Saturday, February 11, 2012

Cikgu Paling Mantap! (Bab 3)


“Tidak boleh!”
“Boleh!”
“Tidak!”
“Boleh!”

Beberapa minit sudah berlalu, namun dua suara itu tetap tingkah-bertingkah sejak tadi. Belum ada pihak yang mahu mengalah nampaknya. 

“Mak Su.”
“Ya.”

Muka Tasya jelas menonjolkan tahap ketidakseronokan yang tinggi. Dalam keadaan mereka bertingkah-tingkah begitupun, ibu saudaranya itu masih tekun menjalankan aktiviti memenuhkan mulutnya dengan ayam goreng yang dibelinya tadi. Pinggan berisi ayam goreng  ditarik pantas menjauhi makhluk yang sedang tekun membelasah hidangan itu.

“Eh, eh... Mak Su hendak ratah ayam goreng itu. Letak balik di sini.” Cermin mata yang melurut Cikgu Fea biarkan sahaja. Tangannya yang bersadur minyak daripada ayam goreng itu, menyukarkannya hendak menolek semula cermin mata gaya old schoolnya itu ke pangkal hidung.
Tasya menggeleng-geleng sambil menatang pinggan berisi ayam goreng itu dengan kemas dan kejap.
“Alah... berilah. Mak Su laparlah.” Cikgu Fea sudah mula menonjolkan kegeramannya atas tingkah laku Tasya. 

“Saya beri sekiranya Mak Su izinkan saya tukar kelas.” Bibir Tasya lebar beberapa sentimeter sambil membuat acara tarian pinggan ayam goreng dengan penuh gemalai di depan ibu saudaranya itu. Bebola mata Cikgu Fea begitu aktif ke sana sini mengikut ke mana Tasya melarikan pinggan yang menjadi idamannya itu. Ah, bukan pinggan itu yang menjadi idaman, tetapi isi pinggan itu yang dimahukannya.

Rasa mahu menjerit pula apabila Tasya membuat pertukaran yang langsung tidak menggembirakannya. 

“Tidak boleh!” Kepala Cikgu Fea bukan main laju lagi menggeleng. Kali ini fokus bebola matanya bukan lagi pada ayam goreng rangup yang menghuni pinggan. Muka comel anak saudaranya berada tepat di dalam kawasan fokus matanya.

“Okey, tong sampah akan kenyang dengan ayam goreng ini.” Aksi Tasya yang nakal tetapi serius memfokuskan pandangan matanya pada tong sampah di satu sudut dapur, membuatkan Cikgu Fea berada dalam kegelisahan.

“Errr... emmm... errr....” Cikgu Fea hanya mampu terkumat-kamit. Terasa kepala otaknya lambat sungguh hendak menjana idea bernas dengan cemerlang. ‘Budak ini sudah lebih. Main kasar pula dia,’ bisik hati Cikgu Fea.

“Okey....” Pinggan ayam goreng itu semakin dekat dengan tong sampah. Tasya sengaja mengacah-acah hendak memasukkan isi pinggan yang menjadi pujaan Cigu Fea itu ke mulut tong.

“Ehhh... jangan! Jangan!” Seram Cikgu Fea melihat pinggan itu menari-nari berdekatan tong sampah. “Mana boleh buang begitu sahaja. Membazir!” Cikgu Fea drastik bangun daripada kerusinya. Dia hendak membuat rampasan pinggan yang sengaja ditari-tarikan oleh Tasya.

“Ops! Ops!” Serta-merta Tasya menyorokkan pinggan yang diidamkan Cikgu Fea di belakang badannya.

“Okey, dengar sini. Kelas Dua Kenari ialah kelas yang paling bagus. Kelas itulah yang paling sesuai dan layak untuk Natasya binti Lukman Hakim, selaku anak saudara kepada Cikgu Sofea Azira. Tiada kelas yang lebih bagus selain kelas Dua Kenari.” Perlahan-lahan Cikgu Fea memulakan sesi pujukan.
“Tidak sesuai langsung!” Tasya mencebir. “Kelas itu penuh dengan pelajar-pelajar pintar, skema, sopan-santun... emmm... dan membosankan!” 

“Tasya... kelas Dua Kenari itulah yang menjadi pujaan guru-guru di sekolah kita. Mereka patuh, berdisiplin dan hormat guru,” jelas Cikgu Fea dengan beria-ia. 

