Monolog Jah
Ikan-ikan
pemberian Acik Utoh aku keluarkan dari plastik. Semuanya dah siap bersiang.
Acik Utoh memang rajin. Dia menjala ikan, kemudian dia siangkan terus.
Kadang-kadang dia sendiri yang buat kerja-kerja menjeruk ikan itu untuk
dijadikan pekasam. Itu pun kalau tangkapannya banyak. Acik Utoh memang tak lupa
kegemaran aku. Ikan puyu. Aku rasa, habis segala puyu yang ditangkapnya tadi diberikan
pada aku. Bibirku melebar tahap maksima. Ikan puyu masak lemak cili padi dengan
nasi panas, lawankan ulam pegaga dan sambal kelapa. Perghhh, nikmat dunia! Jiwa
boleh terawang-awang sampai langit ketujuh. Mentua lalu pun tak sedar.
Bercakap soal
mentua. Ahhh... aku rasa kena bahan saja di rumah Acik Utoh hari ini. Macam
ternampak-nampak saja paparan-paparan ketika aku berada di rumah mereka tadi.
Dan aku pun terhanyut dengan gambaran-gambaran yang terjadi setengah jam yang
lalu.
“Apa kau bawa
tu, Jah?” soal Kak Soya sebaik tapak kaki ini menjejak lantai rumah Acik Inab
tadi. Tidak syak lagi biji matanya terfokus tepat ke arah bekas yang aku bawa.
“Karipap.” Aku
sedekahkan senyuman pada Kak Soya dan Acik Inab. Gigih sangat nampaknya dua
beranak itu menyagat ubi kayu. “Yang ini belum digoreng,” kataku lagi sambil
menyerahkan bekas makanan yang aku bawa kepada Kak Soya.
“Nak buat
kerepek?” soalku. Macam tak biasa pula. Kalau nampak Acik Inab menyagat ubi,
dah sah-sah nak buat kerepek.
“Ha’ah.” Acik
Inab menjawab ringkas. Tanpa segan silu, aku mendudukkan diri di depan Kak Soya
yang menolong Acik Inab meleraikan kepingan-kepingan nipis ubi yang disagat di
atas hamparan surat khabar.
“Jah, kamu tahu
tak.” Acik Inab buat mukadimah.
“Tak.”
Sengihanku terserlah. Tawa Kak Soya terhasil serta-merta.
“Ini acik nak
beritahu kamulah ni.” Acik Inab menjeling geram.
“Acik Inab ni
buat saspenlah. Cakaplah,” kataku sambil membantu Kak Soya meleraikan kepingan
ubi.
“Ada orang
berkenan pada kamu.” Senyum Acik Inab menyungging pada bibir. Spontan aku mencebir.
“Merepek!”
sanggahku.
“Kalau betul,
macam mana?” Kak Soya menggiat.
“Taklah. Merepek!”
Bibirku tercebir.
“Betul, Jah.”
Dengan beria-ia Acik Inab mengiakan kata-kata Kak Soya. Spontan telunjuk Acik
Inab mencucuk pinggang aku. Secara spontan juga terhasilnya gelombang bunyi
berskala besar dari mulut aku. Terperanjat.
“Jah,
cepat-cepatlah belajar apa yang patut ya.” Keterujaan Kak Soya dalam hal ehwal
mengusik makin menjadi-jadi.
“Acik, nanti
Jah nak sikit kerepek ni ya?” Dengan muka tebal tiga tingkat, aku ubah topik.
Walhal hakikat sebenarnya, memang sikit pun perasaan aku tak terjejas digiat
macam tu oleh Acik Inab dan Kak Soya. Sumpah! Sikit pun tak!
“Nak lari tajuk
ya?” Kak Soya tak habis-habis mengusik. Dia ingat aku percaya apa yang dia dan
Acik Inab cakap? Tidak sama sekali!
“Jah nak yang
sira pedas ya. Kat KL mana ada kerepek ubi sira pedas yang sedap macam Acik Inab
buat.” Terus tercantas ilham Kak Soya dan Acik Inab untuk membahan aku sekali
lagi.
“Kamu kena
belajar buat kerepek pedas ni, Jah. Orang tu pun suka sangat kerepek pedas ni.
Semalam dia angkut sebalang kerepek dari sini. Sebab itulah acik buat lagi hari
ini,” kata Acik Inab. Aduhai, tak habis-habis lagi rupanya. Aku ingat misi
mencantas idea mereka dan menghentikan sesi mengusik aku sudah tamat.
Rupa-rupanya masih bersambung!
“Handsome tak orang tu, mak?” Sekali lagi
Kak Soya mengutarakan soalan. Sajalah tu, nak membahan aku dengan sesedap rasa.
“Eh, mestilah handsome. Kerja pun bagus. Jurutera
minyak. Kadang-kadang kena duduk kat pelantar tengah laut tu. Tak apalah, duduk
tengah laut pun tapi hasilnya lumayan.” Dengan penuh bersemangat Acik Inab
berkisah.
“Wah, untunglah
Jah nanti. Bahagia hidup. Sama-sama suka kerepek ubi pedas pulak tu. Memang
sepadanlah.” Amboi. Tak menahan-nahan Kak Soya punya ilham untuk menggiat aku
habis-habisan.
Tetiba mukaku
rasa panas semacam. Tidak syak lagi! Sedang berlaku fenomena merah padam pada
pipiku. Tetiba juga diri ini mengalami tindakan luar kawal; bangun lalu keluar
dari situ untuk bertemu Od di luar rumah.
“Malulah tu.”
Mengekek-ngekek Kak Soya sambil meneruskan kerja-kerjanya.
Di luar, aku
duduk menghadap Od yang membela-bela motorsikal Acik Utoh. Terasa malas nak
memulakan sesi bual bicara dengan Od. Fikiran masih terganggu dengan usikan
Acik Inab dan Kak Soya. Namun aku mengambil keputusan untuk tak percaya pada
isu itu. Aku yakin dengan sepenuh hati, dua beranak itu dengan sengaja membahan
aku sebagai salah satu aktiviti hiburan mereka hari itu.
Apabila
memandang Od waktu itu, tetiba aku teringat perihal coklat misteri yang tak
sempat aku ceritakan sampai tamat kepada Od dulu. Namun apabila memikirkan
bagaimana reaksi Od ketika itu, aku jadi sakit hati. Apabila memikirkan
kecilnya hati aku atas sikap Od yang melupakan aku beberapa minggu sudah,
membuatkan aku tawar hati untuk berkongsi cerita sekali lagi.
Akhirnya aku
menopang dagu sambil memandang Acik Utoh dan Abang Baki yang
berlenggang-lenggang balik dari menjala. Tak lama Od menegur aku. Mamat ni mana
boleh nampak aku diam lama-lama. Maka berlakulah dialog aku dan Od pada hari
itu. Dan tanpa sedar, kisah mengenai coklat misteri itu akhirnya terpacul juga
dari mulut ini. Kononnya malas dah nak meluahkan perasaan seram sejuk pada Od.
Namun semuanya berakhir bila Od mengajak aku menjalankan sesi dialog pada hari
nan bahagia ini.
Namun bual
bicara bersama Od itu akhirnya mengakibatkan aku sentap tak ingat. Rasa
tercalar egoku apabila Od kata, ada juga yang minat aku. Okey, aku tak selawa
Julie dia tu. Maka tak adalah yang minat pada aku. Dengan ini, coklat misteri
yang tetiba mendarat atas meja aku itu hanyalah dongeng rekaan aku semata-mata,
atau paling tidak pun adalah satu salah sangka, iaitu pemberian rakan pejabat
yang malu untuk mengaku dia yang memberi coklat mahal tersebut. Inilah layanan
‘istimewa’ dari sabahat sejati untuk seorang aku yang sedang memerlukan khidmat
nasihat ini? Fine!
Kebetulan Acik
Utoh lambai aku ketika itu. Tanpa membazirkan masa, terus aku bangun
meninggalkan Od.
Siapa tak suka
kalau disuakan dengan ikan darat segar, siap disiang lagi? Rasa nak buat lompat
bintang, tapi terpaksa ditahan demi menjaga kesopanan dan kesusilaan diri ini.
Seganas-ganas aku pun, masih tahu tatasusila. Acik Utoh dan Acik Inab memang
tak lokek. Ada rezeki lebih, tak kisah mengongsi dengan jiran tetangga. Keadaan
dan sikap yang aku amat dambakan di Kuala Lumpur, tempat aku bermastautin kini.
“Jah, belajar
masak ikan darat sedap-sedap ya. Nanti acik pinangkan Jah untuk anak saudara
acik. Dia suka makan ikan darat. Serupa macam kamu.” Ayat-ayat yang terhasil
daripada mulut Acik Utoh ada persamaan dengan ayat yang terhasil oleh mulut
Acik Inab. Ish, mereka suami isteri ni macam sengaja buat pakatan membahan aku
saja hari ini. Dialog pun hampir sama, cuma situasi saja berbeza. Namun aku
sedar waktu itu haba mula meningkat secara mendadak ke muka aku. Spontan aku
minta diri daripada Acik Utoh dengan alasan hari dah tinggi.
Od yang
memanggil-manggil pun malas nak kulayan. Biar rasakan dia. Sentapku tadi masih
belum reda. Ditambah lagi dengan usikan Acik Utoh, lagilah aku malas
berlama-lama di rumah itu. Baik aku balik dengan beg plastik penuh ikan, masak
sedap-sedap sebagai ubat sentap aku pada Od tadi. Huh!
Secara serius,
aku tak ambil serius pada gurauan serius Acik Inab, Acik Utoh dan Kak Soya.
Yang aku ambil serius sekarang adalah rasa sentap aku pada reaksi Od atas
masalah serius yang aku utarakan padanya tadi. Err... faham tak? Buat-buat
faham sajalah. Dan sekarang, aku masih tersangat sentap. Serius, aku sentap!
Sentap yang amat serius! Huh!
Monolog Od
Sambil
mengunyah karipap yang Jah beri sebelum balik ke KL tadi, aku berSkype
dengan Julie. Rindu wooo pada Julie. Sebelum berkenalan mesra dengan teknologi
Internet dulu, aku agak hairan dengan mana-mana individu yang menjalinkan
hubungan khususnya hubungan cinta di alam maya.
Waktu itu aku
menuduh bahawa sesungguhnya hubungan cinta dalam talian adalah karut-marut!
Boleh ke jatuh cinta tanpa bersemuka, tanpa pernah bertemu di dunia realiti,
malah tanpa pernah mendengar suara pun? Karut amat bagi aku. Tahap kehairanan
aku berapa sama tinggi dengan bintang-bintang di langit, macam mana orang boleh
bercinta secara maya hanya melalui chatting,
hanya melalui ayat-ayat yang terpapar pada skrin.
Sekarang
apabila dah terlalu karib dengan Internet, barulah aku tahu penangannya. Apa?
Tak takut kena tipu? Takut juga. Namun setakat ini belum pernah lagi aku
terpedaya dengan ayat-ayat manis wanita-wanita luar negara, yang mendakwa
mereka adalah waris aristokrat mana entah yang tetiba gila tak memasal nak
memindahkan duit sekontena pada aku. Belum pernah lagi aku terjebak dan
bertukar menjadi ‘keldai’ yang mengangkut marijuana keluar dari Malaysia nan
permai ini.
Sekarang
barulah aku mengakui penangan ayat-ayat manis dari Internet mampu memerangkap
ramai mangsa ke arah sesuatu yang tidak sihat, tidak selamat dan menggugat
kebahagiaan umat sejagat.
Mungkin mudah
saja berkata, “Hei, kalau ya pun agak-agaklah. Takkan mudah sangat orang nak
bagi kau tiket melancong secara percuma, dengan duit saku ribu-riban segala.”
Atau begini,
“Takkanlah senang-senang orang nak pindahkan kekayaan dia pada kau? Hilang akal
ke apa?”
Juga begini
mungkin, “Takkanlah dengan buat penghantaran beg ke satu tempat, kau dibayar
harga sebiji banglo? Agak-agaklah!”
Hakikatnya,
perasaan yang sudah dibunga-bungakan dengan ayat manis sampai terhasilnya emosi
asyik mahsyuk, otak pun bertukar jadi kelabu asap, krem secara tiba-tiba. Semua
keraguan hilang sekelip mata dek panah arjuna. Nampak tak permainannya? Nampak?
Gambar profile ‘kawan’ sebelah sana muka Kaukasia. Hakikatnya makhluk tersebut
kulitnya iras-iras Dayang Senandung.
Hei, tolong
jangan menuduh aku kasanova Internet pula. Ya, aku mengaku hampir semua teman
tapi mesraku dulu dikenali melalui Internet, namun itu bukan bermakna aku
seorang kasanova. Aku berkawan dengan ikhlas, begitu juga dengan mereka. Kami
jujur antara satu sama lain. Memasing jujur mendedahkan identiti. Entahlah,
mungkin aku bernasib baik kerana tak pernah terjebak dalam mana-mana penipuan.
Mungkin juga disebabkan aku mengikut gerak hati. Mat Salleh kata instinct. Woohoo, ada gaya-gaya manusia
psikik pula. Malangnya jodoh aku dengan mereka tak pernah sampai. Mungkin
kerana tiada chemistry menyebabkan
kami selalu berselisih pendapat, atau mungkin lama-kelamaan menjadi hambar lalu
terus mengjauhkan diri tanpa ada sebarang kata putus. Kata orang, faham-faham
sendirilah.
Dalam
menjalinkan sebarang hubungan di alam maya, sama ada sebagai rakan, perniagaan,
cinta, kerja dan lain-lain, ia bergantung sejauh mana tahap kepekaan kita pada
‘rakan maya’ itu. Takkanlah kalau dia kata nak bersedekah jariah duit sekontena
kepada kita, maka kita terus percaya? Hilang akal ke apa? Takkanlah tetiba ada
orang yang terlalu murah hati beri tiket melancong secara percuma ke luar
negara? Kita tak rasa peliknya? Apa orang tu tidur atas duit ke sampai begitu
dermawan bersedekah serba-serbi untuk kita yang tak dikenali ini? Oh,
tolonglah!
Ayat-ayat manis
tanpa wajah, amat bahaya. Lainlah aku. Sepanjang aku berkenalan dengan
gadis-gadis di Internet, tak pernah sekalipun aku mengarang ayat-ayat manis
sebagai senjata untuk menggoda. Niat asal adalah berkawan. Cerita tentang
minat, tentang kerja, tentang kawan-kawan, err... juga tentang politik
kadang-kadang. Lontarkan persoalan-persolan yang dapat memancing ‘rakan regu di
sebelah sana’ melontarkan fikiran dan pendapat. Beri soalan-soalan cepu emas.
Dari situ pun kita boleh menilai siapa teman chatting kita. Weh, jangan main redah!
Namun antara
aku dengan Julie, setakat ini berjalan lancar. Dalam banyak-banyak teman tapi
mesra, dengan Julie paling menjadi. Dengan Julie tingkat hubungan itu naik ke
peringkat seterusnya tetapi masih dalam usaha mengenali hati budi masing-masing.
Ececeh!
Julie : Buat
apa tu?
Aku : Makan
karipap.
Julie : Beli?
Aku : Tak. Jah
buat.
Julie : Jah
sihat?
Aku : Sihat.
Cuma hari ni dia sentap sikit dengan saya.
Tengok! Jujur
tak aku? Semua kronologi tentang Jah pun aku mahu cerita pada Julie. Pendek
kata, dia ‘kenal’ Jah melalui aku. Julie juga begitu. Gaduh dengan kawan di
tempat kerja pun dia cerita juga pada aku. Ada Mat Bangla mengurat dia pun, dia
cerita juga pada aku.
Julie : Kenapa?
Aku : Dia
cerita kat saya, yang dia takut sebab dapat coklat misteri di pejabat. Dua kali
dia dapat. Tapi saya usik dia. Saya kata, ada juga yang minat dia ya.
Julie : Ooo...
patutlah dia sentap. Awak macam menghina dia. Seolah-olah dia tak laku.
Aku : Wah, awak
pun sebelahkan dia?
Julie : Dah
tentulah. Saya perempuan. Malu pun ada kalau lelaki cakap macam tu. Terhina
tau.
Aku : Saya nak
bergurau saja. Takat dengan Jah, saya memang gurau kasar. Semua lepas, tak ada
tapis-tapis.
Julie : Bukan
semua benda boleh dibuat gurau.
Aku : Yalah.
Saya silap. Tapi sampai ke sudah dia sentap. Kemudian dia lari balik. Tak
sempat saya nak pujuk.
Julie : Esok awak
kena pujuk dia.
Aku : Esok kena
belanja dia cendol depan pejabat. Cendol pulut kat situ sedap. Teringin sangat
nak belanja awak makan cendol kat situ.
Julie :
InsyaAllah, masanya akan tiba tak lama lagi.
Aku : Tak lama
lagi? Bila tu?
Aku rasa macam
mahu lompat bintang. Dalam tempoh
sebulan dua lagi, aku yakin mampu merembat kereta terpakai yang aku intai
dengan Jah dulu. Dan aku mahu Julie jadi orang pertama menaikinya sebagai tanda
merasmikan kereta pertamaku. Weeheee!
Julie : Dua
tiga bulan lagi macam mana? Dah sedia nak bersemuka dengan saya yang garang ni?
Aku :Ya,
bersedia. Bersedia nak berdepan dengan Cik Julie yang garang macam harimau
miau-miau. Nak kongsi gambar kenduri di rumah Jah tak? Awak boleh tengok
suasana kenduri dan budaya di kampung saya.
Julie :
Mestilah nak!
Siapa tak
bahagia kalau macam ni? Dia memahami, terbuka, tak cemburu. Aku agak yakin
untuk bersemuka dengan Julie. Dan pastinya aku perlu bersedia demi
menyempurnakan saat itu. Tetiba denyut jantungku jadi tak tentu hala. Oh,
Julie!
