Saturday, February 11, 2012

Cikgu Paling Mantap! (Bab 3)


“Tidak boleh!”
“Boleh!”
“Tidak!”
“Boleh!”

Beberapa minit sudah berlalu, namun dua suara itu tetap tingkah-bertingkah sejak tadi. Belum ada pihak yang mahu mengalah nampaknya. 

“Mak Su.”
“Ya.”

Muka Tasya jelas menonjolkan tahap ketidakseronokan yang tinggi. Dalam keadaan mereka bertingkah-tingkah begitupun, ibu saudaranya itu masih tekun menjalankan aktiviti memenuhkan mulutnya dengan ayam goreng yang dibelinya tadi. Pinggan berisi ayam goreng  ditarik pantas menjauhi makhluk yang sedang tekun membelasah hidangan itu.

“Eh, eh... Mak Su hendak ratah ayam goreng itu. Letak balik di sini.” Cermin mata yang melurut Cikgu Fea biarkan sahaja. Tangannya yang bersadur minyak daripada ayam goreng itu, menyukarkannya hendak menolek semula cermin mata gaya old schoolnya itu ke pangkal hidung.
Tasya menggeleng-geleng sambil menatang pinggan berisi ayam goreng itu dengan kemas dan kejap.
“Alah... berilah. Mak Su laparlah.” Cikgu Fea sudah mula menonjolkan kegeramannya atas tingkah laku Tasya. 

“Saya beri sekiranya Mak Su izinkan saya tukar kelas.” Bibir Tasya lebar beberapa sentimeter sambil membuat acara tarian pinggan ayam goreng dengan penuh gemalai di depan ibu saudaranya itu. Bebola mata Cikgu Fea begitu aktif ke sana sini mengikut ke mana Tasya melarikan pinggan yang menjadi idamannya itu. Ah, bukan pinggan itu yang menjadi idaman, tetapi isi pinggan itu yang dimahukannya.

Rasa mahu menjerit pula apabila Tasya membuat pertukaran yang langsung tidak menggembirakannya. 

“Tidak boleh!” Kepala Cikgu Fea bukan main laju lagi menggeleng. Kali ini fokus bebola matanya bukan lagi pada ayam goreng rangup yang menghuni pinggan. Muka comel anak saudaranya berada tepat di dalam kawasan fokus matanya.

“Okey, tong sampah akan kenyang dengan ayam goreng ini.” Aksi Tasya yang nakal tetapi serius memfokuskan pandangan matanya pada tong sampah di satu sudut dapur, membuatkan Cikgu Fea berada dalam kegelisahan.

“Errr... emmm... errr....” Cikgu Fea hanya mampu terkumat-kamit. Terasa kepala otaknya lambat sungguh hendak menjana idea bernas dengan cemerlang. ‘Budak ini sudah lebih. Main kasar pula dia,’ bisik hati Cikgu Fea.

“Okey....” Pinggan ayam goreng itu semakin dekat dengan tong sampah. Tasya sengaja mengacah-acah hendak memasukkan isi pinggan yang menjadi pujaan Cigu Fea itu ke mulut tong.

“Ehhh... jangan! Jangan!” Seram Cikgu Fea melihat pinggan itu menari-nari berdekatan tong sampah. “Mana boleh buang begitu sahaja. Membazir!” Cikgu Fea drastik bangun daripada kerusinya. Dia hendak membuat rampasan pinggan yang sengaja ditari-tarikan oleh Tasya.

“Ops! Ops!” Serta-merta Tasya menyorokkan pinggan yang diidamkan Cikgu Fea di belakang badannya.

“Okey, dengar sini. Kelas Dua Kenari ialah kelas yang paling bagus. Kelas itulah yang paling sesuai dan layak untuk Natasya binti Lukman Hakim, selaku anak saudara kepada Cikgu Sofea Azira. Tiada kelas yang lebih bagus selain kelas Dua Kenari.” Perlahan-lahan Cikgu Fea memulakan sesi pujukan.
“Tidak sesuai langsung!” Tasya mencebir. “Kelas itu penuh dengan pelajar-pelajar pintar, skema, sopan-santun... emmm... dan membosankan!” 

“Tasya... kelas Dua Kenari itulah yang menjadi pujaan guru-guru di sekolah kita. Mereka patuh, berdisiplin dan hormat guru,” jelas Cikgu Fea dengan beria-ia. 