Sesekali mata Cikgu Fea mencuri-curi pandang pinggan ayam goreng rangup di belakang Tasya. Kedudukan pinggan itu semakin senget. Ngeri Cikgu Fea melihatnya. Kebarangkalian isi pinggan itu melurut jatuh ke lantai adalah tinggi. Cikgu Fea telan air liur berkali-kali.

    “Mereka bagus, tetapi membosankan. Mereka tidak pandai buat lawak. Saya buat lawak, seorang pun tidak ketawa kerana mereka tidak faham. Mereka hanya tunduk menulis, dan kemudian mulut melopong ataupun mata terkebil-kebil memandang cikgu mengajar. Semuanya senyap. Mengantuk!” Tasya turut mengutarakan hujah-hujahnya.

“Tapi....” Mulut Cikgu Fea kembali terbuka, namun mulut Tasya memintas dengan kepantasan luar biasa.

“Tapi ayam ini penuh kolestrol dan Mak Su sudah makan dengan kuantiti bertaraf lebih muatan. Jadi tidak boleh makan lagi.” Kening Tasya terjongket-jongket dan dia tersengih-sengih nakal. 

“Eh... jangan! Jangan!” Tanpa segan silu, Cikgu Fea mengemukakan rayuan sekali lagi.
“Boleh atau tidak?” Kali ini Tasya sudah bersedia hendak memasukkan isi pinggan itu ke dalam tong sampah. 

“Err... err...” Akal Cikgu Fea gagal menjana idea yang bernas malam itu.

“Boleh? Tidak? Boleh?” Tasya seperti tidak sabar-sabar hendak mengenyangkan tong sampah itu dengan ayam goreng rangup pujaan hati Cikgu Fea. 

“Sekiranya Mak Su benarkan, saya akan berikan ayam goreng ini dan Mak Su boleh makan sambil menghayati keenakan dan aromanya dengan sepenuh perasaan,” pujuk Tasya lagi.

Cikgu Fea menarik nafas panjang. Ayam goreng! Ayam goreng! Sudah lama dia tidak makan dengan aman sejak Tasya mengemukakan permintaan hendak tukar kelas. Sekiranya anak saudaranya itu hendak tukar ke kelas lain, dia tidak kisah sangat. Namun yang membuatkannya sangat kisah apabila Tasya, anak saudaranya yang bertuah itu mahu bertukar ke kelas Dua Biru. Haru! Sungguh haru!

Fokus mata Cikgu Fea bersilih ganti antara muka Tasya dan pinggan di belakang Tasya. Dengan tidak semena-mena, perlahan-lahan kepala Cikgu Fea mengangguk perlahan.

Semerta bebola mata Tasya terserlah kebulatannya ketika Cikgu Fea menganggukkan kepalanya. Pipinya ditepuk-tepuk beberapa kali tanda kurang percaya. Apakah dia bermimpi? Sebelum ini hasratnya yang suci lagi murni itu ditolak bulat-bulat. Bukan bulat-bulat sahaja ditolak, malah empat segi, tiga segi, enam segi dan bermacam-macam segi pun ditolak tanpa belas kasihan oleh ibu saudaranya itu.  

“Betul?” Vokal Tasya melompat keluar dengan mantapnya. Ketika itu dia berada dalam situasi antara percaya dengan tidak. Perlahan-lahan Cikgu Fea mengangguk dengan rasa tidak seronok. Dia rela dalam paksa.

“Yahuuu!” Tasya menjunjung pinggan berisi ayam goreng rangup itu tinggi-tinggi. Keseriauan Cikgu Fea mencanak ke tahap maksima. Mimik mukanya menonjolkan rasa cemasnya itu. 

“Tenang! Tenang!” Cikgu Fea mengawal vokalnya supaya sentiasa lembut, walaupun dalam situasi genting seperti itu. Tangannya terangkat-angkat memberi isyarat supaya Tasya mengawal dirinya dengan harapan ayam goreng rangup itu tidak berterbangan dan akhirnya mendarat di atas lantai. Alangkah malang sekiranya ia berlaku.

“Haaa... nah! Nah!” Secara drastik Tasya menyerahkan pinggan itu kepada Cikgu Fea dengan seronoknya.

Apabila pinggan berisi ayam goreng itu berada di tangan, Cikgu Fea menjadi seronok beberapa saat. Namun tidak lama kemudian, rasa tidak seronoknya merebak tidak semena-mena. Antara ayam goreng dan pertukaran Tasya ke kelas Dua Biru, pertukaran Tasya itulah yang lebih hebat menguasai jiwa dan bakul... errr... raganya. Dia pasrah.

