Friday, October 1, 2010


Aku menulis lagi. Semalam aku belum habis tulis lagi sebenarnya. Namun disebabkan abang aku sudah mula mengaktifkan volumenya dan meriuh-riuhkan halaman, maka dengan berat hati terpaksalah aku menghentikan sesi meluahkan perasaan aku kerana Atuk minta tolong sorongkan kereta Wak Segan, err... Wolkswagen tua beliau.

Entah berapa kali aku membuat siaran ulangan di depan Atuk supaya beli sahaja kereta baharu. Namun telinga Atuk seolah-olah tersumbat dengan ear piece MP3 dengan tahap volume paling tinggi. Beliau langsung tidak melayan siaran ulangan yang sengaja aku aktifkan. Begitulah Atuk. Sayang separuh nyawa dengan kereta tua itu. Kata Atuk, itulah kereta pertama yang beliau beli sempena kemasukan Papa ke universiti dua puluh tahun lalu. Itu pun Atuk beli kereta terpakai. Bayangkanlah sudah berapa usia kereta itu? Bagi aku, kereta antik Atuk itu memang sudah layak menempatkan diri di muzium sebagai salah satu artifak bersejarah negara. Hahaha. Mahu naik hantu kalau Atuk baca luahan perasaan hati aku ini. Mujurlah Atuk bukan terdiri daripada manusia yang celik IT. 

Nenek? Nenek bukannya kisah sangat. Lagipun Nenek tidak dengar bebelan-bebelan aku, atau suara Atuk bersungut-sungut apabila kereta tua itu meragam, kerana Nenek mengalami kegagalan fungsi pendengaran yang agak boleh tahan kritikal juga. Kadang-kadang aku dan Abang terpaksa menulis besar-besar di atas kertas kerana sudah letih membuat siaran ulangan akan dialog-dialog untuk Nenek. Apabila sudah tahu apa yang kami katakan, Nenek hanya akan kata, "Ooo...," sebelum membalas cakap kami.

Biasanya begitulah rutin aku dan Abang setiap hari. Menolak kereta Atuk apabila beliau mahu keluar sama ada ke kedai kopi atau ke masjid, atau ke mana sahaja yang beliau suka, juga menulis besar-besar pada kertas setiap kali sudah letih mengulang cakap dengan Nenek.

Oh, ya. Aku dan Abang sudah dua tahun tinggal di kampung dengan Atuk dan Nenek. Papa dan Mama mahu kami menghabiskan persekolahan di Malaysia sebelum kami mengikut mereka ke luar negara. Tugas Papa sebagai pegawai kedutaan menyebabkan kami selalu berpindah-randah mengikut negara di mereka ditugaskan. 

Disebabkan tahap kasihan yang tinggi pada Atuk dan Nenek yang semakin tua dan sunyi di kampung, aku dan Abang dengan rela hati tinggal bersama mereka. Mereka bukannya ada cucu lain pun kerana setakat ini Papalah yang menghasilkan cucu untuk mereka. Mak Su, adik Papa masih belum habis belajar lagi. Mak Su entah bila hendak menamatkan pengajian. Selepas dapat ijazah, buat master. Dapat master dia buat Ph.D pula. Entah bilalah hendak bina masjid dan meningkatkan kuantiti cucu untuk Atuk.

Siapa kata duduk di kampung tidak seronok? Seronok okey! Kampung kami bukannya jauh di pedalaman pun. Rumah Atuk dan Nenek di Kampung Baru, Kuala Lumpur sahaja. Hahaha.

Di rumah Atuk serba lengkap. Ada PS3, TV skrin leper yang besar nauzubillah, talian internet, Atuk dan Nenek yang paling hebat (jika kereta Atuk tidak meragam dan Nenek hanya mengangguk apabila kami bercakap tanpa meminta kami buat siaran ulangan), dan kawan-kawan yang menggembirakan. 

Wah, nampaknya aku sudah semakin jauh daripada landasan asal sebab-musabab aku menulis lagi petang ini.

Sebenarnya hati ini diserang kesedihan yang agak mendalam. Semuanya disebabkan Rini. Sejak akhir-akhir ini Rini seperti tidak mahu bercakap dengan aku. Apabila aku menghampirinya, belum sampai sampai satu meter dia dengan pantas melarikan diri daripada aku.
Aku masih tertanya-tanya mengapa dia begitu. Aku cuba hidu-hidu celah lengan, hmmm... baunya wangi kerana aku pakai deodorant. Jadi kebarangkalian dia menjauhkan diri daripada aku disebabkan bau badan aku, adalah mustahil. Aku perhatikan, Rini yang selalunya riuh-rendah dan kecoh itu lebih suka sendiri-sendiri. 
Ah, masalah! Masalah! Satu masalah belum selesai, masalah lain pula timbul.