Sesekali mata Cikgu Fea mencuri-curi pandang pinggan ayam goreng rangup di belakang Tasya. Kedudukan pinggan itu semakin senget. Ngeri Cikgu Fea melihatnya. Kebarangkalian isi pinggan itu melurut jatuh ke lantai adalah tinggi. Cikgu Fea telan air liur berkali-kali.

    “Mereka bagus, tetapi membosankan. Mereka tidak pandai buat lawak. Saya buat lawak, seorang pun tidak ketawa kerana mereka tidak faham. Mereka hanya tunduk menulis, dan kemudian mulut melopong ataupun mata terkebil-kebil memandang cikgu mengajar. Semuanya senyap. Mengantuk!” Tasya turut mengutarakan hujah-hujahnya.

“Tapi....” Mulut Cikgu Fea kembali terbuka, namun mulut Tasya memintas dengan kepantasan luar biasa.

“Tapi ayam ini penuh kolestrol dan Mak Su sudah makan dengan kuantiti bertaraf lebih muatan. Jadi tidak boleh makan lagi.” Kening Tasya terjongket-jongket dan dia tersengih-sengih nakal. 

“Eh... jangan! Jangan!” Tanpa segan silu, Cikgu Fea mengemukakan rayuan sekali lagi.
“Boleh atau tidak?” Kali ini Tasya sudah bersedia hendak memasukkan isi pinggan itu ke dalam tong sampah. 

“Err... err...” Akal Cikgu Fea gagal menjana idea yang bernas malam itu.

“Boleh? Tidak? Boleh?” Tasya seperti tidak sabar-sabar hendak mengenyangkan tong sampah itu dengan ayam goreng rangup pujaan hati Cikgu Fea. 

“Sekiranya Mak Su benarkan, saya akan berikan ayam goreng ini dan Mak Su boleh makan sambil menghayati keenakan dan aromanya dengan sepenuh perasaan,” pujuk Tasya lagi.

Cikgu Fea menarik nafas panjang. Ayam goreng! Ayam goreng! Sudah lama dia tidak makan dengan aman sejak Tasya mengemukakan permintaan hendak tukar kelas. Sekiranya anak saudaranya itu hendak tukar ke kelas lain, dia tidak kisah sangat. Namun yang membuatkannya sangat kisah apabila Tasya, anak saudaranya yang bertuah itu mahu bertukar ke kelas Dua Biru. Haru! Sungguh haru!

Fokus mata Cikgu Fea bersilih ganti antara muka Tasya dan pinggan di belakang Tasya. Dengan tidak semena-mena, perlahan-lahan kepala Cikgu Fea mengangguk perlahan.

Semerta bebola mata Tasya terserlah kebulatannya ketika Cikgu Fea menganggukkan kepalanya. Pipinya ditepuk-tepuk beberapa kali tanda kurang percaya. Apakah dia bermimpi? Sebelum ini hasratnya yang suci lagi murni itu ditolak bulat-bulat. Bukan bulat-bulat sahaja ditolak, malah empat segi, tiga segi, enam segi dan bermacam-macam segi pun ditolak tanpa belas kasihan oleh ibu saudaranya itu.  

“Betul?” Vokal Tasya melompat keluar dengan mantapnya. Ketika itu dia berada dalam situasi antara percaya dengan tidak. Perlahan-lahan Cikgu Fea mengangguk dengan rasa tidak seronok. Dia rela dalam paksa.

“Yahuuu!” Tasya menjunjung pinggan berisi ayam goreng rangup itu tinggi-tinggi. Keseriauan Cikgu Fea mencanak ke tahap maksima. Mimik mukanya menonjolkan rasa cemasnya itu. 

“Tenang! Tenang!” Cikgu Fea mengawal vokalnya supaya sentiasa lembut, walaupun dalam situasi genting seperti itu. Tangannya terangkat-angkat memberi isyarat supaya Tasya mengawal dirinya dengan harapan ayam goreng rangup itu tidak berterbangan dan akhirnya mendarat di atas lantai. Alangkah malang sekiranya ia berlaku.

“Haaa... nah! Nah!” Secara drastik Tasya menyerahkan pinggan itu kepada Cikgu Fea dengan seronoknya.

Apabila pinggan berisi ayam goreng itu berada di tangan, Cikgu Fea menjadi seronok beberapa saat. Namun tidak lama kemudian, rasa tidak seronoknya merebak tidak semena-mena. Antara ayam goreng dan pertukaran Tasya ke kelas Dua Biru, pertukaran Tasya itulah yang lebih hebat menguasai jiwa dan bakul... errr... raganya. Dia pasrah.