*          *          *

Do terjengkit-jengkit terhendap-hendap di depan kelas Dua Kenari. Dua ahli kumpulan Tiga Doremi yang lain sudah tidak dihiraukannya sejak tadi. 

“Ini tidak boleh jadi. Do sudah mula melupakan tanggungjawabnya kepada kumpulan kita. Sekiranya begini, bagaimana kumpulan Tiga Doremi hendak jadi kumpulan samseng paling digeruni di sekolah ini?” Mi memandang Do dari jauh, sambil mundar-mandir di depan Re. 

“Saya kecil hati betul dengan Do. Kita diabaikannya!” Terherot-herot muka Re ketika menjalankan sesi meluah-luah perasaan. “Tengok, dia menghendap pun tidak mahu ajak kita. Sungguh tidak patut!” Herotan mukanya semakin menonjol apabila sesi luahan perasaan itu bertukar menjadi omelan.

“Nampaknya, teruklah kita asyik dibuli oleh para samseng di sekolah ini. Habis hancurlah kredibeliti kita sebagai samseng paling digeruni. Entah-entah budak-budak lembik pun tidak segan silu membuli kita. Saya tidak mahu pisang berbuah dua, tiga, empat dan seterusnya. Saya serik menjadi mangsa buli.” Tanpa berbelah bagi, Re menyokong pendapat Mi. Aura kebimbangan mula tertonjol pada muka masing-masing.   

“Do sudah tersampuk.” Kepala Re tergeleng-geleng. Perlahan-lahan dia bangun dan memberi isyarat kepada Mi supaya mengekorinya. 

“Tersampuk apa?” soal Mi dengan mimik muka penuh rasa terkejut. Bulu romanya terpacak tidak semena-mena.

Re tiada kerajinan hendak menjawab soalan Mi itu. Dia cuma mahu menyedarkan Do supaya tidak terjebak dengan sebarang permainan perasaan. Mi pula masih diselubungi misteri. Namun pada masa yang sama, dia tetap mengekori Re. 

Semakin lama semakin hampir mereka dengan Do. Do pula masih tiada kesedaran yang dirinya diperhatikan dengan jarak dekat. Tangan Re sudah terangkat tinggi. Mi pula masih tidak dapat mengesan apa yang dilihat oleh Do di dalam kelas Dua Kenari itu. Dia juga tidak dapat mengagak apa yang hendak dilakukan Re kepada Do. Otaknya seolah-olah gagal berfungsi dengan cemerlang pada pagi itu.

Pap! 

Sebaik sahaja tapak tangan Re mendarat di atas bahu, Do mengalami fenomena terperanjat maha dasyat. Denyutan jantungnya ketika menjalankan kegiatan penghendapan pun tidak sehebat ketika mendapat kejutan ini. Mujurlah jantungnya tidak tercerai dari tangkai.

“Kurang asam boi!” Kebulatan mata Do jelas terserlah apabila tahap keterperanjatannya mulai menurun. Kebulatan matanya itu semakin menjadi-jadi apabila pandangannya terfokus pada Re, makhluk yang bertanggungjawab membuatnya terkejut tahap maksima sebentar tadi. Bayangkan, sedang khusyuk mengendap gadis genit yang disukai, ketika ritma jantung semakin pantas, dengan tidak semena-mena bahunya ditepuk dengan kekuatan berskala besar. Siapa tidak terperanjat tahap sawan? 

Re buat muka tidak bersalah, kemudian sengaja memandang siling sambil bernyanyi-nyanyi perlahan. Mi pula hanya terkebil-kebil.

“Saya tidak bersalah!” Pantas Mi tergeleng-geleng, siap dengan kedua-dua belah tangannya bergerak sama. 

“Mujur tidak meninggal!” Do mendengus dan menggumam. Tangannya pantas mengurut-urut dada. Geramnya pada Re mencanak ke paras kritikal. Mujur tidak terlompat ayat-ayat yang tidak seronok didengar dari mulutnya. Sudahlah apa yang dihendap tidak memunculkan diri, digempur pula oleh rakan sendiri. Amat menjengkelkan!

“Pagi yang sungguh tidak seronok!” Sekali lagi Do menggumam. Bibirnya memuncung panjang beberapa milimeter. Sambil menanggung kekecewaan yang mendalam, Do bergerak meninggalkan ruang legar kelas Dua Kenari. Sama seperti tadi, Re dan Mi langsung tidak dihiraukan.

