Thursday, May 9, 2013

Monolog Jah dan Od (BAB 6)


BAB 6

Monolog Jah



Pukul 6.30 petang, kaki ini baru dapat melangkah keluar dari pejabat dengan jayanya. Mr. Ready yang aku sayangi kuhampiri selepas menyarung topi keledar di kepala. Tetiba biji mata ini tak dapat lari daripada terus-menerus menumpukan seluruh fokus pada bakul Mr. Ready. Sekeping coklat gelap import molek-molek menyerlahkan diri di dalam bakul Lambretta itu.
“Ini jenis coklat yang sama yang mendarat atas meja aku dua hari lepas,” aku berbisik pada diri sendiri. Terus aku gigihkan diri membelek coklat itu.
Macam terdengar-dengar pula kata-kata Tina pada hari meja aku menerima kunjungan coklat misteri itu. ‘Ada orang minat kau, Deeja.’ Kata-kata Tina terngiang-ngiang, sampai menghasilkan gema macam dalam filem. ‘Ada orang minat kau, Deeja... Deeja... ja... ja... ja....’
Tak semena-mena segala bulu pada lengan dan tengkuk aku meremang secara auto. Secara drastik aku pandang kanan-kiri-atas-bawah-depan-belakang. Manalah tahu makhluk yang mempunyai kemurahan hati yang tinggi itu ada di sekitar sini, supaya boleh aku tanyakan motif pemberian coklat mahal berkualiti premium ini padaku.
“Siapa yang bagi ni oiii! Munculkan diri dengan segera. Boleh kita berkenalan dengan lebih rapat lagi!” Dalam keadaan berani-berani takut, aku mengeluarkan gelombang bunyi berskala sederhana dari mulut ini.
Bebola mata ini meliar ke sana sini; mencari-cari kalau-kalau ada kelibat-kelibat manusia di situ. Ya, memang ada kelibat-kelibat manusia iaitu Ah Pek Sulat Kaba Lama yang sedang mengutip kotak-kotak terpakai, Bai Roti yang tetiba lalu sambil memicit-micit pon-ponnya, juga beberapa orang staf pejabat yang berjiran dengan pejabat aku. Cuma kedudukan lorong tempat aku meletakkan Mr. Ready agak terlindung dari pandangan manusia yang membuatkan tahap kecuakan aku tetiba meningkat ke tingkat paling tinggi. Sementelah lagi dengan kehadiran coklat mahal ini yang masih belum dikenal pasti pemberinya, dan apa motif pemberian itu, menambah-nambah lagi ketegakan bebulu roma aku.
Ada juga seorang dua yang memandang padaku tatkala gelombang bunyi berskala sederhana tadi terhasil dari mulut ini. Dalam keterpaksaan, aku lebarkan bibir beberapa milimeter.
Tak semena-mena mata ini menangkap satu kelibat tak jauh dariku.
“Jai!” Lelaki itu memang Jai. Namun laungan yang aku hasilnya gagal menghentikan langkah lelaki itu.
“Jai!” Entah kenapa ringan sangat rasanya kaki ini melajukan langkah mengejar Jai. Sekejapan aku sedia tegak terpacak di depan Jai. Sejak bila Mamat ni hilang keupayaan mendengar? Aku rasa volume yang aku hasilkan tadi sudah cukup kuat bagi jarak kami berdua.
“Kau nampak tak siapa yang letak coklat ni dalam bakul motor aku?” soal aku pada Jai. Jai menunduk dan macam tak sabar-sabar nak pergi.
“Err... entah! Aku baru nak lalu sini,” jawab Jai dengan muka yang langsung tak sudi memandang aku. “Eh, aku nak cepat baliklah. Perut aku senak semacam ni,” katanya lagi. Tanpa membuat pembaziran masa menunggu aku berkata-kata, Jai kocoh-kocoh pergi.
Bingung betul dengan sikap Jai dua tiga menjak ini. Dia seolah-olah mengelak dari bertembung dengan aku. Coklat di tangan aku pandang sekilas. Takkan aku nak makan coklat ni?