*          *          *

Do terjengkit-jengkit terhendap-hendap di depan kelas Dua Kenari. Dua ahli kumpulan Tiga Doremi yang lain sudah tidak dihiraukannya sejak tadi. 

“Ini tidak boleh jadi. Do sudah mula melupakan tanggungjawabnya kepada kumpulan kita. Sekiranya begini, bagaimana kumpulan Tiga Doremi hendak jadi kumpulan samseng paling digeruni di sekolah ini?” Mi memandang Do dari jauh, sambil mundar-mandir di depan Re. 

“Saya kecil hati betul dengan Do. Kita diabaikannya!” Terherot-herot muka Re ketika menjalankan sesi meluah-luah perasaan. “Tengok, dia menghendap pun tidak mahu ajak kita. Sungguh tidak patut!” Herotan mukanya semakin menonjol apabila sesi luahan perasaan itu bertukar menjadi omelan.

“Nampaknya, teruklah kita asyik dibuli oleh para samseng di sekolah ini. Habis hancurlah kredibeliti kita sebagai samseng paling digeruni. Entah-entah budak-budak lembik pun tidak segan silu membuli kita. Saya tidak mahu pisang berbuah dua, tiga, empat dan seterusnya. Saya serik menjadi mangsa buli.” Tanpa berbelah bagi, Re menyokong pendapat Mi. Aura kebimbangan mula tertonjol pada muka masing-masing.   

“Do sudah tersampuk.” Kepala Re tergeleng-geleng. Perlahan-lahan dia bangun dan memberi isyarat kepada Mi supaya mengekorinya. 

“Tersampuk apa?” soal Mi dengan mimik muka penuh rasa terkejut. Bulu romanya terpacak tidak semena-mena.

Re tiada kerajinan hendak menjawab soalan Mi itu. Dia cuma mahu menyedarkan Do supaya tidak terjebak dengan sebarang permainan perasaan. Mi pula masih diselubungi misteri. Namun pada masa yang sama, dia tetap mengekori Re. 

Semakin lama semakin hampir mereka dengan Do. Do pula masih tiada kesedaran yang dirinya diperhatikan dengan jarak dekat. Tangan Re sudah terangkat tinggi. Mi pula masih tidak dapat mengesan apa yang dilihat oleh Do di dalam kelas Dua Kenari itu. Dia juga tidak dapat mengagak apa yang hendak dilakukan Re kepada Do. Otaknya seolah-olah gagal berfungsi dengan cemerlang pada pagi itu.

Pap! 

Sebaik sahaja tapak tangan Re mendarat di atas bahu, Do mengalami fenomena terperanjat maha dasyat. Denyutan jantungnya ketika menjalankan kegiatan penghendapan pun tidak sehebat ketika mendapat kejutan ini. Mujurlah jantungnya tidak tercerai dari tangkai.

“Kurang asam boi!” Kebulatan mata Do jelas terserlah apabila tahap keterperanjatannya mulai menurun. Kebulatan matanya itu semakin menjadi-jadi apabila pandangannya terfokus pada Re, makhluk yang bertanggungjawab membuatnya terkejut tahap maksima sebentar tadi. Bayangkan, sedang khusyuk mengendap gadis genit yang disukai, ketika ritma jantung semakin pantas, dengan tidak semena-mena bahunya ditepuk dengan kekuatan berskala besar. Siapa tidak terperanjat tahap sawan? 

Re buat muka tidak bersalah, kemudian sengaja memandang siling sambil bernyanyi-nyanyi perlahan. Mi pula hanya terkebil-kebil.

“Saya tidak bersalah!” Pantas Mi tergeleng-geleng, siap dengan kedua-dua belah tangannya bergerak sama. 

“Mujur tidak meninggal!” Do mendengus dan menggumam. Tangannya pantas mengurut-urut dada. Geramnya pada Re mencanak ke paras kritikal. Mujur tidak terlompat ayat-ayat yang tidak seronok didengar dari mulutnya. Sudahlah apa yang dihendap tidak memunculkan diri, digempur pula oleh rakan sendiri. Amat menjengkelkan!

“Pagi yang sungguh tidak seronok!” Sekali lagi Do menggumam. Bibirnya memuncung panjang beberapa milimeter. Sambil menanggung kekecewaan yang mendalam, Do bergerak meninggalkan ruang legar kelas Dua Kenari. Sama seperti tadi, Re dan Mi langsung tidak dihiraukan.