Mi takut-takut hendak menyertai Re mengekori Do. Namun Re bersikap selamba seolah-olah tiada apa yang dilakukannya terhadap Do. Do pula dengan langkah yang penuh kekecewaan, menuju ke kelas mereka iaitu kelas Dua Biru. Tidak lama lagi tentu loceng masuk akan berbunyi. Pagi-pagi begini, mulakanlah hari dengan tenang. Sekiranya hendak buat gempar, biarlah tengah hari sedikit. 

Namun ketika sudah berada di depan pintu kelas mereka, langkah kaki Do secara drastik terhenti. Tiba-tiba tubuh badannya terkejang pula. Matanya terfokus ke satu arah tanpa mengelipkan matanya walaupun sekenyit. 

Re dan Mi ikut menghentikan langkah kaki masing-masing. Penghentian langkah secara tiba-tiba oleh Do itu membuatkan Re dan Mi hampir-hampir melanggar Do di depan mereka. Keadaan Do yang terkejang secara drastik itu membuatkan Re dan Mi pandang-memandang sesama sendiri. Wabak kehairanan melanda mereka. 

Perlahan-lahan Mi melalukan tangannya di depan muka Do beberapa kali, tetapi tiada sebarang reaksi daripada Do. Kelopak matanya langsung tidak bertindak balas dengan aktiviti tangan Mi tadi. Mi tidak fikir kelopak mata Do sudah hilang kebolehan mengelip-ngelip. 

“Apa yang dipandangnya?” Pertanyaan Re akhirnya terhasil juga. Mi hanya angkat bahu dan menjongketkan keningnya.

Dengan seia sekata, Mi dan Re memandang ke arah mana biji mata Do terfokus.
“Ooo....” Muncung kedua-dua sahabat itu panjang ke depan.
“Dia tersampuk sekali lagi.” Kepala Re tergeleng-geleng.

“Dia tiada di sana, rupa-rupanya ada di sini. Tuhan bawakan bidadari aku ke sini. Terima kasih Tuhan.” Tanpa disangka-sangka Do mengeluarkan kata-katanya sambil mula melangkah ke dalam kelas. Namun fokus matanya tidak lari daripada terus memandang pada subjek yang disukainya sejak tadi.

Perlahan-lahan Re dan Mi mengekori langkah Do. Suspens sungguh mereka melihat aksi Do yang di luar dari kebiasaan itu. Dalam kepala mereka tertanya-tanya bagaimana reaksi Do seterusnya.
“Hai, saya Abdullah Kazem. Nama manja saya Do.” Do sudah pun terpacak di depan gadis yang dintainya sejak dua tiga hari lepas. Gadis comel yang tersebut itu terpana tiba-tiba dengan sesi berkenalan yang dijalankan oleh Do.

“Oh, nama ala-ala suci murni umpama jejaka di bawah lindungan Kaabah.” Gadis itu semakin gigih membuat muka comel. “Saya Tasya,” katanya.

“Saya Re, jejaka paling meletup di kelas ini!”
Tasya angguk-angguk kepala sambil melebarkan bibirnya beberapa milimeter. 

“Saya Mi, lelaki idaman di kelas ini!”
Tawa Tasya terlompat apabila Mi mengurut-urut dagunya. Wabak jengkel mula menguasai Do apabila rakan-rakannya pun tidak kurang menonjolkan diri di depan Tasya. 

“Saya Mirza!” Tidak semena-mena Mirza pula muncul dengan lenggang-lenggok dan lemah gemalainya demi menyertai acara berkenal-kenal pada pagi yang berbahagia itu.

“Sibuk!” Mi sengaja menarik rambut Mirza yang terjuntai, sebelum pergi.
“Aduh!” Jeritan Mirza terlompat keluar. “Apa?” Matanya menonjolkan kebulatan paling menyerlah. 

Suaranya yang tadi lemah lembut, drastik bertukar garau dan besar, penuh kejantanan. 
 Tawa Tasya masih terlompat-lompat keluar sejak tadi. Aksi dan gelagat rakan-rakan baharunya membuatkan paginya rasa seronok apabila berada di dalam kelas Dua Biru. Apa masalahnya kelas ini? Semuanya okey sahaja. Tasya terfikir-fikir seketika. Selama ini dia dihantukan dengan cerita-cerita tidak seronok mengenai kelas Dua Biru oleh Cikgu Fea dan rakan-rakan di Dua Kenari. Rakan-rakan di Dua Kenari melarangnya daripada menegur pelajar dari kelas Dua Biru. Namun mulai hari ini dia akan mensahihkan cerita itu. Sahih kelas itu paling teruk, atau sahih ia kelas paling seronok?

