Sunday, March 31, 2013

Monolog Jah dan Od (Bab 1)




BAB 1


Monolog Jah

Kedua-dua lubang hidungku bukan main hebat lagi mengembang dan mengempis, membiarkan oksigen berlumba-lumba mengisi peparu. Rindu pada kampung ini ingin kuubat betul-betul. Di kiri dan kanan, sawah bendang masih menghijau. Burung hijrah nampak gigih mematuk-matuk di celahan selut bendang. Entah dari benua mana burung ini datang. Musim-musim begini banyak pula yang singgah ke mari. Aku sangka PATI saja yang ramai menyeludup masuk ke Malaysia. Kalau haiwan benua lain pun mula datang ke kampung aku, itu tandanya Malaysia ini aman dan makmur.
Tahap kelajuan kayuhan aku tingkatkan lagi. Biar aku dan Cik Pinky cepat sampai. Tujuan kami ialah ke rumah Acik Inab. Dari gaya bercerita tadi, macamlah jauh sangat rumah Acik Inab dari rumah emak bapak aku. Walhal selang empat rumah saja. Oh, bikin cerita mesti kena lebihkan drama. Barulah orang suka baca. Amboi, gedik sungguh!
Sebaik saja aku dan Cik Pinky menjejak ke laman rumah Acik Inab, sebekas makanan cap Tipuware kuambil dari bakul Cik Pinky. Chop! Untuk makluman, Cik Pinky ialah sejenis basikal. Ia bukanlah satu makhluk bernyawa, apatah lagi berperasaan. Oleh sebab warnanya merah jambu, maka dengan rasa paling gedik sekali, aku menamakannya Cik Pinky.
 Eh, sunyinya rumah Acik Inab ni. Aku mula panjang-panjangkan leher ke sana sini tercari-cari sebarang kelibat makhluk di kediaman itu. Daun pintu yang terbuka menandakan penduduk rumah ini ada di dalam.
Biji mata ini mula gatal meliar-liar ke bawah rumah. Hah, motorsikal Od ada. Tentu makhluk itu ada di atas. Basikal Acik Inab pun ada. Yang tiada hanya motorsikal Acik Utoh. Perlahan-lahan aku naik ke rumah.
Sah! Memang Od ada. Tengah mengekek-ngekek di depan komputer ribanya. Walaweh, Mamat ni Skype dengan siapa agaknya? Terkekek-kekek bagai! Minah mana yang diayatnya kali ni? Berwebcam segala. Bulan lepas namanya Anne. Dua tiga bulan lepas, Dina. Lima enam bulan lepas, Rozza. Nama semua tahap urban tak ingat.
Tetiba ada tanduk ghaib muncul di atas kepala aku. Sengih jahat mula menyerlah pada muka ini. Sambil meneruskan langkah terhendap-hendap, aku masuk ke rumah Acik Inab, lalu memulakan aktiviti mengintai skrin komputer riba Od seminit dua. Ya, seminit dua memang cukup sangat untuk tahu apa aktiviti Od di depan komputer ribanya dengan jelas, nyata, lagi terang.
“Mengayat tak ingat dunia!” Sergahan yang terlompat keluar dari mulut aku menghasilkan gerakan drastik jejari Od ke atas tetikus di tangannya. Hilang terus tetingkap chatting Od dengan Minah rambut karat mana entah itu.
Fenomena merah padam mula terjadi pada muka Od. Apatah lagi waktu itu terlompat-lompat gelak tawa dari mulut aku. Pipi ini jadi kembung, mata pula terpejam-pejam akibat berlaku kegelian pada hati aku melihat aksi spontan Od yang diserang wabak terperanjat.
“Kurang asam boi!”
Secara tiba-tiba ada ketukan pada kepala aku. Gelak yang begitu giat aku hasilkan tadi, terhenti secara drastik. Memang sahih, ketukan pada kepala aku dilakukan oleh Od menggunakan gulungan kalendar tahun lepas yang belum sempat dibuang.
