dari paparan Yahoo Massenger. Kemudian kehilangan Jah menjadikan aku semakin gigih membuat senaman jari dengan Julie.
Minggu ini genap dua minggu aku menjadi warga Kuala Lumpur. Dalam tempoh dua minggu ini jugalah aku belajar dan cuba beradaptasi dengan cara kerja orang berbos. Agak tertekan, namun aku mesti gigih menahan diri daripada memberontak. Aku tahu, bukan semuanya berlangsung dengan mudah. Namun bukan mudah juga mendapatkan apa yang aku idamkan. Sesuatu yang sukar dicapai, akan jadi semakin mahal dan bermakna setelah berada dalam dakapan.  
Walaubagaimanapun, belum pernah sekali aku bertemu Julie secara nyata.
Bukan! Bukan aku takut atau tiada keyakinan. Bagi aku, sesuatu yang bagus memang mengambil masa. Barulah istimewa. Tak perlu gopoh-gapah.
Apa yang menarik tentang Julie? Julie manusia berjantina perempuan yang sofistikated. Cantik. Chineese look. Ada kerja yang glamour; model sambilan, pelakon sambilan dan pengkritik filem sambilan. Sentiasa terbuka dalam apa juga perbincangan. Pendek kata, Julie seorang wanita moden yang begitu kena dengan jiwaku.
Kerja tetapnya? Err... dia tiadak pekerjaan tetap. Dia lebih gembira buat kerja freelance. Di sinilah yang paling aku suka. Kami sehati dan sejiwa walaupun baru dua bulan berkenalan di alam maya. Namun kini aku terpaksa meninggalkan juga kecintaan pada cara kerja secara freelance. Salah satunya disebabkan Julie juga. Ohhh....
Aku jeling pada Kak Soya. Masih gigih nampaknya dia bergayut dengan Kak Lin. Perempuan kalau dah berborak, tentu melencong terus pada aktiviti gosip. Aku dan Julie sudah pun menamatkan sesi chatting kami, tapi dia masih lagi dalam keadaan gagang telefon melekat pada telinganya. Silap hari bulan, ada yang tidur terpacak sebelah telefon. 

No comments:

Post a Comment