Thursday, February 2, 2012

Cikgu Paling Mantap! Bab 2



Karipap yang ada di tangan, Do masukkan ke mulut dengan rakusnya. Perutnya lapar keterlaluan hari ini. Mungkin ia disebabkan oleh kepenatan akibat menyaksikan acara tawaf yang dilakukan oleh Cikgu Fea sebelum waktu rehat tadi. Akalnya mungkin terpaksa bekerja keras demi memaksa mata melihat aksi-aksi yang tidak ingin dilihat. Seperti mimpi ngeri apabila melihat Cikgu Fea dalam keadaan begitu. Gerun okey!

“Eh, karipap saya awak habiskan?” Mi merampas bungkusan plastik yang sudah dikosongkan secara tidak berhemah oleh Do. Mukanya tertonjol kekecewaan yang mendalam.

“Saya baru makan sebiji. Dua lagi awak langsaikan. Sungguh tidak berperikemanusiaan!” Kening Mi terkerut-kerut geram. 

Kata-kata yang terlompat dari mulut Mi sedikit pun tidak menimbulkan rasa bersalah pada Do. Malah dengan selamba bungkusan plastik yang dipegang Re pula menjadi mangsa rampasan tangannya.
“Errkkk!” Re yang begitu seronok dan bersungguh-sungguh menikmati cucur badaknya, terpinga-pinga tanpa sempat mengelak atau menyorokkan bungkusan plastiknya daripada Do. Masih berbaki tiga biji cucur badak di dalamnya.
Dengan selamba juga Do memulakan acara memasukkan makanan rampasan itu ke dalam perutnya, seselamba ketika dia merampasnya juga. 

“Mana boleh begini! Kami masih lapar. Awak sudah habiskan makanan kami.” Mi mula protes.

“Betul! Betul!” Dengan sepenuh hati, Re menyokong Mi tanpa berbelah bahagi.

“Amboi! Yang awak berdua tadi setiap seorang habiskan tiga biji karipap saya, ada saya kisah?” Tidak semena-mena Re dan Mi terasa ada sebiji bom ghaib jatuh di atas ubun-ubun mereka. 

“Saya cuma sempat makan dua biji karipap milik peribadi saya tadi. Karipap milik peribadi saya yang laih akhirnya menjadi hak milik awam apabila awak berdua merampasnya daripada saya.” Mata Do terjegil-jegil memandang Mi dan Re silih berganti.

Dengan seia dan sekata, Mi dan Re membuat tayangan gigi masing-masing demi menutup rasa malu dan bersalah. 

“Hai!” Do menonjolkan sengihan macho sambil menyapa seorang gadis comel yang lalu di hadapan mereka. Kuih yang belum sempurna dikunyah, mengintai sedikit dari celahan bibir Do yang tidak tertutup rapat itu. Re dan Mi sudah tidak dipedulikannya lagi.

Re dan Mi spontan melambai-lambai pada gadis yang disapa Do tadi. Mereka masih gigih meneruskan penayangan gigi masing-masing.

“Ada adik tak? Kalau ada, kirim salam pada dia ya?” usik Mi.

“Ada. Tapi kirim salam ini dia tidak hairan. Dia cuma suka ada orang hadiahkan dia coklat atau patung beruang besar.” Gadis comel itu tidak segan-segan membalas.

“Ooo... esok saya belikan untuk dia.” Mi tersengih-sengih.

“Bagus! Tidak lama lagi dia sambut hari lahir yang keenam. Boleh hadiahkan ketika hari lahirnyanya nanti.” Gadis comel itu mula tersengih-sengih. 

Senyuman Mi mula menipis perlahan-lahan. “Err... bela dia elok-elok. Besar nanti saya masuk meminang,” katanya dengan selamba. Kepala otak tiga sahabat itu memang tidak pernah kering idea hendak mengusik sesiapa sahaja.

Gadis comel itu berlalu sambil mencebik menyampah. 

“Eleh... berlagak! Hendak kenakan kita kononnya. Hah, akhirnya terkena balik,” kata Mi sambil terus berjalan beriringan dengan Re, sementara Do berada di belakang mereka.

“Do, selaku ketua kumpulan, apa agaknya aktiviti kita yang awak rancang pada hari ini? Hendak makan tebu di kebun sekolah lagi?” soa Re sambil terus berjalan dengan gaya yang difikirkan kelihatan agak ‘samseng’. Barulah digeruni.

