Sunday, April 7, 2013

Monolog Jah dan Od (Bab 2)




BAB DUA

Monolog Od

Sampai hati betul mak. Sebiji karipap pun dia tak tinggal untuk aku. Tinggi betul tahap kekecewaan aku petang ni. Pertama, budak Jah kasi ranap aktiviti chatting aku dengan Julie, seorang model sambilan dan pelakon sambilan. Kerja tetapnya, err... belum dapat dipastikan lagi. Baru nak berkenalan. Tengah sedap-sedap pasang lukah, tetiba Jah buat sergahan yang mengakibatkan aku ter-sign off  Sype tadi. Apabila keadaan kembali tenang, aku panggil Julie semula, tapi Julie tak menyahut. Walau apapun, kegeraman aku terbalas akhirnya apabila Jah menjahamankan kerusi antik rumah ini, kemudian tergolek atas lantai dengan penuh bergaya. Padan muka dia! Senak perut aku gelakkan dia tadi.




Kedua, karipap Jah. Seperti yang seisi kampung sedia maklum, aku memang fanatik terhadap karipap. Sebutlah apa-apa jenis karipap pun, tak kira karipap kentang, keledek, ayam, daging, sardin, semuanya mampu aku kasi habis licin pinggan sampai menciut-ciut sekali hadap saja. Sepuluh ketul keripap aku mampu habiskan dalam kadar yang pantas. Hebat kan tahap kefanatikan aku?
“Kau nak ke mana tu?” soal Hajah Zainab binti Abu, iaitu nama penuh mak aku. Jah panggil mak aku, Acik Inab saja. Mak ni, nampak saja aku capai kunci motorsikal.
“Pergi rumah Wak Ron,” jawabku ringkas. Itulah, siapa suruh mak cabar-cabar aku. Pasal karipap, aku memang pantang dicabar. Tadi mak cabar supaya aku pergi makan karipap terus di rumah Jah. Hah, sekarang aku pergi betul-betul. Aku nak makan karipap Jah sampai muntah.
“Eloklah! Asal budak Jah tu balik kampung, kau pun sibuk nak bertunggu tangga kat rumah Wak Ron.” Mak mula mengaktifkan bebelan berbau kata-kata sinis pula.
“Tadi mak juga yang suruh orang makan karipap kat rumah Jah. Sekarang juga orang pergi.” Aku sudah pun menghidupkan enjin motorsikal.
“Muka tak malu!” Mak mencebir dengan niat mengejek. Alah, mak bukannya marah pun. Tidak sama sekali.
Rumah Wak Ron sudah macam rumah aku juga. Dulu masa kecil-kecil, aku selalu tidur rumah Wak Ron, terutamanya kalau Sham, abang Jah yang nombor dua itu balik dari asrama. Umur aku dan Sham berjarak tiga tahun. Ketika Sham sekolah rendah, kami memang rapat. Bila Sham masuk tingkatan satu, dia dapat tawaran ke sekolah berasrama. Selepas itu aku dan Jah pula jadi kawan baik. Abang tak ada, adik pun jadilah.
Sham dan Jah pun tak ada bezanya. Rumah aku sudah jadi macam rumah mereka juga. Rumahmu rumahku, rumahku rumahmu. Kadang-kadang bila Sham balik bercuti, dia pun sibuk juga bertunggu tangga di rumah aku. Bukan setakat bertunggu tangga saja, malah bertunggu kelambu juga. Kadang-kadang Jah merengek melalak-lalak nak ikut Sham bermalam di rumah aku. Hish, tak boleh! Tak boleh! Perempuan mana boleh tidur di rumah lelaki. Apabila kami ejek, tahap kegigihannya dalam menjalani latihan vokal semakin menjadi-jadi. Seluruh kampung boleh dengar dia melalak. Gigih sangat dia!