“Jai, tunggu!” Sekali lagi aku laung-laung Jai sebelum jarak kami semakin jauh. “Ambillah coklat ni. Aku tak nak!” Aku gamit berkali-kali. Namun Jai hanya geleng-geleng sambil meningkatkan lagi tahap kelajuan langkah kakinya. Mungkin Jai tak sabar-sabat nak memerut kut. Hmmm....
Apa yang aku mampu lakukan ketika itu hanyalah mengebil-ngebilkan mata memandang Jai pergi. Apabila keadaan kembali sunyi, tetiba rasa cuak berbondong-bondong datang. Jam di tangan sudah 6.40 petang. Terus aku hidupkan Mr. Ready dan merempit meninggalkan kawasan pejabat yang menyeriaukan itu.
Sejak berlaku kejadian terlantarnya sekeping coklat gelap mahal di atas meja kerja aku, jiwa ini sudah tak setenang dulu. Rasa kekok dan janggal saja pergerakan aku di pejabat. Komunikasi aku dengan rakan-rakan sekerja berjantina lelaki canggung teramat. Kadang-kadang aku minta bantuan Tina sebagai perantara. Sekejap-sekejap, Tina. Sekejap-sekejap, Tina lagi. Tina dan Tina. Naik lemas Tina aku mangsakan.
Sesiapa juga yang berjantina lelaki memang aku syaki sebagai penghantar coklat misteri itu kecuali Johan dan Muss. Johan? Tak mungkin! Mamat tu tanpa segan lagi silu menghabiskan coklat itu secara berjemaah dengan Lina dan Tina. Muss pula terang-terang berstatus tunang orang.
Setiap hari aku datang kerja, terasa gerak geri diri diperhatikan. Nak melangkah pun tak selesa. Gaya jalan pun jadi kelam-kabut. Buat kerja pun salah-salah senantiasa. Tertekan sangat apabila bekerja dalam keadaan begini. Nak buat tak tahu, memang tak boleh sebab aku memang tak boleh buat-buat tak tahu. Dan sekarang, pada senja nan merah ni sekali lagi aku menerima sepapan coklat. Siapa gerangan tuan punya badan yang bermurah hati itu? Aku ingin berdepan dengan kamu!
Pada siapa nak kuadukan kisah misteri yang aku lalui ni? Pada siapa aku nak berkeluh kesah? Pada Tina? Lina? Johan? Mereka cuma tahu menakut-nakutkan aku saja. Kadang-kadang dengan sengaja menggiat aku. Langsung tiada kelegaan di hati sanubari ini kalau meluah-luah rasa atau mengadu derita tertekan pada mereka. Ohhh....
Pada Od? Hmmm... pada Od, aku sudah tak wujud lagi dalam kotak chattingnya. Okey, aku paham. Dia dah ada kawan-kawan baharu yang lebih cool. Senarai kawan-kawannya bukan calang-calang manusia; novelis terkemuka tahap sasterawan, penggiat teater, penyair ulung. Semuanya tahap-tahap seniman agung.  Bukan macam aku. Aku cuma bergaul dengan insan-insan taraf sastera-wang saja. Dan sekarang dia dah ada buah hati seorang model sambilan, pelakon sambilan dan entah segala macam sambilan lagi. Hmmm....
Tengah hari semalam waktu aku terserempak dengan dia, langsung dia tak menyahut apabila aku panggil. Terus masuk ke dalam kereta Ijam bersama-sama Yati. Termalu-malu aku jadinya apabila diabaikan sedemikian rupa. Oh.... sabarlah hati.
Aku dah kata tadi. Kawan-kawan Od memang terkenal. Memang terkenal sampai aku pun kenal juga. Ijam dan Yati yang sepejabat dengannya pun tak kurang hebat. Ijam, bekas pereka grafik di syarikat penerbitan animasi ternama. Pernah menang anugerah beberapa kali. Keluar masuk surat khabar dan TV sudah tak cukup jari mengiranya. Yati pula pernah menang anugerah penterjemah terbaik dan kini jadi editor pula di tempat Od bekerja.
Sekarang aku terpaksa telan sendiri rasa tertekan, cemas, dan takut ini. Takkan nak kongsikan rasa dengan Wak Wok atau Wak Misron? Tidak sama sekali!

Monolog Od


“Hoi, Jah! Cepatlah turun. Berjanggut aku tunggu kau kat bawah ni. Nak tumbuh akar tak lama lagi.” Cuping telinga ini aku tekapkan betul-betul pada corong telefon, biar suara Jah dapat aku dengar dengan jelas.