“Hish, saya tidak mahu makan tebu lagi. Saya masih fobia dengan tebu. Disebabkan tebulah saya digelar ‘gajah’ oleh Bad dan konco-konconya. Disebabkan tebu jugalah kita bertiga tertangkap di kebun sekolah,” komen Mi.

“Do? Apa pandangan awak?” Re mengutarakan soalan lagi.
“Do?”
“Do!”   

Re dan Mi saling pandang-memandang apabila panggilan dan pertanyaan mereka tidak berbalas. Seia dan sekata mereka memandang ke belakang. 

“Do?” Kedua-dua pasang mata milik Re dan Mi membulat dengan kebesaran maksima. 

“Do ghaib!” Spontan Re melantunkan vokal yang tinggi. Beberapa pelajar yang lalu-lalang terkejut sebaik sahaja gelombang suara berskala besar yang dihasilkan Re menggetarkan gegendang telinga mereka.

“Sejak bila Do ada ilmu ghaib-ghaib? Mengapa dia tidak turunkan ilmu itu kepada kita?” Mi sudah mula melalut-lalut, meneruskan imaginasi Re yang sengaja dibuat-buat itu demi menarik perhatian pelajar yang lalu-lalang. Sungguh gila glamour!

Kali ini Re dan Mi meliarkan pandangan masing-masing demi mengesan makhluk bernama Do yang tiba-tiba mengghaibkan diri itu.

“Apa yang diintainya di sana?” Kening Mi terkerut-kerut apabila matanya dapat menangkap sosok tubuh milik insan bernama Do itu, berdiri di tepi pintu kelas Dua Kenari. Bibir Mi memuncung menunjukkan arah kepada Re.

Perlahan-lahan kedua-duanya menghampiri Do yang begitu tekun menjalankan aktiviti pengintaian. Tanda soal ghaib besar seolah-olah muncul di atas ubun-ubun masing-masing apabila melihat Do sedikit pun tidak menghiraukan mereka berdua, dan terus tegak terpacak pada koordinatnya.

“Hei!” Tanpa kesopanan dan kesusilaan, Mi sengaja menepuk kuat bahu Do yang asyik-mahsyuk mengintai. Namun tepukan yang kuat bergabung dengan gelombang suara berskala besar yang dihasilkan secara sengaja itu, sedikit pun tidak mengganggu-gugat Do. Seolah-olah dunia ini hanya ada Do seorang. 

Sekali lagi Re dan Mi saling pandang-memandang. Kehairanan jelas tertonjol pada muka masing-masing. Apakah gerangan yang membuatkan Do terkesima dan terpukau sedemikian rupa?
“Mungkinkah ketua kita ini sudah tersampuk dek mana-mana puteri bunian? Ada peluanglah saya hendak mengambil alih tampuk pemerintahan Do.” Bibir Re melebar serta-merta. Spontan dia mengurut-urut dagunya yang mula ditumbuhi tunggul janggut miang. 

“Jangan harap!”

“Erkkk!” Tiba-tiba wabak terperanjat menyerang Re dan Mi apabila Do melontarkan vokalnya dengan mantap buat julung-julung kalinya, sejak membuat aktiviti pengintaian di kelas Dua Kenari itu. Agak mengkagumkan apabila Do yang tadinya langsung tidak bereaksi dengan keadaan sekeliling, mula bertindak balas apabila membabitkan hal yang bersangkut-paut dengan kedudukannya sebagai ketua kumpulan Tiga Doremi. Walaubagaimanapun, matanya tetap tidak teralih daripada terus terfokus ke dalam kelas Dua Kenari.

Perlahan-lahan Re dan Mi mula melancarkan gerakan mencari-cari di mana pandangan mata Do terfokus. Ketika itu waktu rehat, dan di dalam kelas Dua Kenari waktu itu hanya ada tiga orang pelajar. Tidak mungkin Do tergamak hendak menumpukan fokus matanya pada Gopal, budak India kurus keding yang sedang tercari-cari sesuatu di dalam begnya. Mustahil juga Do hendak menatap dengan pandangan yang penuh pesona pada Milah, gadis bersaiz XL, iaitu satu saiz lebih kecil berbanding Cikgu Fea itu. Namun boleh jadi juga Do terpesona dengan cara Milah yang begitu berselera memasukkan makanan ke dalam mulutnya. Re dan Mi menggeleng-geleng. Tidak mungkin!
Bagaikan seia dan sekata juga, Re dan Mi terpandang pada Chong, budak Tionghua berkaca mata tebal dan besar lagi menonjolkan keskemaannya dengan rambut terbelah tengah ini. Ini Melah Melia versi lelaki! Bagai berjanji-janji Re dan Mi sama-sama menggeleng dan mencebir.

