Thursday, January 19, 2012

3 Julai - 4 Julai


3 Julai. Sabtu. 9.00 pagi.

Pagi yang bosan! Hari ini aku tidak ke mana-mana sangat. Selepas merajinkan diri menolong Nenek cuci pinggan mangkuk selepas sarapan, aku siramkan bunga-bunga Nenek. Kemudian aku bersama-sama Atuk pergi ke Pasar Chow Kit demi mendapatkan bekalan bahan-bahan makanan yang bakal dicernakan oleh perut seluruh penduduk rumah Atuk. Namun agak menggembirakan kerana kereta Atuk tidak meragam lagi. Semalam Abang Mekanik kesayangan Atuk sudah datang baiki kereta itu. Jadi tanpa sebarang kekhuatiran, dengan seronoknya aku mengikut Atuk.


Di pasar, tiada sebarang kejadian yang menarik, selain daripada perasan ada beberapa jejaka memandang-mandang pada aku. Aku seram! Entah-entah mereka itu jejaka Lombok. Eee! Sebagai remaja di akhir sunti, juga bakal gadis aku perlu berhati-hati. Sudahlah emak ayah jauh. Kalau jadi apa-apa, macam mana? 


Di sebalik keperasanan aku ketika di pasar tadi, tiba-tiba aku terfikir adakah aku layak untuk diminati atau meminati makhluk berlainan jantina? Erk, harapa-harap bukan jejaka Lombok! Nauzubillah, minta dijauhkan! Mengapa aku tidak layak? Okey, kembali kepada matlamat asal pewujudan jurnal ini; aku belum baligh! 


Wajarkah seorang remaja yang kini melewati episod-episod terakhir kesuntiannya, dan masih belum datang bulan, diminati atau meminati? Bukankah seseorang perempuan yang tidak datang bulan itu tidak sempurna keperempuanannya? Aku bukan perempuan yang sempurna? Argh, tiba-tiba makin meningkat tahap kepeningan aku apabila memikirkan hal ini. 


Dengan siapa aku boleh meluahkan hati dan perasaan ini? Tidak mungkin dengan Atuk. Abang? Jangan harap! Satu-satunya perempuan di rumah ini ialah Nenek. Nenek? Kalau aku berbincang dengan Nenek, harus aku meningkatkan iman, semangat dan kesabaran dahulu sebelum aku kekeringan air liur, dan berhadapan dengan implikasi keletihan rahang yang maha hebat kerana membuat pengulangan dialog secara berturut-turut di depan Nenek. Mungkin aku akan terlebih buat senaman jari, tangan dan lengan akibat keletihan mengadakan acara menulis-nulis di papan putih. Nampaknya terpaksalah aku melupakan hasrat suci lagi murni itu. Lagipun pemikiran dan pengetahuan Nenek tentu lain berbanding generasi sekarang. Wah, nampak seperti merendah-rendah Nenek pula. Ops!


Mungkin aku boleh tanya satu-satunya menantu Nenek aku yang kini berada di Denmark itu. Namun bukanlah sekarang. Di Denmark sekarang, mungkin satu-satunya menantu Atuk dan Nenek itu masih seronok meningkatkan kuantiti tahi mata. Baik aku hantar emel sahaja kepadanya. Dengan sepenuh keyakinan aku berfirasat beliau ada jawapan untuk itu.


Okey, aku tulis untuk satu-satunya isteri Papa sekarang.


4 Julai. Ahad. 10.15 pagi.

Tadi sebelum membuka emel balasan daripada satu-satunya menantu perempuan yang Atuk dan Nenek aku ada, iaitu mama aku sendiri, aku cuba buzz Rini yang tiba-tiba memunculkan diri dalama senarai Yahoo Messenger aku.
Malangnya, Rini tiba-tiba ghaib. Aku cuba berbaik sangka. Mungkin talian Internet di rumah Rini bermasalah. Jadi dengan tenang aku berharap Rini muncul semula. Tujuan utamanya tentulah kerana aku ingin tahu mengapa sejak akhir-akhir ini dia suka menyendiri. Sebagai seorang sahabat, sudah tentulah aku ambil peduli padanya. Apa gunanya sahabat seandainya tidak mampu membantu, seandainya tidak peduli? 


Aku tunggu punya tunggu, namun sudah setengah jam Rini tetap tidak muncul-muncul semula. Hmm... mengapa dengan Rini agaknya? Sebagai sahabat aku mula naik risau. Namun aku mati akal sekarang. Apa yang mampu aku lakukan? Adakah Rini sudah tidak sayang aku sebagai sahabatnya?


Nampaknya ada emel masuk. Mungkin balasan emel dari Mama. Baik aku tengok. Nanti bila-bila aku sambung ya.


11.00 malam.

Malas betul aku hendak menaip. Bagaimanapun aku perlu juga menaip kerana aku perlu masukkan jawapan daripada Mama mengenai persoalanku semalam. Semalam dalam emel, aku tanyakan kepada Mama mengapa aku masih belum datang bulan. Adakah aku tidak normal? Adakah aku akan berubah menjadi lelaki? Eee, seriaunya aku!


Mahu tahu apa jawapan Mama? Argh! Aku rasa ingin menjerit. Mula-mula sekali Mama taip begini, ‘Ha ha ha!’ Adakah patut? Memang sungguh tidak patut!


Agaknya Mama sangka aku sudah tidak sabar-sabar hendak baligh. Aku bukannya kisah sangat hal ini pada asalnya. Namun sejak akhir-akhir ini aku jadi tidak tentu arah apabila seorang demi seorang rakan-rakan baik aku datang bulan. Tinggal aku dan Rini sahaja yang belum. Tentulah aku risau. Rini pula sejak sehari dua ini asyik melarikan diri dari aku. Aku sungguh tak faham.


Kata Mama, aku kena makan lebih. Makan makanan yang berkhasiat. Aku kurus sangat. Ketika aku baca ayat Mama yang itu, spontan aku bangun dan berdiri di depan cermin besar di depan aku ini. Aku belek-belek diri sendiri. Hmmm... betullah, aku kurus. Bukan sahaja kurus, tetapi aku dikelaskan sebagai bersaiz XS. 


Di dalam kelas, memang akulah yang paling kecil lagi kurus. Walaupun begitu, ramai yang kata aku comel. Diulangi sekali lagi, comel! C-O-M-E-L. Aku akur dan menerima  tuduhan yang dilemparkan padaku itu dengan lapang dada. Ya, ya... aku tahu sesiapa yang membaca entri ini mungkin terasa ingin termuntah serta-merta. Ada aku kisah? 


Berbalik kepada perihal kekurusan aku itu tadi, disebabkan saiz jugalah setiap kali perbarisan, pasti aku berada paling hadapan sekali. Di kelas pun tempat dudukku paling depan juga. Pernah sekali aku sengaja menempatkan diri di bahagian tengah kelas. Namun setiap kali ingin menyalin nota di papan hitam, aku terpaksa berdiri. Kalau aku menulis sambil duduk, memang hampir panjanglah leher aku terjengah-jengah setiap masa. Maklumlah, kepala rakan-rakan menjadi penghalang pandangan aku. Takkan aku mahu cantas pula?


Jika dibandingkan aku dengan Nina, rakan aku yang paling awal datang bulan itu, memang macam emak dengan anak. Aku terfikir-fikir, apakah disebabkan saiz, aku jadi lambat datang bulan? Ketika itu terus sahaja aku duduk semula di depan komputer riba dan gigihkan diri menyambung baca emel Mama lagi.


Kata Mama, orang yang kekurangan gizi pun boleh menyebabkan lambat datang bulan. Yalah, kalau kurang gizi tentulah sistem badan lambat berkembang. Jadi sebab itulah Mama nasihatkan aku supaya makan makanan yang berkhasiat. Aku fikir dan ingat-ingat semula apa yang aku makan selama ini sehingga membuatkan tumbesaran aku agak terganggu tanpa aku sendiri sedari.  


Seingat aku, semua makanan yang halal, tolak batu dan kayu aku belasah sahaja. Memang semua makanan aku belasah sahaja, namun aku jarang mampu menghabiskan makanan yang terhidang dengan jayanya. Mahu habiskan sepinggan nasi pun aku terkulat-kulat. Agaknya sebab itulah aku jadi kurus. Kalau begitu aku perlu ikhtiar supaya berat badan aku bertambah. 


Aku mesti fikirkan caranya!


Okey, mahu berkisah mengenai Rini yang tiba-tiba menjadi pendiam itu pula. Siang tadi aku berSkype dan berYM dengan Red Suzie, Anna dan Nina. Mereka bertiga memberi satu tugasan penting kepada aku. Ah, aku sendiri tiada kerajinan melaksanakan tugasan itu. 


Pada mulanya memang aku menolak, tetapi kemudiannya mereka pula bertolak-tolak sesama sendiri siapa yang lebih layak selain aku. Akhirnya daripada bertolak-tolakan, kami hampir bergaduh. Ini tidak boleh jadi!


Sebelum berlaku perpecahan dalam kumpulan kami lima sekawan ini, aku cepat-cepat menyetujui tugasan itu. Aku sayang persahabatan kami. Bagi aku, sahabat itu amat berharga macam sebatang gigi. Apa? Gigi berharga? Ramai yang tidak sedar betapa berharga dan bergunanya gigi bagi setiap orang. Gigi kekal tidak akan tumbuh lagi apabila patah. Apatah lagi gigi hadapan, mahu senyum pun malu. Seandainya senyum, tentu terserlah kecacatan pada senyuman itu. Kalau makan, tentu kunyahan tidak sempurna. Aktiviti makan pun tidak seronok. Sekiranya pasang gigi palsu, keselesaannya tentu tidak serupa dengan gigi asal yang sudah hilang itu. Hah, sekarang faham betapa berharganya gigi? Begitulah juga dengan sahabat. Tanpa sahabat, maka hilanglah kemanisan hidup ini.


Maka aku dengan moto ‘sedia berbakti demi kawan-kawan’, bersedia menggalas tanggungjawab itu.


Esok aku ceritakan. Apa? Mahu cerita sekarang? Helo, sabarlah sedikit. Selepas tugasan selesailah baru aku kongsikan. Wah, ayat macam ramai sangatlah pembaca blog ini. Padahal hanya aku seorang yang masuk blog ini. Huhu. Baiklah, nanti aku melompat-lompat ke blog-blog orang lain. Ermmm, yang pasti blog remaja perempuan jugalah ya. Mungkin mereka boleh kongsi pengalaman dengan aku. 


Namun seandainya ada pembaca lelaki masuk blog ini pun aku tidak kisah sangat. Cuma aku harap mereka tidak kenal aku, dan aku tidak kenal mereka. Malu ah! Ngeee....

No comments:

Post a Comment