“Gelak! Gelak! Gelak lagi kuat-kuat!” Mimik muka Od berperisa masam.
Melihat rupa paras Od yang menonjolkan tahap kegeraman yang tinggi, aku terdiam. Selepas itu aku sengaja mendudukkan diri pada kerusi di sebelah Od tanpa bersopan-santun.
“Mak!”
Secara tiba-tiba tubuhku yang bersaiz M ini sudah pun tergolek di atas lantai rumah Acik Inab, bersama-sama kerusi yang terbongkang, dan sebatang kakinya yang tercabut.
“Kenapa ni Jah? Macam mana boleh jatuh?”
Tetiba muncul Acik Inab secara kalut dari biliknya. Aku terus diterpanya. Mana tidak risau melihat anak dara orang tergolek di dalam rumahnya? Apatah lagi apabila kejadian berlaku ketika bersama anak terunanya pula. Lagilah perlu diambil perhatian. Sah! Jatuhan tubuh badanku bersama kerusi yang patah tadi menghasilkan satu gelombang bunyi berskala besar, sampaikan Acik Inab boleh terperanjat lalu keluar dari biliknya. Acik Inab siap usung baju kurung yang terlekat pada sebiji bantal keluar dari bilik. Dah tentulah dia sedang menyembat baju kurung di dalam bilik tadi ketika insiden kejatuhan diri ini dari kerusi.
Kali ini gegendang telinga aku tergetar-getar akibat menampan bunyi yang terhasil daripada gelak Od. Oh, ini sudah jadi misi balas dendam Od. Huh! Gigih sangat dia menghasilkan gelak sampai menekan-nekan perut. Sikit lagi nak berguling-guling di atas lantai pula.
“Hish, kamu ni. Orang jatuh kamu gelakkan pula.” Tanpa teragak-agak tapak tangan Acik Inab melekap dengan kekuatan padu pada lengan Od. Mendadak gelak Od terhenti.
Waktu itu giliran aku pula yang mengalami fenomena merah padam pada muka. Tahap malu berada pada paras paling maksima. Mana tak malu, jatuhnya aku di depan Od dalam keadaan tidak bersopan. Terkangkang Mak Jemah oi! Mujurlah aku pakai seluar sukan. Bayangkan kalau aku pakai kain atau skirt tadi. Mahu sekurun aku tak tunjuk muka di depan Acik Inab sekeluarga, terutamanya di depan Od. Waktu ini pun aku rasa mahu sorokkan muka dalam baju saja. Eee... malu gila! Gila pun tak malu macam ni.
“Mak lebih sayangkan budak Jah ni dari anak sendiri? Emak tak tahu apa yang si Jah ni buat pada anak mak tadi. Sikit lagi nak meninggal tau.” Tahap ketidakpuasan hati Od melepasi peringkat maksima. Aku dapat rasa tamparan padu pada lengannya tadi perit menggigit-gigit.
“Bila masa aku buat apa-apa pada kau?” sanggahku sambil bangun dibantu Acik Inab. Kerutan-kerutan hebat terhasil pada muka ini, demi menahan sakit pinggul akibat duduk yang terhempas ke lantai tadi. Muka memang sudah rasa panas. Waa, rasa nak menangis! Macam mana boleh terhempas pula? Di depan Od lagi!
“Itulah, buat orang terperanjat lagi. Tuhan dah tunjukkan balasannya.” Od mencebik. Gelaknya sudah tidak terlompat melepasi mulutnya lagi. Namun sengihnya  masih tersungging-sungging pada bibir. Sudah semestinya dengan nawaitu mengejek! Huuu... benci! Benci!
“Jah bawakan karipap sardin tadi. Tu... dalam bekas tipuware warna biru,” kataku pada Acik Inab.
Strategi menutup malu oleh anak dara Wak Misron pun berlangsung. Ya, topik perlu dialih. Pipi yang merah, cepatlah hilang! Aku usap-usap pipi yang masih terasa panas. Sedaya-upaya aku tahan-tahankan tangan daripada membuat sebarang aktiviti usapan pada bahagian pinggul yang sakit dek kejadian terhempas duduk tadi. Nanti gelak Od bersambung-sambung pula. Mesti berlagak biasa. Tak sakit apa-apa. Oh... tertekannya!
“Kau tau Jah, kerusi ni wujud sebelum aku lahir lagi. Mungkin waktu itu aku hanya wujud sebagai embrio. Cuba kau kira, sekarang dah masuk tahun apa? Hari ini dengan penuh gaya, kau dah rosakkan barang antik dalam rumah aku. Kau faham-faham sajalah, barang antik memang mahal harganya.” Kening Od terangkat ala-ala The Rock, sambil membelek dan dengan sengaja menayang-nayang kaki kerusi yang patah itu tinggi-tinggi. Keprihatiannya terhadap kerusi itu tiba-tiba menyerlah. Tak pernah-pernah dibuat!
Aku sempat menayangkan cebikan pada Od. Dan seperti biasa, fenomena merah padam  berlaku lagi pada muka ini secara tiba-tiba.
“Ish, kau ni. Si Jah tu baru jatuh. Kau gelakkan dia. Sekarang kau nak sakat dia lagi.” Acik Inab mula melancarkan bebelan, lalu sedas cubitan geram melekat di lengan Od. Bukan Acik Inab tak nampak muka aku yang merah-merah tadi. Pasti Acik Inab cuba nak cover malu aku.
“Aduh!” Dengan kepantasan maksima, Od mengusap bekas cubitan Acik Inab. “Agaknya mak dan Wak Wok dulu main tukar-tukar anak masa kami kecil kut. Orang sebenarnya anak Wak Wok, dan si Jah ni sebenarnya anak mak. Sebab itulah mak asyik sebelahkan dia.” Od mula melayan merepekan demi repekan yang terhasil oleh mindanya. Aku syak minda Od kurang waras petang ini.   
Aku berpaling pada Od selepas pasti rona kemerah-merahan pada muka ini beransur pudar. Sebelah tangan sudah mencekak pinggang. Sebelah tangan lagi sudah terangkat. “Kau jangan makan karipap aku!” Aku dengan sengaja menonjolkan muka segarang yang boleh. Telunjukku lurus ke arah Od.
“Hah, jangan makan karipap yang Jah bawa. Padan muka!” Ibu jari Acik Inab terangkat di depan batang hidung Od.
“Eleh, macamlah aku hairan sangat dengan karipap kau tu. Aku boleh beli banyak-banyak kat luar, makan sorang sampai muntah.” Cebikan Od sempat aku kesan sebelum memasuki dapur bersama Acik Inab.

*          *          *

“Kamu cuti berapa lama Jah?” Sambil bertanya, jejari montok Acik Inab sempat memasukkan secubit karipap ke mulut. Sambil menjalankan pengunyahan, sambil menghasilkan kata-kata. Multitasking sungguh Acik Inab. Habis berborak nanti, habis jugalah karipap sebiji di tangannya. Termasuk yang ini, sudah tiga biji karipap selamat mendapat ke dalam perut Acik Inab.
Tiga biji lagi diasingkan dalam piring lain. Aku agak, tentu untuk Acik Utoh. Untuk Od? Ish, apa kes aku nak sibuk-sibukkan? Geram tadi belum hilang lagi! Kalau dia mahu, sudah tentu tadi-tadi lagi dia sudah duduk menghadap piring. Kalau sudah leka dengan komputer riba, tak makan tak minum pun boleh kenyang. Begitulah Od yang aku kenal. 
“Mana ada cuti cik. Jah balik hujung minggu saja macam selalu. Esok Jah baliklah semula ke KL,” balasku. Cawan kuangkat rapat-rapat ke bibir, lalu sehirup teh hangat meluncur laju melalui rengkung menuju esofagusku. 