Tidak semena-mena, muncul satu makhluk comel berjantina perempuan dari bawah meja. Ketika Re dan Mi membuat pemerhatian peringkat awal tadi, makhluk itu tidak ada. Sekarang tiba-tiba ada pula. Sekarang tiba-tiba Re dan Mi turut dilanda wabak terkesima seperti Do. 

Di dalam kelas Dua Kenari, Tasya baru sahaja menemui pennya yang terjatuh di bawah meja. Sedikit pun dia tidak sedar ada tiga pasang mata yang terkesima memandangnya.
  
*          *          *



Mak Cik Minah termuncung-muncung bibir ke suatu arah. “Dia datang! Dia datang!” katanya sambil melebarkan bibirnya beberapa milimeter.

“Alhamdulillah. Rezeki datang lagi.” Kak Siah selaku tauke kantin meraupkan tangan tanda kesyukuran yang tidak terhingga atas rezeki yang sentiasa murah.

“Cikgu sihat?” Mak Cik Minah sama seperti hari-hari sebelumnya, sentiasa menonjolkan keramahannya yang tiada tolok banding itu.

“Awal-awal pagi tadi saya sudah masuk ke kelas Dua Biru, jadi kesihatan saya berada pada tahap yang kurang memuaskan.” Cikgu Fea mula mencari-cari tempat yang selesa demi meningkatkan lagi seleranya.

“Hari ini ada mi rebus, lontong dan nasi ayam. Cikgu mahu pesan apa?” Kak Siah mula mengambil pesanan. Sihat atau tidak, apabila sudah masuk ke kantin, tentulah hendak makan. Takkan hendak tidur pula?

“Pesan nasi ayam Kak Siah sudahlah. Awak bukan tidak tahu, nasi ayam Kak Siah memang terbaik.” Cikgu Manikam dengan senang hati merekomen untuk Cikgu Fea.

“Eh, mi rebus pun sedap juga. Tengok pinggan saya... licin! Ini pun terasa mahu pesan sepinggan lagi. Tidak puas makan.” Tidak mahu ketinggalan, Cikgu Yani pun sibuk merekomen juga. 

“Emmm...” Cikgu Fea mula dilanda fenomena kebingunan apabila membabitkan makanan. Dia tidak tahu hendak  pilih yang mana kerana memang diketahui menu-menu yang disediakan setiap hari di kantin sekolah itu lazat hingga menjilat kaki. Walaupun kononnya kesihatannya kurang memuaskan, apabila tiba di kantin, selera makannya menggebu-gebu tidak mampu dibendung lagi.

“Macam saya sahaja sudahlah. Nasi lemak biasa sahaja. Pun sedap tak terkata juga.” Tiba giliran Cikgu Maskidul pula yang menambahkan kecelaruan minda Cikgu Fea bagi membuat keputusan.
Kak Siah sudah tersenyum menyaksikan muka Cikgu Fea yang mempamerkan riak-riak kebuntuan yang menyerlah.

“Pesan kesemuanya sekalilah.” Tanpa rasa bersalah, Mak Cik Minah selaku pembantu di kantin itu membuat keputusan bagi pihak Cikgu Fea. Sambil-sambil dia mengelap meja dan mengutip pinggan mangkuk kotor, sambil dia melebarkan telinganya bak satelit mendengar dialog-dialog para guru yang mengadakan aktiviti memasukkan makanan ke perut masing-masing.

“Saya mahu nasi ayam sepinggan. Karipap tiga biji. Pulut udang dua biji. Mi rebus itu tolong bungkuskan dua. Cucur udang bungkuskan lima biji. Kuah kasi asing ya.” Cikgu Fea terdiam sejenak demi memberi peluang kepada akalnya supaya berfikir dengan lebih optima. 

Bibir Kak Siah semakin lama semakin bertambah inci kelebarannya setiap kali Cikgu Fea menyebut dari satu menu ke satu menu yang lain. 

“Nasi ayam dan kuih makan di sini. Mi rebus dan cucur udang makan di rumah bersama-sama Tasya tengah hari nanti. Hmmm... petang?” Cikgu Fea mengerah akalnya supaya lebih pantas berfikir dan mengeluarkan ilham-ilham bernas.

