Saturday, June 15, 2013

Monolog Jah dan Od (Bab 9)




Monolog Jah       

Ikan-ikan pemberian Acik Utoh aku keluarkan dari plastik. Semuanya dah siap bersiang. Acik Utoh memang rajin. Dia menjala ikan, kemudian dia siangkan terus. Kadang-kadang dia sendiri yang buat kerja-kerja menjeruk ikan itu untuk dijadikan pekasam. Itu pun kalau tangkapannya banyak. Acik Utoh memang tak lupa kegemaran aku. Ikan puyu. Aku rasa, habis segala puyu yang ditangkapnya tadi diberikan pada aku. Bibirku melebar tahap maksima. Ikan puyu masak lemak cili padi dengan nasi panas, lawankan ulam pegaga dan sambal kelapa. Perghhh, nikmat dunia! Jiwa boleh terawang-awang sampai langit ketujuh. Mentua lalu pun tak sedar.
Bercakap soal mentua. Ahhh... aku rasa kena bahan saja di rumah Acik Utoh hari ini. Macam ternampak-nampak saja paparan-paparan ketika aku berada di rumah mereka tadi. Dan aku pun terhanyut dengan gambaran-gambaran yang terjadi setengah jam yang lalu.
“Apa kau bawa tu, Jah?” soal Kak Soya sebaik tapak kaki ini menjejak lantai rumah Acik Inab tadi. Tidak syak lagi biji matanya terfokus tepat ke arah bekas yang aku bawa.
“Karipap.” Aku sedekahkan senyuman pada Kak Soya dan Acik Inab. Gigih sangat nampaknya dua beranak itu menyagat ubi kayu. “Yang ini belum digoreng,” kataku lagi sambil menyerahkan bekas makanan yang aku bawa kepada Kak Soya.
“Nak buat kerepek?” soalku. Macam tak biasa pula. Kalau nampak Acik Inab menyagat ubi, dah sah-sah nak buat kerepek.
“Ha’ah.” Acik Inab menjawab ringkas. Tanpa segan silu, aku mendudukkan diri di depan Kak Soya yang menolong Acik Inab meleraikan kepingan-kepingan nipis ubi yang disagat di atas hamparan surat khabar.
“Jah, kamu tahu tak.” Acik Inab buat mukadimah.
“Tak.” Sengihanku terserlah. Tawa Kak Soya terhasil serta-merta.
“Ini acik nak beritahu kamulah ni.” Acik Inab menjeling geram.
“Acik Inab ni buat saspenlah. Cakaplah,” kataku sambil membantu Kak Soya meleraikan kepingan ubi.
“Ada orang berkenan pada kamu.” Senyum Acik Inab menyungging pada bibir.  Spontan aku mencebir.
“Merepek!” sanggahku.
“Kalau betul, macam mana?” Kak Soya menggiat.
“Taklah. Merepek!” Bibirku tercebir.
“Betul, Jah.” Dengan beria-ia Acik Inab mengiakan kata-kata Kak Soya. Spontan telunjuk Acik Inab mencucuk pinggang aku. Secara spontan juga terhasilnya gelombang bunyi berskala besar dari mulut aku. Terperanjat.
“Jah, cepat-cepatlah belajar apa yang patut ya.” Keterujaan Kak Soya dalam hal ehwal mengusik makin menjadi-jadi.
“Acik, nanti Jah nak sikit kerepek ni ya?” Dengan muka tebal tiga tingkat, aku ubah topik. Walhal hakikat sebenarnya, memang sikit pun perasaan aku tak terjejas digiat macam tu oleh Acik Inab dan Kak Soya. Sumpah! Sikit pun tak!
“Nak lari tajuk ya?” Kak Soya tak habis-habis mengusik. Dia ingat aku percaya apa yang dia dan Acik Inab cakap? Tidak sama sekali!
“Jah nak yang sira pedas ya. Kat KL mana ada kerepek ubi sira pedas yang sedap macam Acik Inab buat.” Terus tercantas ilham Kak Soya dan Acik Inab untuk membahan aku sekali lagi.
“Kamu kena belajar buat kerepek pedas ni, Jah. Orang tu pun suka sangat kerepek pedas ni. Semalam dia angkut sebalang kerepek dari sini. Sebab itulah acik buat lagi hari ini,” kata Acik Inab. Aduhai, tak habis-habis lagi rupanya. Aku ingat misi mencantas idea mereka dan menghentikan sesi mengusik aku sudah tamat. Rupa-rupanya masih bersambung!
Handsome tak orang tu, mak?” Sekali lagi Kak Soya mengutarakan soalan. Sajalah tu, nak membahan aku dengan sesedap rasa.
“Eh, mestilah handsome. Kerja pun bagus. Jurutera minyak. Kadang-kadang kena duduk kat pelantar tengah laut tu. Tak apalah, duduk tengah laut pun tapi hasilnya lumayan.” Dengan penuh bersemangat Acik Inab berkisah.
“Wah, untunglah Jah nanti. Bahagia hidup. Sama-sama suka kerepek ubi pedas pulak tu. Memang sepadanlah.” Amboi. Tak menahan-nahan Kak Soya punya ilham untuk menggiat aku habis-habisan.