Selepas tiga minit, tayar motorsikal aku yang cantik berbunga ini pun menjejak di laman rumah Wak Ron. Kulihat Wak Wok gigih mencabut rumput yang menyibuk-nyibuk mahu menyedut zat dari baja di dalam pasu bunganya.
Wak Wok mendongak sebaik sahaja motorsikalku berhenti betul-betul di depannya. Aku menyedekahkan senyuman pada Wak Wok.
“Dari mana?” Wak Wok memulakan sesi berbasa-basi denganku. Beberapa minit berbasa-basi, leherku pun mula memanjang-manjang mencari-cari kelibat Jah. Mana perginya budak ni? Merajuk ke? Bukannya dia tidak cam bunyi motorsikal aku.
Cik Pinky molek-molek saja tersadai di depan tangga. Maknanya makhluk bernama Jah ada di rumah. Geli pulak aku dengan basikal itu. Siap bernama lagi. Pelik aku. Si Jah itu bukanlah jenis gadis yang gedik-meledik, buat-buat comel ke apa. Tapi bila bab warna, merah mudalah juga pilihannya. Sampaikan basikal pun warna merah muda. Jah bukan jenis-jenis yang penuh dengan kesopanan dan kesusilaan, berlemah-lembut segala. Ada kemusykilan yang belum mampu aku rungkai di situ. Ganas, tapi minat pink!
Agaknya disebabkan sifat Jah yang ala-ala tomboi sikit, dan gaya bercakap macam Minah Rock itu yang buat aku serasi bersama. Walaupun masih reti berbaju kurung dan berpakaian macam perempuan-perempuan biasa, tetapi Minah sorang ni gigih sangat mengikut aku dan Sham mendaki dua tiga buah gunung. Waktu kami kecil dulu pun, kalau aku dan Sham panjat pokok, dia pun gigih juga memanjat. Kami main gasing pangkah, dia pun sibuk nak memangkah sama. Sampai ke dewasalah dia begitu. Pernah sekali, motorsikal aku tetiba ghaib. Rupa-rupanya Jah songlap bawa ke pasar malam dengan Kak Soya, kakak aku. Kata Kak Soya, bukan main lagi Jah merempit. Macam pelesit. Pelesit pun tak merempit!
Aku rasa, sekarang Jah dah insaf sejak dia dan motorsikal Sham yang dilenjannya terlambung ke dalam parit. Terus tamat riwayat motorsikal Sham dengan serta-merta. Mujurlah motorsikal Sham yang dilenjan. Kalau motorsikal aku, sampai tujuh keturunanlah akan kutuntut ganti rugi. Peduli apa aku!
“Hah, buat apa datang?”
Tetiba satu vokal yang memang aku sedia kenal melantun nyaring menderu ke corong telinga ini.
“Amboi, lawanya bahasa,” sindirku sambil terus memfokuskan pandangan ke arah jendela. Muka Jah tersembul di situ. “Tetamu datang, sambutlah dengan teh O panas ke, kopi susu ke. Keropok ke. Karipap ke.” Dengan sengaja aku menekankan suara pada perkataan ‘karipap’, dengan hasrat mendalam supaya Jah membawakan sepiring karipap yang gagal untuk aku nikmati di rumah tadi.
“Jah, mak perhatikan bahasa kamu ni kasar sangat. Sejak dulu sampai sekarang tak berubah. Ish, kamu tu anak dara.” Wak Wok tetiba masuk campur dalam dialog kami.
Aku menyerlahkan sengih suka apabila mendapat sokongan daripada Wak Wok.
“Haaa... betul sangat tu!” Ibu jari yang tegak aku pamerkan pada Wak Wok. Nampaknya aktiviti membela bunga Wak Wok tidak pernah tergendala dengan kehadiran aku di rumahnya. “Anak dara kena bersopan serba-serbi. Nanti tak ada sesiapa sudi masuk meminang. Kan wak?” Gigih sangat aku menonjolkan sengihan.