“Aku malaslah nak turun.” Suara Jah kedengaran tanpa semangat. Lemau bunyinya.
“Alah, turunlah. Bukannya lama pun. Turunlah cepat.” Sekali lagi aku mengasaknya. Hampir lima belas minit aku terpacak di bawah pejabat Jah. Lima belas minit jugalah aku memujuknya supaya turun.
“Kau nak apa ni sebenarnya? Ada masalah apa?” soal Jah di hujung talian. Mulutnya macam malas saja nak mengeluarkan bunyi.
“Adalah. Nanti kau tahu juga. Cepatlah sikit. Kau tak kesiankan aku ke? Lama aku tunggu kau ni.” Sekali lagi aku melakukan paksaan terhadap Jah.
“Okey.” Jawapan Jah yang masih bersuara malas itu drastik membungakan senyumku. Akhirnya dapat juga aku pasang angan-angan. Ahak!
Tak lama, Jah muncul di depan aku. Hari ini Jah pakai baju kurung pahang warna merah muda. Jah dan pink berpisah tiada. Mujurlah Lambrettanya berwarna merah. Kalau warna pink juga, aku sendiri yang akan sembur Lambretta itu dengan warna lain. Siap buatkan doodle lagi pada badan motorsikalnya tu.
“Ada apa paksa-paksa aku turun ni? Aku tak lapar,” kata Jah sebaik memunculkan diri di depan aku. Suaranya masih kedengaran malas-malas juga. Mukanya serius.
“Hei, senyumlah sikit. Kenapa monyok ni?” Sungguh tiada rasa puas di hati apabila tak dapat mengesan senyum pada muka Jah. Aku pula yang lebih-lebih membuat pelebaran bibir.
“Aku bukan nak belanja kau makanlah. Jom ikut aku,” kataku. Namun Jah masih tegak terpacak memandang aku dengan muka kurang bersemangatnya itu. Apa kena dengan Jah hari ini?
“Jomlah. Aku nak bawa kau ke satu tempat. Cepatlah!” Entah berapa kali aku mendesak, sudah tak terkira banyaknya. Kereta Ijam sedia kubuka pintunya untuk Jah.
Terpaksalah aku pinjam kereta Ijam. Nak suruh Jah bonceng motorsikal aku, jangan mimpilah. Takkan dia mahu. Kali terakhir Jah membonceng motorsikal aku sebaik saja dia tamat tingkatan lima. Kemudian dia mula pakai tudung secara istiqamah. Sebelumnya, tudung hanya jadi uniform ke sekolah saja. Sejak itu Jah menolak kalau aku suruh dia bonceng di belakangku.
Dalam keterpaksaan akhirnya Jah masuk ke dalam kereta. Dalam kereta, Jah cuma mendiamkan diri.
“Kau kenapa hari ni? Senggugut?” soalku apabila mulut Jah seakan-akan hilang upaya untuk menghasilkan sebarang bunyi. “Kau sakit ke?” Sekali lagi aku menyoal.
Jah geleng-geleng. Matanya menyorot ke depan. Akibat keengganan mulut Jah menghasilkan sebarang ayat, maka mulut aku pun akhirnya seperti hilang upaya untuk terbuka. Apa masalah Minah ni? Kena marah bos? Kerja banyak? Penulis mengamuk? Kelabu asap kepala otak aku jadinya.
“Err... tempat yang kita nak pergi ni tak jauh.” Akhirnya terlepas juga kata-kataku. Itu pun selepas aku paksakan otak untuk membina ayat yang sepatutnya, demi menghalang daripada berlakunya jeda yang panjang antara kami.
“Apa-apalah,” balas Jah dengan nada mendatar dan malas. Matanya masih terfokus ke depan. Memang terserlah keterpaksaannya dalam menunaikan permintaanku tadi.
“Hei, muka aku jauh lebih handsome hari ni. Kau tak nak tengok?” Sengaja aku buat lawak biar dia senyum. Tak tahan betul aku bila tengok Jah dalam mood yang aku sendiri pun tak pasti bagaimana.
“Yalah tu.” Jah membalas kata, namun kali ini matanya terus tertutup rapat dan berpeluk tubuh. Dia tak pandang aku langsung.
