Thursday, September 30, 2010

Isnin (Hari pertama jurnal ini ditulis dan dirasmikan oleh diri sendiri).

Aku Nia. Itu nama pendek, nama yang kawan-kawan, keluarga dan orang sekeliling panggil. Nama panjang aku, Korniasusilawati Laraduta Khan. Apa? Pelik? Aku boleh jadi meroyan apabila ada yang kata nama aku pelik. Namun aku bangga apabila orang kata nama aku unik. Ya, nama aku unik bukan? Hehehe. Sila muntah dengan sopan-santun sekiranya ada yang mula loya. Aku sendiri pun pelik mengapa ibu bapa aku berikan nama unik itu (yang orang selalu kata pelik itu) kepada aku. Ada unsur-unsur Jawa, Hindi dan Monggolia di situ. Padahal orang tua aku sah-sah Melayu tulin seratus peratus. Mereka mahu aku jadi manusia antarabangsa agaknya. Hmm... mujurlah hanya ada tiga unsur bangsa sahaja pada nama aku. Kalau ada unsur-unsur Uganda, Tibet, Timor Leste dan Swaziland macam mana? Bagaimanalah orang menyebutnya nanti.

Usiaku sudah empat belas tahun. Sudah besar bukan? Tentu ada yang kata, "Alah... baru empat belas tahun. Budak-budak lagi." Apa? Baru? Baru empat belas tahun? Inilah masalah aku. Orang kata empat belas tahun macam tidak ada apa-apa masalah. Masalahnya, aku ada. Ada masalah. Mungkin dalam jurnal ini patut diletak tajuk besar, 'Jurnal Aku Bermasalah.'

Disebabkan masalah aku inilah aku terpaksa menulis jurnal khas. Jurnal khas tempat aku meluahkan perasaan, kemudian bermuhasabah serta mengkaji sekiranya terdapat sebarang kelainan, kepelikan mahupun keganjilan kepada diri aku yang bernama unik ini. Apa? Aku perempuan gila glamor? Mulut siapa yang tergamak meletakkan status yang langsung tidak relevan dengan diri aku itu? Tulis jurnal sesuatu yang glamor? Oh, sekiranya ya, baru sekarang aku tahu. Ah, apa-apalah. Ada aku kisah? 

Sudah! Sudah! Aku tidak ingin melalut. Daripada aku merepek meraban dan lari jauh dari matlamat asal pewujudan jurnal ini, baik aku bebelkan mengenai masalah yang menjadi menyebab terwujudnya jurnal ini. Seperti yang aku nyatakan sebagai mukadimah di atas tadi, aku sudah berumur empat belas tahun. Ya, betul! Aku remaja yang semakin jauh meninggalkan alam sunti, dan jadi anak dara betul-betul. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sunti bermaksud anak perempuan yang mula hendak menjadi gadis (baru baligh), tetapi terlalu muda untuk berkahwin.

Ya, itulah masalahnya. Baligh! Aku sudah empat belas tahun, sudah semakin menghampiri episod-episod terakhir pada zaman sunti ini. Namun aku masih juga belum baligh. Aku belum datang bulan! Habis aku ini dipanggil apa? Anak dara sunti ialah anak dara yang baru baligh. Aku belum! Aku belum! Kepala otak ini terasa sudah over dose memikirkan masalah ini.

Kawan-kawan perempuan sebaya, kebanyakannya sudah datang bulan. Nina paling mendahului kami. Sebaik sahaja berumur sepuluh tahun, dia sudah baligh. Awal betul dia menjadi dewasa. Dari sudut pandangan mata, rupa bentuk fizikal dan rupa Nina sudah macam mak-mak orang! Eeeoow, ngeri pula aku apabila memikirkannya. Adakah aku juga begitu nanti apabila datang bulan? Ngeri okey!

Dalam kumpulan kawan-kawan baik aku, hanya aku dan Rini sahaja yang belum datang bulan. Namun aku lihat Rini biasa-biasa sahaja. Tidak nampak pun dia risau atau berasa dirinya pelik macam apa yang aku rasa.

Haih, entahlah. Aku selalu berdoa aku cepat datang bulan. Aku tidak mahu nampak tidak normal, ganjil, menjadi perempuan tidak lengkap dan istilah-istilah lain yang bersekutu dengannya. Aku tidak rela!