Tetiba mukaku rasa panas semacam. Tidak syak lagi! Sedang berlaku fenomena merah padam pada pipiku. Tetiba juga diri ini mengalami tindakan luar kawal; bangun lalu keluar dari situ untuk bertemu Od di luar rumah.
“Malulah tu.” Mengekek-ngekek Kak Soya sambil meneruskan kerja-kerjanya.
Di luar, aku duduk menghadap Od yang membela-bela motorsikal Acik Utoh. Terasa malas nak memulakan sesi bual bicara dengan Od. Fikiran masih terganggu dengan usikan Acik Inab dan Kak Soya. Namun aku mengambil keputusan untuk tak percaya pada isu itu. Aku yakin dengan sepenuh hati, dua beranak itu dengan sengaja membahan aku sebagai salah satu aktiviti hiburan mereka hari itu.
Apabila memandang Od waktu itu, tetiba aku teringat perihal coklat misteri yang tak sempat aku ceritakan sampai tamat kepada Od dulu. Namun apabila memikirkan bagaimana reaksi Od ketika itu, aku jadi sakit hati. Apabila memikirkan kecilnya hati aku atas sikap Od yang melupakan aku beberapa minggu sudah, membuatkan aku tawar hati untuk berkongsi cerita sekali lagi.
Akhirnya aku menopang dagu sambil memandang Acik Utoh dan Abang Baki yang berlenggang-lenggang balik dari menjala. Tak lama Od menegur aku. Mamat ni mana boleh nampak aku diam lama-lama. Maka berlakulah dialog aku dan Od pada hari itu. Dan tanpa sedar, kisah mengenai coklat misteri itu akhirnya terpacul juga dari mulut ini. Kononnya malas dah nak meluahkan perasaan seram sejuk pada Od. Namun semuanya berakhir bila Od mengajak aku menjalankan sesi dialog pada hari nan bahagia ini.
Namun bual bicara bersama Od itu akhirnya mengakibatkan aku sentap tak ingat. Rasa tercalar egoku apabila Od kata, ada juga yang minat aku. Okey, aku tak selawa Julie dia tu. Maka tak adalah yang minat pada aku. Dengan ini, coklat misteri yang tetiba mendarat atas meja aku itu hanyalah dongeng rekaan aku semata-mata, atau paling tidak pun adalah satu salah sangka, iaitu pemberian rakan pejabat yang malu untuk mengaku dia yang memberi coklat mahal tersebut. Inilah layanan ‘istimewa’ dari sabahat sejati untuk seorang aku yang sedang memerlukan khidmat nasihat ini? Fine!
Kebetulan Acik Utoh lambai aku ketika itu. Tanpa membazirkan masa, terus aku bangun meninggalkan Od.
Siapa tak suka kalau disuakan dengan ikan darat segar, siap disiang lagi? Rasa nak buat lompat bintang, tapi terpaksa ditahan demi menjaga kesopanan dan kesusilaan diri ini. Seganas-ganas aku pun, masih tahu tatasusila. Acik Utoh dan Acik Inab memang tak lokek. Ada rezeki lebih, tak kisah mengongsi dengan jiran tetangga. Keadaan dan sikap yang aku amat dambakan di Kuala Lumpur, tempat aku bermastautin kini.
“Jah, belajar masak ikan darat sedap-sedap ya. Nanti acik pinangkan Jah untuk anak saudara acik. Dia suka makan ikan darat. Serupa macam kamu.” Ayat-ayat yang terhasil daripada mulut Acik Utoh ada persamaan dengan ayat yang terhasil oleh mulut Acik Inab. Ish, mereka suami isteri ni macam sengaja buat pakatan membahan aku saja hari ini. Dialog pun hampir sama, cuma situasi saja berbeza. Namun aku sedar waktu itu haba mula meningkat secara mendadak ke muka aku. Spontan aku minta diri daripada Acik Utoh dengan alasan hari dah tinggi.
Od yang memanggil-manggil pun malas nak kulayan. Biar rasakan dia. Sentapku tadi masih belum reda. Ditambah lagi dengan usikan Acik Utoh, lagilah aku malas berlama-lama di rumah itu. Baik aku balik dengan beg plastik penuh ikan, masak sedap-sedap sebagai ubat sentap aku pada Od tadi. Huh!
Secara serius, aku tak ambil serius pada gurauan serius Acik Inab, Acik Utoh dan Kak Soya. Yang aku ambil serius sekarang adalah rasa sentap aku pada reaksi Od atas masalah serius yang aku utarakan padanya tadi. Err... faham tak? Buat-buat faham sajalah. Dan sekarang, aku masih tersangat sentap. Serius, aku sentap! Sentap yang amat serius! Huh!