Mi takut-takut hendak menyertai Re mengekori Do. Namun Re bersikap selamba seolah-olah tiada apa yang dilakukannya terhadap Do. Do pula dengan langkah yang penuh kekecewaan, menuju ke kelas mereka iaitu kelas Dua Biru. Tidak lama lagi tentu loceng masuk akan berbunyi. Pagi-pagi begini, mulakanlah hari dengan tenang. Sekiranya hendak buat gempar, biarlah tengah hari sedikit. 

Namun ketika sudah berada di depan pintu kelas mereka, langkah kaki Do secara drastik terhenti. Tiba-tiba tubuh badannya terkejang pula. Matanya terfokus ke satu arah tanpa mengelipkan matanya walaupun sekenyit. 

Re dan Mi ikut menghentikan langkah kaki masing-masing. Penghentian langkah secara tiba-tiba oleh Do itu membuatkan Re dan Mi hampir-hampir melanggar Do di depan mereka. Keadaan Do yang terkejang secara drastik itu membuatkan Re dan Mi pandang-memandang sesama sendiri. Wabak kehairanan melanda mereka. 

Perlahan-lahan Mi melalukan tangannya di depan muka Do beberapa kali, tetapi tiada sebarang reaksi daripada Do. Kelopak matanya langsung tidak bertindak balas dengan aktiviti tangan Mi tadi. Mi tidak fikir kelopak mata Do sudah hilang kebolehan mengelip-ngelip. 

“Apa yang dipandangnya?” Pertanyaan Re akhirnya terhasil juga. Mi hanya angkat bahu dan menjongketkan keningnya.

Dengan seia sekata, Mi dan Re memandang ke arah mana biji mata Do terfokus.
“Ooo....” Muncung kedua-dua sahabat itu panjang ke depan.
“Dia tersampuk sekali lagi.” Kepala Re tergeleng-geleng.

“Dia tiada di sana, rupa-rupanya ada di sini. Tuhan bawakan bidadari aku ke sini. Terima kasih Tuhan.” Tanpa disangka-sangka Do mengeluarkan kata-katanya sambil mula melangkah ke dalam kelas. Namun fokus matanya tidak lari daripada terus memandang pada subjek yang disukainya sejak tadi.

Perlahan-lahan Re dan Mi mengekori langkah Do. Suspens sungguh mereka melihat aksi Do yang di luar dari kebiasaan itu. Dalam kepala mereka tertanya-tanya bagaimana reaksi Do seterusnya.
“Hai, saya Abdullah Kazem. Nama manja saya Do.” Do sudah pun terpacak di depan gadis yang dintainya sejak dua tiga hari lepas. Gadis comel yang tersebut itu terpana tiba-tiba dengan sesi berkenalan yang dijalankan oleh Do.

“Oh, nama ala-ala suci murni umpama jejaka di bawah lindungan Kaabah.” Gadis itu semakin gigih membuat muka comel. “Saya Tasya,” katanya.

“Saya Re, jejaka paling meletup di kelas ini!”
Tasya angguk-angguk kepala sambil melebarkan bibirnya beberapa milimeter. 

“Saya Mi, lelaki idaman di kelas ini!”
Tawa Tasya terlompat apabila Mi mengurut-urut dagunya. Wabak jengkel mula menguasai Do apabila rakan-rakannya pun tidak kurang menonjolkan diri di depan Tasya. 

“Saya Mirza!” Tidak semena-mena Mirza pula muncul dengan lenggang-lenggok dan lemah gemalainya demi menyertai acara berkenal-kenal pada pagi yang berbahagia itu.

“Sibuk!” Mi sengaja menarik rambut Mirza yang terjuntai, sebelum pergi.
“Aduh!” Jeritan Mirza terlompat keluar. “Apa?” Matanya menonjolkan kebulatan paling menyerlah. 

Suaranya yang tadi lemah lembut, drastik bertukar garau dan besar, penuh kejantanan. 
 Tawa Tasya masih terlompat-lompat keluar sejak tadi. Aksi dan gelagat rakan-rakan baharunya membuatkan paginya rasa seronok apabila berada di dalam kelas Dua Biru. Apa masalahnya kelas ini? Semuanya okey sahaja. Tasya terfikir-fikir seketika. Selama ini dia dihantukan dengan cerita-cerita tidak seronok mengenai kelas Dua Biru oleh Cikgu Fea dan rakan-rakan di Dua Kenari. Rakan-rakan di Dua Kenari melarangnya daripada menegur pelajar dari kelas Dua Biru. Namun mulai hari ini dia akan mensahihkan cerita itu. Sahih kelas itu paling teruk, atau sahih ia kelas paling seronok?

1 comment: