Friday, January 13, 2012

Cikgu Paling Mantap! Bab 1 (Part 1)

“Aduh! Aduh!” 

Cikgu Lias dan Cikgu Yani seia sekata memandang ke arah pintu bilik guru. Seorang wanita muda bermuka bulat, berkaca mata gaya old school terkocoh-kocoh masuk. Tangan montoknya begitu giat memicit-micit dahi. Aksinya yang terkocoh-kocoh berjalan itu menyebabkan timbunan lemak yang terkumpul di bawah lapisan kulit perutnya beralun-alun. Turut sama beralun-alun mengikut rentak jalannya ialah ‘bahagian tambahan’ di bawah lengannya. Nampak terbuai-buai dan melambai-lambai dengan mesra pula gayanya.

“Kenapa?” Cikgu Lias terkerut-kerut kening.

“Hmmm... fenomena biasa apabila keluar daripada kelas Dua Biru,” gumam Cikgu Yani sambil kepalanya spontan tergeleng-geleng. 

Cepat-cepat wanita itu menghenyakkan duduknya tanpa bersopan-santun pada kerusinya. Cikgu Lias dan Cikgu Yani seia dan sekata memejamkan mata rapat-rapat. Kengerian tiba-tiba berbondong-bondong datang apabila melihat wanita yang tidak ubah seperti bebola daging gergasi yang dibaluti lelemak tepu itu duduk. Bagaimana agaknya sekiranya kerusi itu tidak berdaya menahan berat tuan punya badan? Harus terjadi sesuatu yang lebih menggemparkan bilik guru pula nanti.

“Err... Cikgu Fea mahu ubat tahan sakit atau ubat sakit kepala?” Sebaik sahaja mencelikkan biji mata, Cikgu Lias pantas menawarkan bantuan.

“Terima kasih.” Cikgu Fea, makhluk seperti bebola daging gergasi berbalut lelemak tepu tadi menolak pelawaan tulus ikhlas itu. Dalam masa yang sama dia menarik laci dan mengeluarkan ubatnya sendiri. 

“Ubat darah tinggi.” Cikgu Fea mengeluarkan kenyataan tanpa disoal.

“Kasihan... muda-muda sudah kena darah tinggi.” Cikgu Lias dan Cikgu Yani serentak tergeleng-geleng. Ah, nampaknya mereka berdua sungguh serasi dan seia sekata sejak awal lagi.

“Saya sudah habis ikhtiar bagaimana hendak menangani pelajar Dua Biru,” kata Cikgu Fea selepas dua biji pil berjaya masuk ke kerongkongnya. Ikutkan hati, mahu sahaja dia telan kesemua pil itu. Nauzubillah....

Apabila Cikgu Fea sudah mula membuka cerita, secara serentak tangan cikgu-cikgu yang lincah bekerja tadi terhenti secara drastik. Mata kedua-dua guru itu terfokus tepat kepada muka bulat lagi temban milik Cikgu Fea.
“Begini kisahnya....”

*          *          *

“Markah Melah Melia paling tinggi sekali.” Tangan montel Cikgu Fea menghulur kertas ujian yang siap bertanda itu kepada Melah Melia. Namun muka comel Melah Melia yang berkaca mata setebal botol sos cili itu tiada selera dia hendak pandang. “Enam puluh peratus!”

Drastik muka comel Melah Melia yang tadinya menggayakan senyuman sehabis lebar, kini mula menonjolkan wajah kurang menawan sebaik Cikgu Fea menyelesaikan ayat terakhirnya. Melah Melia mula menunduk. Suara Cikgu Fea yang menggetarkan gegendang telinganya tadi sudah mula bergema-gema dan akhirnya langsung dia tidak dengar. Pendengarannya seolah-olah hilang pula. Kilang air matanya aktif mendadak secara auto.

“Yang lain... semuanya bungkus!” Suara Cikgu Fea yang nyaring itu langsung tidak menarik perhatian pelajar Dua Biru. Masing-masing membuat aktiviti sendiri. Cikgu Fea yang berasa sakit hati itu terpaksa meneruskan aktiviti bercakap-cakap seorang diri. Dia fikir dinding dan kerusi meja di kelas itu sahaja menjadi pendengar setianya. 

Rinn yang duduk bersebelahan dengan Rezza di tepi tingkap, sibuk membelek-belek muka pada cermin kecil. “Eee... jerawat!” gumamnya dengan bibir memanjang 0.5 inci ke hadapan. “Rezza, jerawat saya comel tak?” soalnya mengada-ada. 

Rezza buat tidak endah dan terus tenggelam dalam dunianya sendiri. Mukanya tetap dihadapkan ke luar tingkap tanpa jemu. Hatinya tidak lagi berada di kelas ini.