“Si Od tu tak macam kamu. Tak mahunya dia duduk KL cari kerja tetap. Acik risau. Umur dah makin banyak, kerjanya bukan ada selalu. Kejap ada, kejap tak ada. Gaji pun kadang ada, kejap lambat, kejap tak ada langsung,” rungut Acik Inab. Terpaksalah aku menahan telinga demi melayani Acik Inab yang sudah memulakan sesi meluah-luah rasa.
“Od tu suka jadi bos pada diri sendiri. Bebas. Tak apalah cik. Kerja freelance memang gitu,” jelasku. “Dia pernah minta duit acik ke?” soalku kemudian.
“Tak pernah.” Acik Inab menggeleng, sambil memasukkan karipap buat kesekian kalinya ke mulut.
“Hah, baguslah,” balasku. “Dia pernah bagi duit pada acik atau Acik Utoh?” soalku pula.
“Ada. Bil-bil dan belanja dapur, dia yang uruskan.” Acik Inab mengangguk lagi, sambil meneruskan aktiviti pengunyahan karipap.
“Hah, itu lagi bagus. Sekarang acik tak payah risau-risau.” Dengan gigihnya aku melebarkan bibir selebar-lebarnya dengan nawaitu supaya risau Acik Inab terusir. Tinggi harapanku supaya Acik Inab dengan segera menghentikan sesi luahan perasaan.
“Wah! Seronoknya dua beranak ni mengumpat.” Tetiba suara Od mencemar pendengaran kami. Sengaja dia menekankan suara pada perkataan ‘dua beranak’.
“Hah? Karipap dah habis?” Kebesaran biji mata Od terserlah saat pandangannya terfokus pada piring kuih yang sudah kosong.
“Haih, tadi aku dengar ada orang tak hairan dengan karipap yang aku bawa. Boleh beli sendiri banyak-banyak, makan sorang-sorang sampai muntah. Pergilah beli. Pergilah. Pergilah.” Inilah masanya aku nak melancarkan peluru-peluru dari mulut.
“Alah, Jah.” Od garu-garu kepala. Tentu dia sedang giat memaksa akal macam mana nak dapatkan juga karipap sardin aku tu. Mungkin dia memang sudah agak aku akan membalas dendam atas ledakan gelaknya yang bertalu-talu keluar dari mulut tadi.
“Sebenarnya aku main-main cakap. Mana ada karipap sardin yang boleh lawan karipap kau.” Mulalah Od nak jalankan sesi mengampu demi beberapa ketul karipap.
“Okeylah cik. Jah nak baliklah. Dah lama Jah kat sini.” Serta-merta aku bangun, mengambil bekas karipap yang sudah kosong, lalu bergerak keluar dari dapur.
“Ambillah terung dan kacang panjang ni.” Acik Inab menghulur seplastik sayuran. Sudah pasti hasil berbudi pada tanah keliling rumah, memberikan hasil yang menuah-nuah. Acik Utoh dan Acik Inab memang rajin orangnya. Namun kerajinan itu tidak diwarasi oleh Od. Yang Od tahu, duduk berjam-jam di depan komputer riba!
“Terima kasih ya Jah,” ucap Acik Inab. Aku hanya mengangguk dan melebarkan bibir dua tiga saat pada Acik Inab.
“Yang ni pun terima kasih,” balasku sambil mengangkat bungkusan sayuran tadi.
“Weh, Jah! Nantilah! Takkan nak balik kut!” Od cuba menahan aku. Tapi aku buat muka ketat saja.
“Nantilah! Kita belum borak pun lagi.” Wah, gigih sangat Od menahan aku. Waktu itu aku sudah keluar dari dapur dan malas nak memalingkan muka padanya lagi.
“Hei, ini karipap untuk ayah kau. Kalau kau nak, pergilah rumah Jah.” Tetiba suara Acik Inab yang terlantun-lantun, sempat ditangkap telinga ini. Aku tergelak sendiri. Tentu tangan Od curi-curi mengambil karipap yang Acik Inab tinggalkan untuk Acik Utoh. Padan muka Od!