“Kau ada masalah ke?” Ahhh... kenapa aku asyik menyoal saja untuk memulakan perbualan? Tengah hari ini panas terik, tapi Jah sangat kontra. Dingin beku. Dia diam dan terus-terusan memejamkan matanya.
“Tak,” jawab Jah sepatah. Kelopak matanya terus-terus menyembunyikan biji matanya kemas-kemas.
Akhirnya aku kalah. Kalah dengan mood dingin beku Jah tengah hari ini. Moodnya yang sedemikian buat aku kekontangan kata-kata untuk diluncurkan dari mulut. Kali ini alunan lagu dari radio yang terpasang, memonopoli ruang dalam kereta yang terus meluncur laju itu. Kelabu asap otak aku. Sangat!
Akhirnya sampai juga kami ke destinasi yang aku angan-angankan untuk berangan-angan. Bunyinya aneh, tetapi itulah hakikatnya. Destinasi angan-angan untuk berangan.
“Dah sampai!” kataku sebaik menghentikan enjin jentera. “Oi... dah sampailah!” Kali ini aku terpaksa menambahkan skala gelombang bunyi yang keluar dari mulut ini.
Kelopak mata Jah terbuka. Sedikit memerah biji matanya, dan dia nampak agak terpisat. “Kita kat mana ni?” soal Jah seraya memandang ke kiri dan kanan. Tertidur rupa-rupanya Minah ni tadi. Haih....
Used car.” Sengihku teraktif.
“Nak buat apa?” Kening Jah terkerut dengan hebatnya. Aku pasti dia dilanda wabak hairan yang kritikal.
“Berangan.” Keningku terjongket. “Jomlah!” gesaku apabila dia masih lagi membiarkan tali pinggang keledar mengikat dirinya.
Aku sudah terpacak di sisi kereta, namun dia masih terhegeh-hegeh mengeluarkan diri dari jentera beroda empat itu. Tanpa menunggunya, aku sudah sedia tegak terpacak di barisan kereta terpakai. Seorang lelaki berkepala botak, berperut leper, berkaki panjang menghampiriku. Serentak dengan kemunculan lelaki itu, Jah juga sedia terpacak di sebelahku.
“Ya, bang. Boleh saya bantu?” soal Encik Kepala Botak.
“Nak tengok-tengok dulu.” Sengihku tersungging, sambil biji mataku terfokus pada muka Encik Kepala Botak yang polos tanpa misai dan janggut.
“Nanti kalau perlukan bantuan, abang panggil saya kat pejabat ya?” Encik itu menyedekahkan senyum sebelum beredar.
“Kau nak beli kereta?” soal Jah tetiba. Barulah aku terdengar ada aura teruja pada suaranya.
“Berangan.” Aku senyum senget sambil mataku lurus memandang deretan kereta di depan kami.
“Hah?” Kening Jah yang cantik macam dipantis itu sekali lagi berkerut dengan hebat. Aku rasa dia masih mamai, kemudian dilanda wabak terkejut apabila tetiba sampai ke premis jualan kereta terpakai sebaik terjaga.
“Berangan nak beli kereta. Dan akan aku naiktarafkan angan-angan tu jadi cita-cita pula lepas ni.” Dengan yakinnya aku mengeluarkan kenyataan.
“Tak sangka betul, tinggi citarasa kau sekarang.” Kali ini barulah Jah sudi pandang muka aku yang kacak ni. “Kau tahu tak, Mini Cooper, Caldina, dan segala yang terpakai depan kau ni pun dah berapa? Kau baru berapa hari kerja makan gaji?” Jah bersuara. Kebulatan biji matanya menyerlah sangat. Barulah aku dapat mengesan tenaga dalam vokal yang dihasilkan Jah.
“Kau gila?” Aku melawan kebulatan biji mata Jah dengan membulatkan biji mata aku juga. “Yang hujung sekali!” Muncungku memanjang setengah milimeter ke arah hadapan. Kakiku melangkah laju ke hujung deretan kereta terpakai di depan kami. Langkah Jah pun bukan main tangkas lagi mengekor aku. Hilang kantuknya secara mendadak.
“Yang ini?” Telunjuk Jah lurus ke arah sebuah sedan Datsun 120Y, keluaran tahun 80-an. Bibirku melebar maksimum, kemudian angguk-angguk.
“Comel ni, Od!” Bibir Jah pun melebar. Barulah aku nampak senyum Jah menyungging. Terus dia berkeliling membelek-belek kereta itu. “Ini kalau kau sembur dengan warna...”
“Haaa... jangan nak kata sembur dengan warna pink eh.” Tanpa bersopan santun aku cantas ayat Jah. Dia mencebir. Dari gerak-gerinya aku tahu dia teruja. Respon inilah yang aku nantikan daripada Jah. Ini barulah Jah!
“Nanti aku nak tukar dengan sport rim.” Kereta itu mula aku belek. Dan misi berangan-angan pun bermula.
“Okey, kau sembur warna merah. Macam Mr. Ready aku. Lepas tu kau pasang side mirror baru yang lagi fancy. Pasang sticker yang gempak-gempak. Perghhh. Semua orang mesti menoleh sepuluh kali ni, Od.” Mata Jah bersinar-sinar.
“Enjin kasi upgrade. Pasang audio yang canggih. Kasi berdengung, dan menderum-derum.” Kening Jah terjongket-jongket ketika memandang aku.
“Amboi. Kau pula yang terlebih berangan. Kau yang nak beli atau aku?” Sedas dua kutukan aku tembak pada Jah. Bagaimanapun, memang itulah tujuan aku mengajak Jah. Dia memang banyak idea, dan ideanya selalu kena dengan selera aku. Mungkin sebab kami membesar bersama dan tahu selera. Apa yang Jah fikir, selalunya itulah yang aku pun fikir.
“Tapi aku tak mahulah warna merah. Merah dah terlalu biasa. Aku nak tukar warna hijau. Hijau jalur putih,” balasku sambil membelai-belai dagu, dengan sebelah tangan menyeluk saku seluar. Ish... tetiba ada kawasan terlindung yang gatal. Hoho!
“Jalur? Kenapa tak bulat besar sebiji warna putih? Nanti tentu ada orang tegur kau, nak naik ke bulan ke?” Gelak Jah terlompat keluar.
“Kalau macam tu aku tukar warna birulah. Biru jalur putih.” Gelakku pun terlompat sama.
“Nanti tampal sticker dacing sekali ya.” Gelak Jah makin galak. Akhirnya kami gelak secara berduet. Bersahut-sahutan jadinya.
“Eh, suka hati akulah. Dah jadi kereta aku nanti, siapa boleh halang?” balasku. Budak Jah ni kalau dilayan, makin menjadi-jadi repekannya. Namun aku gembira sebab Jah yang sebenar telah kembali. Hilang sudah mood dingin bekunya tadi.
“Bila kau nak sambar? Sekarang?” Dari intonasi suara Jah, aku tahu dia terlebih teruja mengalahkan aku.
“Dua tiga bulan lagi sampai cukup duit. Sekarang berangan dulu, kemudian pasang cita-cita.” Aku menjawab sejujur-jujurnya. “Selain gaji bulan, aku sambar job luar sana-sini. Aku nak kumpul duit kahwin, beli kereta, rumah dan lain-lain lagi,” tambahku. 
“Ooo.” Intonasi suara Jah mendatar. Mungkin dia kecewa sebab aku tak beli sekarang.
Bagi aku biarlah beli yang terpakai. Yang penting, ada. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Walaupun mungkin kurang bergaya, sekurang-kurangnya cukup semua. Dan aku berusaha untuk mencukupi apa yang orang lain ada walaupun tak segah mana. Aku harap bakal isteri aku nanti faham dan tahu upayaku macam mana.
Mengingatkan karenah orang berumahtangga zaman sekarang, rasa cuakku memang tak boleh dibendung-bendung. Manusia berjantina perempuan zaman sekarang terdedah dengan bermacam-macam pemikiran, fesyen dan segala macam jadah yang akhirnya menyerabutkan otak dan fikiran manusia berjantina lelaki. Perempuan sekarang belajar tinggi-tinggi pun, masih ramai yang tak guna akal. Sepatutnya makin tinggi belajar, makin tajam pemikiran. Betullah, perempuan ada sembilan nafsu dan satu akal. Akal yang yang satu itu terpaksa mengawal sembilan nafsu.