“Err... nasi lemak dua bungkus.” Sesudah berfikir panjang, Cikgu Fea menambahkan lagi pesanannya.
“Lagi?” Senyuman Kak Siah sengaja dilebar-lebarkan beberapa milimeter lagi. Peluang begitu jangan sesekali dilepaskan. Peluang rezeki. Cikgu Fea datang ke kantin itu bersama rezeki yang sentiasa melimpah ruah untuknya. 

“Cikgu pasti semua ini sudah cukup?” Kak Siah sengaja bikin provokasi. Dengan perlahan dan teragak-agak, Cikgu Fea mengangguk. “Eh, anggukan yang tidak meyakinkan sahaja gayanya,” tegur Kak Siah sambil berusaha melebarkan bibirnya selebar yang boleh.

“Hari ini lontong Kak Siah berlaukkan rendang daging. Entahlah, malam tadi Kak Siah tiba-tiba rindu suasana hari raya. Terus Kak Siah siapkan bahan-bahan untuk rendang pagi tadi.” Tanpa disuruh-suruh, Kak Siah memulakan sesi bercerita yang mengisahkan perihal rendang daging yang tiba-tiba memunculkan diri pada hari itu. “Sungguh di luar kebiasaan pula. Tak pernah-pernah Kak Siah masak rendang untuk menu kantin. Emmm... Cikgu Fea mahu cuba rendag Kak Siah?” soalnya. 

Namun Kak Siah terkocoh-kocoh pula menuju ke dapur kantin dan membuka kuali yang menempatkan rendang daging yang sibuk diperkatakannya.

“Alah... ini ada sedikit sahaja lagi yang tinggal. Tidak mengapalah, kalau Cikgu Fea mahu, baki yang tinggal itu lebih kurang semangkuk, Kak Siah kasi empat ringgit sudahlah.” Bersungguh-sungguh sekali Kak Siah melobi.

Aktiviti berkata-kata yang dijalankan oleh Kak Siah itu sedikit sebanyak menyuntik keghairahan Cikgu Fea terhadap makanan, semakin memuncak tinggi. 

“Ya, ya. Boleh! Boleh!” Merasakan ia tawaran yang menarik, akhirnya Cikgu Fea mengangguk-angguk setuju sambil membuat pameran gigi selama beberapa saat. Kak Siah pula semakin seronok meleret-leretkan senyuman apabila sisa rendangnya yang terakhir bakal ‘selamat sejahtera’ di dalam perut Cikgu Fea. Laris rendangnya hari itu. Dia tersenyum puas!

“Minum apa?” Buat kesekian kalinya Kak Siah menyoal.

“Milo ais tabur. Kasi pekat dan lebihkan susu ya.” Cikgu Fea menonjolkan sengihan dan Kak Siah juga membalas sengihan Cikgu Fea dengan seronoknya.

“Seperkara lagi. Tempahan menu untuk mesyuarat esok bagaimana? Ada masalah?” soal Cikgu Fea kepada Kak Siah.

“Tidak ada masalah.” Dengan yakin Kak Siah memberi jaminan.

“Apa menu mesyuarat esok?” soal Cikgu Manikam. Selalunya cetusan-cetusan idea mengenai makan-makan yang dihasilkan dari buah fikiran Cikgu Fea jarang sekali menghampakan.

“Nasi beriani, acar rampai, dalca daging, kari ayam. Kuih tiga jenis. Puding dan buah-buahan.” Dengan gembiranya Cikgu Fea memaklumkan menu yang dipesan daripada Kak Siah untuk hidangan ketika bermesyuarat esok.

“Eh, macam menu kenduri pula.” Menu yang disebutkan Cikgu Fea membuatkan Cikgu Yani terkagum-kagum seketika.

“Apa salahnya, sekali-sekala,” balas Cikgu Fea.  

“Wah, meriahnya makanan. Kalau begini, mesyuarat selalu pun saya suka.” Cikgu Lias terangguk-angguk.

“Oh, itu sudah tentu. Makanan mampu memeriahkan suasana disamping membantu menjana idea yang bernas. Apabila bertenaga, barulah otak cergas dan cerdas.” Begitu yakin sekali Cikgu Fea mengutarakan teorinya.

“Mula-mula hidangkan kuih dan minuman dahulu ya. Selepas habis mesyuarat baru hidang makanan,” pesan Cikgu Fea kepada Kak Siah. “Takut tertidur pula ketika mesyuarat sebab kekenyangan,” katanya lagi.

Cikgu Fea benar-benar datang bersama rezeki! Meleret-leret senyuman Kak Siah.