“Alah, mak... dengan Od ni, buat apa nak bersopan-santun pun. Kalau putera raja mana-mana, bolehlah tunjuk sopan. Boleh jadi menantu raja,” kata Jah.
Wah, Minah ini pandang aku macam tak ada mata. Mentang-mentanglah aku ini cuma pereka grafik yang bergerak secara bebas dari kampung halaman yang aku cintai ini, bukan main lagi dia ya.
“Amboi, walaupun aku ni hanya seorang jejaka Banjar yang tinggal di desa, jangan kau kutuk-kutuk aku. Besar jasa aku kat kampung ni tau. Selain menjadi pemuda harapan warga emas, akulah yang menjaga keamanan kampung ini. Jaga mak aku, bapak aku, mak kau, bapak kau.” Tetiba aku sentap dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh mulut tak ada insuran milik Jah tadi. Kecil hati aku!
“Kamu ni jah...” Wak Wok sudah menjegilkan mata pada anak daranya. Jah mula menayangkan giginya. Sementara aku pula, buat muka ketat. Jelingan geram aku tujukan padanya. Beberapa saat kemudian, Jah hilang dari jendela. Adakah harapan aku untuk menikmati karipap bakal terkubur? Oh....
“Od, tolong wak angkat pasu ni ke sana.” Jejari Wak Wok yang bersadur tanah bakar, menunjuk ke suatu sudut.
“Beres!” Tanpa membuat pembaziran masa, aku pun mengangkat pasu bunga yang dimaksudkan. Malah aku mengubah susun atur beberapa biji pasu bunga lagi mengikut sesuka-hati-sesedap-rasa-aku saja.
Macam biasalah, kalau ke rumah ini aku buat macam rumah sendiri saja. Pasu bunga Wak Wok, memang aku yang tukang susun. Kadang-kadang aku bertindak sebagai jurulanskap secara tak rasmi untuk rumah Wak Ron. Tahu-tahu apabila Wak Ron balik, senyumnya meleret-leret tengok susuna baru pasu bunga Wak Wok berubah-ubah. Sejak berkecimpung dalam bidang lanskap tanpa tauliah ini, Wak Ron mahupun Wak Wok tak pernah meluahkan ketidakpuasan hati mereka pada kreativiti yang aku serlahkan terhadap pasu-pasu bunga mereka. Puji lagi ada.
“Od!”
Panggilan Jah langsung tak kulayan. Jangankan menyahut, menjeling pun tidak. Aku sengaja menyibuk-nyibukkan diri melayan Wak Wok berborak.
“Od!” Sekali lagi gegendang telinga aku bergegar dek panggilan Jah. Namun aku nyahaktifkan mulut ini daripada menyahut panggilannya.
“Okeylah, nampaknya ada orang tak sudi pada karipap aku. Baik aku makan sendiri dengan Wak Misron.” Ayat-ayat yang dihasilakn oleh Jah itu membuatkan aku menoleh padanya secara drastik.
“Nak!” Hilang sudah sentap aku tadi pada Jah demi beberapa biji karipap. Lima saat kemudian aku sudah duduk menghadap sepiring karipap di atas wakaf di depan rumah Wak Wok. Aku perasan bibir Wak Wok menyimpul saja melihat aku menerpa karipap dengan semangat yang tinggi.
“Makan wak.” Aku angkat karipap sebiji dan melebarkan bibir setengah inci pada Wak Wok. Wak Wok hanya mengangguk sambil meneruskan aktiviti membela-bela bunga-bunga kesayangannya.
“Woi, baca doa makan.” Teguran Jah teraktif sambil dia melabuhkan duduk di depan aku. Tengok tu. Selamba saja duduk bersila depan aku.
“Dah baca dalam hati,” balasku sambil memulakan kegiatan memasukkan karipap ke dalam mulut. Namun kegiatan itu sengaja aku hentikan buat sementara waktu. “Tapi kalau kau duduk sopan sikit depan aku, tentu aku lebih berselera makan karipap ni,” kataku lagi.
Jah mencebir namun dengan segera mengubah gaya duduknya. Kan aku dah cakap. Budak Jah ini bukannya ada kesopanan dan kesusilaan. Haih, jadi andalusialah kau Jah kalau mcam ni! Ya, anak dara lanjut usia.
“Ah, lupa pula aku.” Aku bangun lalu menuju ke arah motorsikalku. Sebuah kotak kecil aku ambil. Kotak itu aku hulur pada Jah yang begitu giat menjalani proses pengunyahan kerepek ubi pedas buatan mak aku. Tidak syak lagi, memang kerepek ubi buatan mak aku. Tin biskut yang menempatkan kerepek ubi pedas itu aku kenal betul. Mak aku songlap tin itu dari bilik aku. Walhal aku menyimpan hasrat yang tinggi untuk menukarkannya menjadi tabung. Sekali mak aku sudah rembat daaa....
“Eee... hadiah untuk aku?” Pelebaran bibir Jah jelas menyerlah saat kotak itu berpindah tangan.
“Hmmm....” Aku mendudukkan diri semula, lantas menyambung kegiatan memasukkan karipap ke mulut yang tergendala sebentar tadi. “Kau kan bising-bising pada aku, yang kole kau dipecahkan kawan sepejabat. Ni aku belikan baru, siap buat doodle lagi tau. Tengok doodle ni penuh satu kole. Sampai sakit jari-jari aku semata-mata nak mendoodle atas kole ni.” Dengan sengaja aku membuat tokok tambah asam-garam-gula-kunyit pada ayat aku itu.
“Cantiklah Od,” puji Jah dengan beria-ia. Giginya tertayang selama beberapa saat. Nampaknya kole yang aku hadiahkan itu berjaya menumpaskan kerepek ubi mak aku daripada fokus minda Jah.
 “Ini Odlah, pereka grafik merangkap ilustrator terhebat Kampung Parit Burong.” Ya, kerjaya aku sebagai pereka grafik, walau sehebat mana pun memang langsung tidak diperlukan di kampung yang hanya ada sawah bendang dan warga emas saja.
Tinggal aku seorang pemuda harapan bangsa yang masih wujud di kampung ini. Pemuda dan pemudi lain, semuanya membawa diri ke bandar. Oleh sebab itulah sampai sekarang pun aku masih belum ada buah hati. Dan disebabkan itu jugalah aku terpaksa ‘memasang lukah’ di Skype atau Facebook dan Twitter. Kalau tidak, jadi bujang terlajaklah aku jawabnya.
Oh, tidak!
“Jah, tempat kerja kau tak ada job ke?” Tiba-tiba ayat yang aku hasilkan bertukar serius.
“Kampeni tempat aku memang tak ambil freelancer. Semua inhouse.” Jah menjawab sambil memasukkan tangannya ke dalam tin yang menempatkan kerepek mak aku. “Job kau susut?” soalnya. Kalau tadi dia memasukkan tangan ke dalam tin, kali ini dia sudah pun memasukkan kerepek ke dalam mulutnya. Aku melembikkan leher, mengangguk-angguk seraya menyerlahkan muka kecewa. Kecewa, kecewa juga. Namun karipap tetap laju masuk ke mulut.
“Carilah kerja tetap, Od. Umur kau dah berapa. Takkan selamanya nak macam ni? Mak kau dah bising dah. Setiap kali aku balik, mesti dia meluah-luah perasaan pada aku.” Patah-patah kata meluncur secara deras dari mulut Jah.
“Aku tahu.” Tetiba aku rasa karipap Jah tidak sesedap tadi. “Bukannya aku tak dengar luahan-luahan perasaan dia pada kau pasal aku. Bukan main hebat lagi mengumpat aku ya.” Od mencebirkan bibir. Operasi pengunyahan sudah pun aku hentikan. “Dengan aku pun dia selalu bebelkan hal ni,” kataku lagi. Pada muka sudah tiada sebarang aktiviti sengih-menyengih.