Hal mengenai kehendak perempuan yang memeningkan ini pernah terjadi pada  Sham, abang Jah. Dulu masa baru bekerja, Sham terjatuh cinta dengan jiran sebelah rumah sewanya. Dari segi rupa bentuk kejadian bukanlah tahap ratu Malaysia. Tahap ratu dunia lagilah jauh. Belajar takat diploma. Menurut Sham dia tertarik dengan keanggunan dan bau minyak wangi perempuan itu. Dipendekkan cerita, Sham terpaksa beli kereta. Kalau tak mahu beli kereta, mesti beli motorsikal berkuasa tinggi. Sebabnya, si buah hati malu dengan Sham yang berkapcai ke mana-mana. Dia mahu nampak hebat dan gah depan kawan-kawannya. Kawannya memasing dapat tangkap lelaki bergaji lebat, bergaya hebat-hebat, ke sana-sini berbelanja duit kekasih yang mereka sebat.
Sayang punya fasal, Sham turut juga kehendak perempuan itu. Pantang kawan-kawan dapat hadiah mahal dari kekasih, perempuan gedik itu pun merengek nak hadiah mahal juga. Padahal bukannya dia tak tahu Sham baru mula bekerja empat lima bulan. Hari-hari minta berjemput pergi balik kerja, tak mahu kalah. Mula-mula perempuan itu suruh Sham pinjam motorsikal berkuasa tinggi kawan serumahnya. Kalau Sham jemput dengan kapcai, dia tak mahu keluar. Dia malu naik kapcai. Kemudian Sham beli kereta Proton terpakai. Lepas seorang demi seorang kekasih kawan-kawan serumah tukar kereta import, si perempuan pun merengek suruh Sham tukar kereta lain. Tak payah yang import pun tak apa, asalkan kereta baharu. Yang terpakai, tak mainlah.
Aku katakan pada Sham, “Belum kahwin dah kontang poket. Kalau kahwin nanti macam mana? Dia ada gaji, kenapa tak beli sendiri?”
Sham geleng-geleng. “Sayang punya fasal,” katanya ringkas. Sebenarnya besar hajat hati aku nak syarahkan Sham.Tapi tengok muka Sham yang kasihan tu, terus hasrat murniku tadi terencat semerta.
Masa itu Sham mula pening. Tiap-tiap bulan poketnya kekontangan. Dan akhirnya aku terpecah rahsia Sham berkenaan manusia berjantina perempuan yang buat otaknya berserabut itu pada Jah. Maka dengan tingkat kegeraman yang tinggi dan semangat yang jitu, Jah buat pakatan sulit dengan Kak Soya dan Kak Lin yang ketika itu sudah bertunang. Trio itu berhajat ke rumah perempuan itu di Shah Alam.
Dan-dan itu juga Jah dan Kak Lin paksa Sham pindah rumah. Kemudian puaslah Sham menadah telinga dengar tarbiah-tarbiah dan syarahan daripada Wak Wok. Wak Ron pula buat bodoh saja, malas nak berkecimpung sama. Mana taknya, memang Wak Ron tidak mendapat langsung peluang dan ruang dalam sesi mensyarahkan Sham. Habis seluruh ruang dimonopoli oleh Jah, Kak Lin, dan diketuai oleh Wak Wok.
Dan perempuan gedik itu terus tak dengar cerita sampai ke sudah. Sham pun pasrah dan bertaubat nasuha takkan sewenang-wenangnya menggelapkan mata hati dengan cinta lagi. Di belakang kejayaan seorang lelaki, pasti ada seorang wanita. Namun wanita juga mampu memusnahkan hidup lelaki. Sila jangan pandang remeh pada kuasa wanita. Air mata, kemanjaan dan pujuk rayu adalah senjata mereka. Wahai lelaki, berwaspadalah kamu!
Macam mana pula dengan Julie? Sebenarnya apabila memikirkan Julie, tahap kecuakan aku meningkat secara drastik. Pernah aku kongsikan insiden Sham padanya, dan aku berpuas hati setakat ini dengan pandangannya mengenai isu itu. Malah sejak sebelum kami rapat lagi, Julie sedia memuat naik gambar-gambarnya ketika menjalani sesi melepak di kedai Mamak, di warung-warung tepi jalan, atau naik kereta Kancil kawannya. Pendek kata, pilihannya serupa macam orang lain. Aku harap Julie tak berubah, dan dia tidak berpura-pura dengan aku, terima keadaan aku seadanya.