Do, Re dan Mi pula tidak sudah-sudah menguap melebarkan bukaan mulut masing-masing. Sekali pandang mereka bertiga seperti sedang mengadakan pertandingan mulut paling luas pula.
Rayyan dan Naznin pula tidak habis-habis mengatur strategi bagaimana dapat menewaskan sesama sendiri dalam apa jua bidang. Fikiran mereka sentiasa berputar ligat hendak saling kena-mengenakan sesama sendiri. 

“Hei!” Vokal Naznin yang nyaring itu tiba-tiba terbabas keluar dari peti suaranya apabila sebatang kapur kontot dilontar tepat oleh Rayyan pada kepalanya. Kegeraman Rayyan secara tiba-tiba menjadi tidak terkawal apabila terkenangkan segala macam gelagat gedik melampau musuhnya itu.

Cikgu Fea buat-buat tidak dengar walaupun jantungnya nyaris gugur akibat  terperanjat yang bukan sedikit. Dia terus membacakan markah-markah yang ditanda pada setiap kertas ujian itu, sambil begitu rajin dan dedikasi menyerahkan kembali kepada tuan punya kertas.

Tidak lama kemudian dua buah roket kertas terbang bersimpang-siur di depan batang hidung Cikgu Fea tanpa diketahui siapa tuannya. Namun sekali lagi Cikgu Fea buat-buat tidak nampak walaupun paras takat didih darahnya hampir mencecah ke paras berjaga-jaga.

Tidak semena-mena seekor lipas yang entah dari mana tersesat di bawah meja Mi. Kelopak mata Mi yang tadinya rasa berat seperti ditindih batu-bata, terus sahaja segar-bugar. Pantas dicekupnya lipas yang kasihan itu lalu dicampaknya ke arah Mirza yang duduk selang semeja di hadapannya. 

Melah Melia yang begitu gigih menghasilkan air mata disebabkan prestasi ujian bagi mata pelajaran Cikgu Fea yang mendukacitakan itu, mula menggosok-gosok mata. Tidak lain dan tidak bukan, disebabkan terdapat bayangan objek hitam kecil melekat pada lengan baju Mirza yang duduk di sebelahnya. Cermin mata tebalnya yang dibuka ketika menggosok-gosok mata tadi, cepat-cepat dikenakan semula demi pandangan yang lebih jelas. 

“Err... lipas.” Lemah-lembut sungguh nada suara Melah Melia. Tenang betul dia walaupun lipas itu mula bergerak-gerak di lengan Mirza. Mungkin lipas yang tidak bersalah itu berasa pening akibat dicekup oleh Mi tadi.

“Hah?” Mirza menonjolkan wajah tercengang-cengang. Sah-sah dia tidak sedar ada seekor lipas pening melekat pada lengan bajunya. Cikgu Fea pula masih meneruskan sikap dedikasinya mengagihkan semula kertas ujian kepada para pelajarnya.

“Lipas di lengan baju awak.” Melah Melia sudah menghentikan aktiviti pembaziran air mata, sambil bibirnya memuncung ke arah lipas yang malang itu.

“Hah, lipas?” Mirza mula menonjolkan kekalutannya. “Lipas! Lipas!” Keadaan menjadi gempar apabila Mirza mula bangun sambil terlompat-lompat kegelian dan begitu giat mengibas-ngibas lipas di lengannya. 

“Eee....” Rinn sudah melompat di atas kerusi. Kebimbangannya terserlah. Risau sekiranya lipas itu terbang ke arahnya pula. Rezza hanya menjeling sekali lalu sebelum memandang semula ke luar.
Bagaikan tahu-tahu sahaja cerita ini hendak dipanjang-panjangkan lagi, lipas yang malang itu terpelanting ke leher Cikgu Fea yang berdiri lima kaki jaraknya daripada Mirza. 

“Cikgu, lipas!” Jeritan Naznin terlompat melepasi bibir sambil matanya terbuntang dengan kebesaran maksima. Jarinya lurus menuding ke arah Cikgu Fea.

“Hah? Mana? Mana?” Cikgu Fea mula menyerlahkan kekalutan dan rasa geli-geleman.
“Masuk ke dalam rambut cikgu!” Naznin terjerit-jerit.

Habis gempar kelas itu apabila Cikgu Fea yang nampak seperti bebola daging gergasi bersalut lelemak tepu itu terkinja-kinja kegelian. Bahagian-bahagian tambahan pada tubuhnya ikut beralun-alun dengan kurang gemalai mengikut gerakan tubuhnya. Dia mengibas-ngibas dan menggeleng-geleng kepala dalam kadar yang pantas. Harapannya cuma satu, mahu lipas yang pening itu mengeluarkan diri. Malangnya, lipas pening itu ada kemungkinan bertambah pening apabila gelengan kepala Cikgu Fea menjadi semakin tidak terkawal. Ia juga dikhuatiri tersesat di celah-celah rambut kerinting Cikgu Fea yang kembang itu. Oh, malangnya nasib lipas itu!

