Sunday, April 14, 2013

Monolog Jah dan Od (Bab 3)





BAB 3

Monolog Jah.

Kampung Parit Burong sudah pun kutinggalkan semalam. Rutin harian di KL tetap berjalan macam biasa juga hari ini dan hari-hari seterusnya. Bangun tidur-pergi kerja-balik. Bosan, kan? Ya, bosan bagi orang, tapi tidak bagi aku. Hari bekerja adalah bagus menjalani rutin yang sama. Tak ada masa nak berfoya-foya dan menggedik ke sana sini. Baik bersantai-santai dengan seronoknya di rumah, sambil layan anak saudara aku. Tak pun, tolong Kak Lin lipat kain baju yang hari-hari setinggi Banjaran Kilimanjaro itu. Layan cerita Korea ke apa. Tapi tak boleh tinggal, layan Internet sampai ngantuk tiap-tiap malam. Agaknya sebab itu tiada jejaka yang ‘nampak’ aku. Duduk di rumah berhibernasi macam beruang kutub saja.
Dan seperti biasa, duduk saja depan komputer riba, tetiba Od menyapa melalui Skype. Huh, tak boleh nampak aku bersantai-santai sikit, mesti menegur. Apa agaknya masalahnya hari ni? Ada saja masalah dia. Namun sebagai sahabat, aku ikhlaskan saja detik-detik yang berlalu kerana mendengar luahan Mamat seorang ni.

+ Oit, macam mana? Ada mana-mana lubang job untuk aku cuba nasib?
- Waalaikumsalam.
+Assalamualaikum. Saja nak sindirlah tu.
- Tahu pun beri salam. Waalaikumsalam. :P
+ Hehehe.
- Nanti aku emel syarikat-syarikat yang berkenaan. Ada dua tiga kampeni juga yang kawan-kawan aku bagi tadi.
+Yahuuu! Terima kasih, Jah. Terima  kasih. Kaulah sahabat aku dunia akhirat. Sayang kau, Jah!
- Syarikat-syarikat ini setakat yang aku dengar, mereka buat bayaran tepat pada masanya. Kau hantar hari ini, kalau mereka berpuas hati, hujung bulan akan dibayar. Aku dah carikan lubuknya, sekarang pandai-pandailah kau berhubung dan berunding dengan mereka ya.
+Baik Cik Aisyah Khadeeja binti Misron. Hihihi.

Aku percaya pada waktu dan ketika ini, Od sedang mengalami keterujaan tahap kronik. Silap hari bulan boleh pengsan Acik Inab dan Acik Utoh apabila Od menonjolkan aksi-aksinya ketika diserang wabak teruja, lebih-lebih lagi pada malam-malam begini.
Kadang-kadang aku jadi pelik. Mengapa Od masih sanggup mengenepikan prinsipnya yang tidak mahu berbos itu. Walhal dia tahu keadaan sekelilingnya yang masih tak boleh menerima orang yang bekerja dari rumah. Mereka menganggap Od tak ada kerja. Ya, mungkin ada betulnya kerana mereka tidak nampak pun Od memiliki apa-apa yang menjadi idaman seperti rakan-rakan yang bekerja. Tak  keluar rumah, tak sibuk-sibuk beli rumah atau sekurang-kurangnya ada jentera beroda empat. Yang dia ada hanyalah motorsikal kapcai yang diguna pakai sejak zaman universiti lagi. Hah, cuba kira berapa umur motorsikal itu?
Pendek kata Od tidak cemerlang di mata orang-orang kampung, malah di mata Acik Inab dan Acik Utoh, selaku orang tuanya sendiri. Aku tahu, Od sudah kering air liur menjelaskan tentang kerja sebagai freelancer yang dilakukannya. Mereka faham juga, namun adakalanya kefahaman itu hilang apabila nampak anak bujang jiran sekampung balik dengan kereta, dengan bakal menantu, dengan apa-apa gaya yang mengagumkan warga emas Kampung Parit Burong. Kefahaman itu hilang juga apabila Acik Inab berkumpul di mana-mana majlis di kampung.
Macam biasalah, emak bapak kalau berkumpul tentu akan terkeluar juga cerita tentang anak-anak. Anak kau kerja apa Jemah? Gaji anak kau berapa sebulan Wak Jon? Wah, besarnya kereta anak kau ya Cik Ton. Haaa... itulah ayat-ayat lazim yang dikeluarkan dari mulut-mulut mak cik dan pak cik di kampung kami. Fenomena ini bukan saja tertakluk di kampung. Malah mak cik pak cik yang belum pencen di bandar pun mempunyai simptom penyakit membandingkan anak-anak apabila berlonggok secara berjemaah di pejabat. Kan?
Sebagai sahabat a.k.a konsultan peribadi tak rasmi Od, aku sengaja mencucuk dia supaya mencari kerja tetap. Bukan aku tidak suka freelancer. Aku sendiri teridam-idam akan gelaran tersebut. Mana tidaknya, kerja boleh buat sesuka hati. Mahu berfoya-foya seharian pun tiada yang kisah. Tak perlu sibuk nak kejar perakam masa. Boleh bangun dan terbongkang atas katil sesedap rasa, bila-bila masa. Janji kerja siap dan klien puas hati, pasti okey. Ikut suka hatilah nak buat kerja ikut sistem macam mana. Namun apabila memikirkan betapa getirnya menstabilkan kewangan diri, maka aku angkat bendera putih sebelum berjuang.
Pada pendapat aku, barang siapa teringin bergelar freelancer, mestilah memantapkan diri dari segi mental dan fikizal. Mempunyai simpanan duit sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan pertama. Tiga bulan pertama adalah permulaan hidup tanpa gaji. Jadi siapa yang akan diharap untuk beri duit makan minum, bil-bil dan ansuran segala? Oh, hidup ini semuanya perlu duit, melainkan anda hidup secara primitif. Ya, kembali ke zaman silam; tiada telefon, Internet, jalan kaki ke mana-mana ataupun kayuh basikal saja, masak dengan kayu api, petik sayur keliling rumah, kail ikan, ternak ayam-lembu-kambing demi menghasilkan makanan. Boleh?
Saranan di atas adalah tertakluk kepada kaum lelaki secara khusus, dan perempuan secara umum. Bagi yang perempuan, bolehlah buat muka tak malu menadah tangan pada mak bapak atau abang kakak kalau poket dan perut sudah tandus tahap cipan kebulur di padang pasir. Yang lelaki, tak ada muka agaknya kalau menadah tangan meminta sumbangan ikhlas dari ahli keluarga? Oh, kalau ada makhluk berjantina lelaki yang memiliki muka tebal sepuluh inci, perenggan ini juga tidak tertakluk untuk mereka ya.
Bagi lelaki yang sudah mendirikan masjid, lalu mula produktif dalam menghasilkan anak, dan kuantiti anak semakin meningkat dari tahun ke tahun, lagilah... pemantapan tahap tertinggi dari segi kewangan amat dialu-alukan. Ingat, bukan diri sendiri saja yang perlu makan minum segala, tetapi isteri dan anak-anak-anak-anak juga perlu diambil perhatian. Belum lagi cerita tentang mak bapak mertua dan ipar-duai yang sering menganjurkan kenduri-kendara. Adakah anda dengan muka tak malunya hadir ke majlis dengan poket yang hanya tinggal habuk? Semestinya tidak sama sekali!
Entahlah, mungkin ada yang tidak kisahkan hal-hal yang tersebut di atas termasuk Od, hinggakan tak kisah buat dulu, tanggung akibatnya kemudian. Mungkin aku saja yang terlebih mendalam berfikir sampaikan tak sanggup ikut berjuang macam Od. Penakutkah aku? Aku cuma memikirkan untuk tidak menyusahkan orang tua, menadah tangan memohon sumbangan ikhlas dari keluarga ketika penyakit sengkek sampai ke tahap krtitikal. Oh, ini aku cerita sekiranya aku juga bergelar freelancer macam Od. Walaupun aku perempuan, belum berkahwin dan semestinya secara teknikalnya masih dalam tanggungan ibu bapa, tak tergamak rasanya menebalkan muka beberapa inci minta duit daripada mereka.
Namun seperti biasa, Od tetap dengan pendiriannya mahu menjadi bos kepada diri sendiri walaupun penyakit sengkeknya selalu menyerang. Sanggup dia sampai ke tahap bernanah-nanah telinga mendengar bebelan Acik Inab. Dan yang aku pelik, ada hati nak pasang buah hati dalam sengkek-sengkek begitu pun. Kemudian siapa yang tukang dengar segala luahannya kalau bukan aku? Kalaulah aku ini konsultan profesional, sah-sah aku kaya-kaya makan yuran yang dikutip daripada Od.
Aku harap Od berjaya dapat job di syarikat-syarikat yang aku berikan itu padanya. Od, Od.... Aku kagum dengan ketabahan kau, tetapi ketabahan itu akhirnya membuatkan aku jengkel sendiri!


Monolog Od

Terima kasih, Jah! Terima kasih! Pagi ini kerja-kerja yang aku dapat dari syarikat-syarikat yang dikenalkan oleh Jah itu sudah kuhantar dengan jayanya. Daripada tiga syarikat, dua daripadanya mahukan khidmat aku. Yahuuu!
Untuk dua bulan ini kuantiti duit melebihi kuantiti habuk di dalam poketku. Kalau selalu macam ni, bukankah bagus? Semenjak dua tiga menjak ini, aku selalu memikirkan bebelan mak aku. Eh, bukan setakat bebelan mak saja, malah bebelan Jah sekali. Dua perempuan itu nampak macam berpakat-pakat mencucuk dan meracuni  fikiran aku. Emak lebih kepada membebel. Jah pula lebih kepada ‘mencucuk’, atau kadang-kadang desakan. Ah, mereka berdua lebih kurang sama kalau melibatkan bab kerja.
Bapa aku tiada pula nak berkisah sangat soal ini. Baginya, aku sudah bayarkan bil-bil dan belanja rumah, okey sangatlah. Agaknya orang perempuan memang gembira kalau dapat bersenam otak? Suka sangat berfikir secara rumit dan kritikal. Ish...
Ya, mungkin itu sudah sifat semula jadi mereka. Sebab itulah mereka ada banyak idea untuk menganjurkan sesi bebelan tak kira dalam isu apa, dan di mana-mana saja. Oh, letihnya jadi perempuan. Aku bersyukur kerana lahir sebagai lelaki. Macho lagi kacak pulak tu. Ngeee.
Bukan aku yang perasan kacak. Malah aku sendiri tidak sedar kekacakan yang ada pada diri ini. Namun aku tidak tahan apabila selalu dilemparkan dengan dakwaan-dakwaan sebagai lelaki yang agak hot. Mahu tak mahu, aku pasrah saja dengan tuduhan itu. Letih kalau nak ditangkis hari-hari. Terpaksalah aku menerima tuduhan mereka dengan hati yang rela.
Aku fikir tuduhan mereka itu berasas juga. Ada beberapa petanda yang meyakinkan aku berkenaan hal ini. Apabila saja aku letakkan gambar profile yang baru di Facebook atau Twitter, pasti ramai yang tekan ‘suka’. Tak kurang juga yang memberi komen berbaur tuduhan mengenai kekacakan aku. Contohnya; Oh, tukar gaya rambut! Jejaka hot! Orlando Bloom Banjar dan lain-lain komen lagi.
Kata Jah, orang-orang yang memberi komen begitu biasanya golongan People Like Us (PLU). Nauzubillah! Mulut Jah memang tak ada insuran. Sesedap rasa mulut dia saja membuat andaian yang kawan-kawan aku adalah golongan PLU atau panggilan kampungnya, gay. Eleh, sebenarnya dia memang dengki dengan aku. Cettt!
Bab kacak habis sudah kurepekkan. Kembali pada perihal poket tadi. Ah, ayat-ayat yang terhasil dari mulut Jah membuat aku agak tertekan. Sampai bila aku mesti hidup begini? Umur makin meningkat. Saham diri pun makin meningkat. Ehem.... Namun dalam keadaan ekonomi yang kurang stabil ini, macam mana aku nak membeli ‘saham’ yang makin meningkat ni? Umur aku, kurang tiga tahun lagi bakal memasuki tiga siri. Kata-kata Jah memang melekat dalam kepala otak ini, malah sampai membuatkan aku terigau-igau.
Pantang saja diingat, terus Minah itu muncul pada Facebook.

Aku : Assalamualaikum, Jah.
Jah : Waalaikumsalam. Nak apa?
Aku: Amboi!
Jah : Hehehe. Aku dah ada pakwe, Od.
Aku : Kau biar betul? Ada ke yang nak kau?
Jah:  Ewah, kau ingat aku tak ada daya tarikan? Aku sentap ni!
Aku: Yalah! Yalah! Aku percaya.
Jah : Ini gambar dia.

Ketika menunggu gambar dimuat naik, tetiba rentak jantung aku semakin tak tentu hala ritmanya. Macam mana agaknya rupa pakwe Jah? Apa kerjanya? Adakah lebih kacak daripada aku? Suspens!
Selepas selesai gambari itu dimuat naik, aku gosok-gosok mata. Gambar apa ni? Apakah Jah tersilap hantar gambar, atau mata aku yang tersilap, atau Jah buat silap mata?

Aku : Mana?
Jah:  Itulah, gambar yang aku hantar tadi.
Aku : Itu gambar Lambretta. Bukannya manusia!
Jah : Yalah. Itulah dia. Lambretta merah. Aku kasi nama, Mr. Ready. Baru beli tadi. Weehee!
Aku : Kau biar betul, Jah. Mak bapak kau tahu?
Jah : Nak meninggal? Kalau kasi tahu bapak aku, serupa macam bunuh dirilah. Ini rahsia besar. Kak Lin pun aku suruh tutup mulut rapat-rapat. Abang Sham pun tak tahu. Kalau dia tahu, kaulah yang beritahu dia. Siap kau!
Aku : Kau ni tak serik-seriklah. Dah lupa insiden kau jadi Superman versi perempuan dengan terlambungnya motorsikal Sham dalam parit dulu-dulu? 
Jah : Apa kau ingat aku dah bersara dari arena perempitan? Insiden tu tak menggugat aku langsung. Oh, tidak sama sekali!
Aku : Berlagak nak meninggal kau ni.
Jah : Ingat, kalau pecah rahsia ni pada mak, bapak dan Abang Sham, aku cari kau.
Aku : Hek eleh, Minah ni. Yang kau kasi tau aku tadi kenapa? Baik tak payah.
Jah:  Sengaja nak menunjuk-nunjuk pada kau. Hahaha. Walaupun Lambretta aku ni tak selaju mana, dan aku tak mampu merempit macam pelesit, sekurang-kurangnya Mr. Ready jauh lebih baru daripada kapcai EX5 kau tu.
Aku : Wah, sedapnya mengutuk! Tak sedar diri. Aku sentap ni!

Tak sedar diri punya budak! Walhal aku punyalah berdedikasi tengok-tengokkan emak bapaknya di kampung. Siap jadi jurulanskap tak bergaji emaknya lagi. Huh!

Jah : Kerja kau macam mana?
Aku: Beres!
Jah : Od, jangan kasi tau mak bapak aku ya. Aku dah tolong kau, jadi kau simpan rahsia aku.
Aku: Tolong tak ikhlaslah ni? Menyesalnya aku terima job tu.
Jah: Heee....
Aku : Dah alang-alang kau membuat tayangan pakwe, aku pun nak buat tayangan juga. Gambar makwe aku pulak.

Maka dengan penuh kebanggaan dan berlagaknya aku memuat naik gambar Julie. Harap Jah akan melopongkan mulut di balik skrin sebelah sana apabila menyaksikan gambar-gambar Julie, gadis mualaf dari Malaysia Timur.

Jah : Aku rasa nak pengsan, Od. Mak kau pun akan pengsan sama kalau kau tunjuk gambar ni. Urban sangat. Seksi nak meninggal! Ni kali keberapa kau tunjuk gambar perempuan kat aku? Dalam masa lima bulan, dan dekat enam gambar kau tunjuk. Lain-lain perempuan. Aku tak sangka kau se-player ini, Od. Aku malu nak mengaku kawan kaulah.

Aku:  Nak buat macam mana? Susah jadi hot ni. Hahaha.
Jah: Aku nak muntah!
Aku: Sila muntah dengan sopan-santun.
Jah:  Kalau kau tak pasang lukah, takkan ada ikan terperangkap.
Aku: Apa lukah-lukah, ikan-ikan ni? Aku tak mengerti!  Sekarang aku nak kasi tau kau, nama dia Julie. Model sambilan. Lawa, kan?
Jah: Nama pun model. Lawalah.
Aku: Aku tau mesti kau kagum punya! Hehehe.

Senyap.

Aku: Jah! Mana kau pergi? Memerut ke?
Jah: Ada ni.
Aku: Jah, bila kau balik kampung?
Jah: Minggu depan. Kenapa? Nak sambut aku dengan beras kunyit, bunga manggar, carpet merah?
Aku: Tunggu kau jadi Miss World. :P

Senyap.

Jah: Aku nak tidur. Esok kerja.

Pling! Pling! Hilang!

Gambar Julie di skrin komputer riba, aku tatap dengan bibir yang melebar dua inci. “Lawanya Julie ni. Bertuah Hajah Zainab dapat bakal menantu macam ni. Orang kampung tentu melopongkan mulut secara berjemaah,”  bisikku penuh harapan.
Julie akan kubimbing ke jalan yang lurus. Jadi wanita solehah. Soalnya sekarang, mana aku nak korek duit buat hantaran?

No comments:

Post a Comment