“Aku laparlah, Od.” Lamunanku tergugat dek rungutan Jah. “Belanja aku makan ya? Lagipun aku belum merasa gaji kau.” Ewah. Sempat juga dia mengenakan aku. Bukan ke masa keluar tadi dia kata tak lapar? Bukan ke dia kata malas nak keluar? Sekarang bukan main gedik lagi minta aku belanja.
“Tetiba lapar? Tadi ada orang kata tak lapar.” Perlianku teraktif dengan sendirinya, tepat mengenai sasaran.
“Nak belanja ke tak nak?” Bibir Jah mula terjuih. Mukanya mula ketat. “Anggaplah sebagai upah peneman kau ke sini untuk berangan-angan.” Jah pandang aku dengan ekor mata.
“Kau-kau!” Aku balas pandangannya dengan ekor mata juga, kemudian mula melangkah. Cuaca panas begini bukan boleh berlama-lama berdiri di tengah terik. “Cubalah belajar panggil aku ‘abang’. Aku ni lebih tua daripada kau. Kenalah hormat.” Tetiba aku bangkitkan semula isu ini. Lama dulu aku pernah bangkitkan isu yang sama pada Jah, tetapi Minah ni buat bodoh saja.
“Panggil kau ‘abang’? Geli aku!” Jah memotong langkahku. Agaknya dah lapar sangat sampai tak sabar-sabar nak masuk kereta.
“Degil betul budak ni!” Aku menggumam.
“Kalau macam tu kau kenalah panggil aku ‘adik’.” Duduk Jah sudah berlabuh pada kusyen kereta.
“Sejak bila kau jadi adik aku?” Aku mengejek. Enjin kereta aku hidupkan, dan tangan Jah cepat lagi tangkas menghidupkan pendingin hawa. Mukanya merah kepanasan. Tangannya mula gigih mengelap manik peluh yang mahu menjurai di pelipisnya.
“Sejak bila kau jadi abang aku?” Jah menempelak pula.
Tengok, ada saja alasan dan dalihnya. ‘Abang’ bukanlah termaktub hanya untuk memanggil abang kandung, tetapi juga sebagai panggilan hormat pada seorang lelaki. Sekarang perempuan kahwin dengan lelaki muda dah jadi macam trend. Wah, macam artis-artis pula jadinya. Adakah perempuan itu akan panggil suaminya dengan nama saja? Memang taklah! Ops, tarik balik! Err... ada memang ada. Sikit. Dan mungkin... ya, mungkin terpaksa tabahkan diri mendengar kritikan pedas manusia sekeliling.
 Selain daripada ‘ayang’, ‘baby’, ‘bi’ dan lain-lain panggilan manja, ‘abang’ juga adalah tergolong dalam panggilan begitu. Dan yang lebih penting, dah tentulah panggilan sebagai tanda hormat pada suami. Agak-agaknya, calon isteriku nanti panggil apa pada aku? Baby? Oh... minta dijauhkanlah.
Aku pergi tengok kereta terpakai pun, Encik Kepala Botak itu panggil ‘abang’ walaupun aku sedar betapa mudanya aku berbanding dirinya. Dia boleh saja menggunakan ‘encik’. Namun sebagai tanda hormat dan berbudi bahasa dalam cara yang lebih mesra, dia panggil aku ‘abang’ juga. Hei, orang kita kan tinggi budi bahasa. Takkan itu pun tak faham.
Kalau Encik Kepala Botak yang disyaki lebih tua itu pun panggil aku ‘abang’, inikan pula budak Jah yang sah-sah lebih muda daripada aku tu. Inilah yang paling aku tak puas hati dengan Jah.
“Oit, cepatlah sikit bawa kereta tu. Aku dah lapar ni. Kerja banyak sangat sampai aku tak sempat rehat minum pagi tadi,” gesa Jah selambanya.
Aku jeling sekilas perempuan yang duduk di sebelah aku ni. Tengok... siap panggil aku ‘oit-oit’ lagi. Ish....

No comments:

Post a Comment