Tanpa sedar, Cikgu Fea melakukan tawaf beberapa pusingan di dalam kelas Dua Biru sambil meneruskan kegiatan menggeleng-gelengkan kepala. Mirza masih tergigil-gigil pada koordinatnya. Rasa geli-geleman masih tertinggal pada dirinya. Melah Melia pula menekup muka akibat tidak tergamak menyaksikan aktiviti tawaf yang dilakukan Cikgu Fea. 

“Oh, tragis!” Rinn menekup mulutnya seraya menggeleng-geleng tidak percaya. Sungguh tidak seronok melihat Cikgu Fea berlari-lari begitu. Sumpah!

“Cikgu pergi dewan. Mak Cik Leha sedang vakum bilik mesyuarat.” Tiba-tiba Rayyan datang dengan idea gilanya. 

“Hah? Vakum?” Cikgu Fea masih lagi mengibas-ngibas rambutnya. 

“Suruh vakum lipas yang menyorok dalam rambut cikgu!” Rayyan melaung kuat dengan harapan Cikgu Fea mendengar. Dalam keadaan kalut begitu, ada harapan Cikgu Fea tidak dapat menumpukan perhatian kerana fokus mindanya ketika itu hanyalah pada kegelian yang dialaminya. 

Tanpa melengahkan masa walau sedetik, Cikgu Fea berlari keluar menuju ke bilik mesyuarat yang setentang dengan kelas mereka. Sebaik sahaja Cikgu Fea keluar dari kelas Dua Biru, kesemua pelajar kelas Dua Biru menarik nafas lega. 

“Mak Cik Leha! Tolong! Tolong!” 

“Mengapa?” Mak Cik Leha, tukang cuci sekolah itu dilanda wabak terperanjat apabila tiba-tiba diterkam oleh Cikgu Fea tanpa bersopan-santun. 

“Tolong vakum! Tolong! Cepat! Cepat!” gesa Cikgu Fea. Mukanya masih menonjolkan wabak cemas yang masih menggebu-gebu. Dia terloncat-loncat di depan Mak Cik Leha tanpa segan silu. Tangannya begitu giat mengibas-ngibas kepalanya.

“Hah?” Mak Cik Leha tercengang-cengang. Akalnya masih belum berjaya menangkap apa yang diingini oleh Cikgu Fea. “Apa dia?” soalnya dengan muka berkerut, menambahkan lagi kedut-kedut sedia ada pada mukanya.

“Lipas! Lipas!” Kali ini Cikgu Fea terjerit-jerit. “Dalam rambut saya!” Tangannya mengibas-ngibas rambutnya tanpa henti sejak tadi. “Cepat Mak Cik Leha! Cepat!” Cikgu Fea sudah tidak terkawal aksi dan gelagatnya.

Sepantas yang boleh, Mak Cik Leha menghidupkan vakum lalu menghalakan muncung vakum ke kepala Cikgu Fea. Maka bermulalah aktiviti memvakum seluruh kepala Cikgu Fea. 

Selepas selesai, Mak Cik Leha buka tempat simpanan kotoran pada vakum itu. “Hah, ada pun,” katanya sambil menguis seekor lipas yang sudah lembik tidak bermaya. Alangkah kasihan lipas yang tidak berdosa itu.

Cikgu Fea mengusap-usap dadanya yang masih berombak kencang itu beberapa kali. Sah, lipas tersebut berjaya dikeluarkan dari rambutnya.

“Eh, serbuk apa putih-putih ini?” Mak Cik Leha menguis-nguis serbuk berwarna keputih-putihan yang menimbun pada jasad lipas itu. 

“Tentulah habuk pada karpet bilik ini,” balas Cikgu Fea sambil mengawal kembali ritma pernafasannya. 

“Eh, tadi mak cik sudah buang dan bersihkan kantung habuk selepas selesai memvakum bilik ini, iaitu sebelum memvakum kepala cikgu.” Seperti gaya seorang pakar forensik, Mak Cik Leha mencalit sedikit serbuk itu dengan telunjuknya. “Ini macam kelemumur pun ada,” katanya sambil menghidu-hidu sedikit.

“Sah!” Mak Cik Leha tumpukan fokus matanya pada Cikgu Fea. “Memang kelemumur,” katanya dengan keyakinan yang tinggi.

“Aduh! Aduh! Pening! Saya minta diri, terima kasih.” Cikgu Fea bangun dalam kadar yang pantas lalu keluar dari situ sambil memicit-micit kepalanya.

“Ish ish ish! Patutlah lipas ini pengsan sampai tidak jumpa jalan keluar.” Mak Cik Leha menggumam-gumam sambil memandang simpati pada lipas yang tersebut di atas.

No comments:

Post a Comment