Monolog Jah
“Assalamualaikum.”
Aku menoleh
apabila ditegur seseorang. Topi keledar aku tanggalkan dari kepala selepas Mr.
Ready ditongkatkan. Aku sedekahkan senyuman pagi buat jejaka itu.
“Waalaikumsalam.”
Aku kemaskan tudung pada cermin sisi Mr. Ready, tanpa segan silu pada Johan,
jejaka yang menegur aku dengan ramahnya itu.
“Dah lawa dah
tu.” Teguran Johan menyebabkan aku tersipu-sipu. Destinasi yang dituju oleh
kaki kami tentulah ke pejabat.
“Deeja...”
Biji mataku
memfokus pandangan pada Johan yang beriringan denganku. Aku jongketkan kening
sekali padanya.
“Aku tanya, kau
tak marah kan?” soal Johan ragu-ragu.
“Tanyalah. Takkan
aku nak marah kau tak memasal pulak.” Ada unsur-unsur saspens di balik
ayat-ayat Johan.
“Kau buat apa
dengan coklat misteri yang kau dapat kali kedua tu? Kali pertama dulu kau bagi
aku dan Lina makan. Kali ni kau buat apa?” soal Johan.
Laaa... apa punya
soalanlah! Buat saspens saja.
“Aku sedekah
pada anak jiran aku. Pahalanya aku hadiahkan pada makhluk yang bermurah hati
bagi coklat tu. Macam mana? Okey tak?” Mukaku serius. Tetiba denyut jantungku
tak keruan ritmanya. Aku yakin sangat individu misteri itu adalah rakan sepejabatku
sendiri. Dan dengan selalunya dia memerhati tanpa pengetahuanku. Dan aku akan
jadi tak tentu hala selagi aku belum tahu siapa si pemberi tersebut. Dan
sehari-harilah juga aku tertekan sebab itu. Arghhh!
“Eh, kau ni!
Lain kali, bagi aku.” Johan mencekak pinggangnya.
“Kau pun
peminat coklat ke?” soalku.
“Ya, aku jadi
minat coklat sebab gadis pujaan hati adalah peminat coklat. Maka aku kena
belajar menyintai coklat sebagaimana dia.” Sengih Johan terhasil setengah.
Kemudian dia menunduk, lalu mengeluarkan karbon dioksida dari lubang hidungnya
secara mendadak.
“Malangnya,
pujaan hati aku tak tau dirinya menjadi pujaan aku.” Sekali lagi sengih separuh
Johan terhasil.
“Ooo, kenapa
tak terus terang saja? Apalah!” Kepalaku tetiba tergeleng dua kali.
“Aku takut dia
menolak. Lagipun, aku dapat rasa diriku ini bukan pilihannya. Aku syak dia ada
pilihan sendiri.” Tiada senyum yang berjaya mekar pada bibir Johan. Malah Johan
sengaja menonjolkan muka sedih yang dibikin-bikin.
“Belum cuba
belum tau. Boleh tahan juga handsome
kau ni. Kulit tanne, mata kuyu,
err... apa lagi eh?” Aku pandang Johan atas bawah, sampai tersegan-segan dia
jadinya. “Ada tahi lalat sebiji kat dagu. Tahi lalat pemanis tu!” usikku lagi.
“Engkau ni,
kalau bab menyakat memang johan.” Bibir Johan tercebir.
“Apa pulak aku
yang johan? Engkaulah Johan. Aku naib johan saja.” Tetiba gelakku terbabas
keluar dari mulut. Namun demi menonjolkan kesopanan dan kesusilaan, dengan
pantasnya aku tekupkan tapak tangan ke mulut. Manalah tahu, ada air liur
terpercik ke muka Johan, mana tak kusorokkan muka malu itu nanti?
“Ingat tau,
kalau kau dapat coklat lagi dan tak berani makan, aku ada.” Johan menepuk-nepuk
dada, lalu tersengih sebelum cepat-cepat memotong aku.
“Joe, aku kenal
tak pujaan kau tu?” laungku demi menyampaikan gelombang bunyi yang aku hasilkan
ke corong telinga Johan. Namun Johan cuma menyerlahkan bibir yang lebar
setengah inci sebagai jawapan.
Sebelum kaki
ini menjejak ke dalam pejabat, aku baca dulu Al-Fatihah, Tiga Qul, dan Ayat
Kursi sebagai pelindung. Hanya pada Allah saja aku berserah. Wahai otak, jangan
kau fikirkan sangat tentang individu yang memberi coklat kepada aku.
No comments:
Post a Comment