“Tapi kalau aku keluar dari kampung, maka terus habislah pemuda harapan bangsa di kampung ni. Siapa nak jaga keamanan kampung kita? Siapa?” Dengan sengaja aku menukar suasana yang kurang seronok tadi kepada yang lebih ceria. “Lagipun di kampung ni Internet pun laju. Selagi ada Internet, kat mana-mana pun aku boleh kerja. Nak mengayat mana-mana awek pun tak ada masalah walaupun tanpa bersua wajah.” Sengaja aku lebarkan bibir seinci, tayangkan gigi dengan beria-ia kepada Jah.
“Amboi, Od. Bukan main bersemangat lagi.” Wak Wok tersengih memandang aku. “Tak lama lagi makan nasi minyaklah Wak ya?” tambahnya. Nampaknya vokal yang terlontar dari mulut aku berjaya mengganggu-gugat konsentrasinya pada pokok-pokok bunganya. Tiada apa yang mampu aku lakukan selain menonjolkan kemanisan senyuman aku pada Wak Wok.
“Mana ada, Wak. Buah hati pun belum ada lagi,” sanggahku.
“Itu tadi, Wak ada dengar pasal ayat awek semua tu.” Kening Wak Wok terangkat-angkat memandang aku.
“Amboi, Wak. Dah pandai cakap bahasa rempit ya.” Terhasil gelakku secara spontan. Wak Wok pun sama-sama menghasilkan gelak. Akhirnya kami gelak secara berduet. Orang tua ini, diam-diam dia menelinga juga rupa-rupanya. Ish....
“Memanglah. Tapi akhirnya macam sekarang ni, kan? Merengek-rengek tak ada job,” balas Jah tanpa menunggu sesi gelak antara aku dan emaknya berakhir. Waktu itu terasa ada tangan ghaib membuat lempangan padu pada pipi aku. Bab-bab membuat lempangan ghaib ni Jah memang pakar.
Ya, aku memang tak suka berbos. Aku lebih suka jadi bos pada diri sendiri. Suka masa kerja yang fleksibel. Aku tahu, di Malaysia yang kucintai ini, bekerja dari rumah masih nampak janggal. Apatah lagi apabila keadaan ini berlaku di kampung. Aku duduk menghadap komputer riba seharian di dalam bilik, menghadap kerja-kerja aku (sambil ‘memasang lukah’, kut-kut ada ‘ikan-ikan cantik’ lalu depan mata), kebarangkalian aku dikatakan sedang gigih menghasilkan tahi mata adalah tinggi.
Aku kerjalah! Bukannya tidur! Dan kemudian satu kampung akan kenal aku sebagai orang yang paling produktif dalam kegiatan penghasilan tahi mata. Kemudian, orang kampung senyum-senyum memandang aku tanpa aku ketahui nawaitu mereka dalam menyerlahkan senyuman itu. Dan kemudian, aku pun sentap tiba-tiba. Kemudian tak ada seorang pun yang sudi menjadikan aku menantu dengan anggapan aku tak ada masa depan. Tak ada kerja.. Kemudian... kemudian... kemudian.... Arghhh, tertekan sungguh!
“Nantilah aku tanya kawan-kawan aku. Kalau ada nanti, aku beritahu kau.” Jah menambahkan perisa manis pada mukanya. Alah, sengaja mahu tenangkan hati akulah tu. Namun ayat yang diciptakan Jah untuk aku itu serba sedikit akhirnya mengembalikan semula selera aku pada karipap yang belum habis di tangan.
“Makan macam kena sampuk,” tegur Jah apabila melihat aku kembali gigih mengunyah. Penuh semangat. Tujuan utama; menghabislicinkan karipap di piring.
Aku peduli apa dengan kata-kata Jah. Cukup sekadar sengih sebagai membalas kata-katanya.

No comments:

Post a Comment