Aku penat dan runsing. Lebih baik aku tidur. Aku harap esok aku dapat jawapan mengapa Rini berubah secara mendadak.







 

Thursday, September 30, 2010

Isnin (Hari pertama jurnal ini ditulis dan dirasmikan oleh diri sendiri).

Aku Nia. Itu nama pendek, nama yang kawan-kawan, keluarga dan orang sekeliling panggil. Nama panjang aku, Korniasusilawati Laraduta Khan. Apa? Pelik? Aku boleh jadi meroyan apabila ada yang kata nama aku pelik. Namun aku bangga apabila orang kata nama aku unik. Ya, nama aku unik bukan? Hehehe. Sila muntah dengan sopan-santun sekiranya ada yang mula loya. Aku sendiri pun pelik mengapa ibu bapa aku berikan nama unik itu (yang orang selalu kata pelik itu) kepada aku. Ada unsur-unsur Jawa, Hindi dan Monggolia di situ. Padahal orang tua aku sah-sah Melayu tulin seratus peratus. Mereka mahu aku jadi manusia antarabangsa agaknya. Hmm... mujurlah hanya ada tiga unsur bangsa sahaja pada nama aku. Kalau ada unsur-unsur Uganda, Tibet, Timor Leste dan Swaziland macam mana? Bagaimanalah orang menyebutnya nanti.

Usiaku sudah empat belas tahun. Sudah besar bukan? Tentu ada yang kata, "Alah... baru empat belas tahun. Budak-budak lagi." Apa? Baru? Baru empat belas tahun? Inilah masalah aku. Orang kata empat belas tahun macam tidak ada apa-apa masalah. Masalahnya, aku ada. Ada masalah. Mungkin dalam jurnal ini patut diletak tajuk besar, 'Jurnal Aku Bermasalah.'

Disebabkan masalah aku inilah aku terpaksa menulis jurnal khas. Jurnal khas tempat aku meluahkan perasaan, kemudian bermuhasabah serta mengkaji sekiranya terdapat sebarang kelainan, kepelikan mahupun keganjilan kepada diri aku yang bernama unik ini. Apa? Aku perempuan gila glamor? Mulut siapa yang tergamak meletakkan status yang langsung tidak relevan dengan diri aku itu? Tulis jurnal sesuatu yang glamor? Oh, sekiranya ya, baru sekarang aku tahu. Ah, apa-apalah. Ada aku kisah? 

Sudah! Sudah! Aku tidak ingin melalut. Daripada aku merepek meraban dan lari jauh dari matlamat asal pewujudan jurnal ini, baik aku bebelkan mengenai masalah yang menjadi menyebab terwujudnya jurnal ini. Seperti yang aku nyatakan sebagai mukadimah di atas tadi, aku sudah berumur empat belas tahun. Ya, betul! Aku remaja yang semakin jauh meninggalkan alam sunti, dan jadi anak dara betul-betul. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sunti bermaksud anak perempuan yang mula hendak menjadi gadis (baru baligh), tetapi terlalu muda untuk berkahwin.

Ya, itulah masalahnya. Baligh! Aku sudah empat belas tahun, sudah semakin menghampiri episod-episod terakhir pada zaman sunti ini. Namun aku masih juga belum baligh. Aku belum datang bulan! Habis aku ini dipanggil apa? Anak dara sunti ialah anak dara yang baru baligh. Aku belum! Aku belum! Kepala otak ini terasa sudah over dose memikirkan masalah ini.

Kawan-kawan perempuan sebaya, kebanyakannya sudah datang bulan. Nina paling mendahului kami. Sebaik sahaja berumur sepuluh tahun, dia sudah baligh. Awal betul dia menjadi dewasa. Dari sudut pandangan mata, rupa bentuk fizikal dan rupa Nina sudah macam mak-mak orang! Eeeoow, ngeri pula aku apabila memikirkannya. Adakah aku juga begitu nanti apabila datang bulan? Ngeri okey!

Dalam kumpulan kawan-kawan baik aku, hanya aku dan Rini sahaja yang belum datang bulan. Namun aku lihat Rini biasa-biasa sahaja. Tidak nampak pun dia risau atau berasa dirinya pelik macam apa yang aku rasa.

Haih, entahlah. Aku selalu berdoa aku cepat datang bulan. Aku tidak mahu nampak tidak normal, ganjil, menjadi perempuan tidak lengkap dan istilah-istilah lain yang bersekutu dengannya. Aku tidak rela!