Monolog Od

Sambil mengunyah karipap yang Jah beri sebelum balik ke KL tadi, aku berSkype  dengan Julie. Rindu wooo pada Julie. Sebelum berkenalan mesra dengan teknologi Internet dulu, aku agak hairan dengan mana-mana individu yang menjalinkan hubungan khususnya hubungan cinta di alam maya.
Waktu itu aku menuduh bahawa sesungguhnya hubungan cinta dalam talian adalah karut-marut! Boleh ke jatuh cinta tanpa bersemuka, tanpa pernah bertemu di dunia realiti, malah tanpa pernah mendengar suara pun? Karut amat bagi aku. Tahap kehairanan aku berapa sama tinggi dengan bintang-bintang di langit, macam mana orang boleh bercinta secara maya hanya melalui chatting, hanya melalui ayat-ayat yang terpapar pada skrin.
Sekarang apabila dah terlalu karib dengan Internet, barulah aku tahu penangannya. Apa? Tak takut kena tipu? Takut juga. Namun setakat ini belum pernah lagi aku terpedaya dengan ayat-ayat manis wanita-wanita luar negara, yang mendakwa mereka adalah waris aristokrat mana entah yang tetiba gila tak memasal nak memindahkan duit sekontena pada aku. Belum pernah lagi aku terjebak dan bertukar menjadi ‘keldai’ yang mengangkut marijuana keluar dari Malaysia nan permai ini.
Sekarang barulah aku mengakui penangan ayat-ayat manis dari Internet mampu memerangkap ramai mangsa ke arah sesuatu yang tidak sihat, tidak selamat dan menggugat kebahagiaan umat sejagat.
Mungkin mudah saja berkata, “Hei, kalau ya pun agak-agaklah. Takkan mudah sangat orang nak bagi kau tiket melancong secara percuma, dengan duit saku ribu-riban segala.”
Atau begini, “Takkanlah senang-senang orang nak pindahkan kekayaan dia pada kau? Hilang akal ke apa?”
Juga begini mungkin, “Takkanlah dengan buat penghantaran beg ke satu tempat, kau dibayar harga sebiji banglo? Agak-agaklah!”
Hakikatnya, perasaan yang sudah dibunga-bungakan dengan ayat manis sampai terhasilnya emosi asyik mahsyuk, otak pun bertukar jadi kelabu asap, krem secara tiba-tiba. Semua keraguan hilang sekelip mata dek panah arjuna. Nampak tak permainannya? Nampak? Gambar profile ‘kawan’ sebelah sana muka Kaukasia. Hakikatnya makhluk tersebut kulitnya iras-iras Dayang Senandung.
Hei, tolong jangan menuduh aku kasanova Internet pula. Ya, aku mengaku hampir semua teman tapi mesraku dulu dikenali melalui Internet, namun itu bukan bermakna aku seorang kasanova. Aku berkawan dengan ikhlas, begitu juga dengan mereka. Kami jujur antara satu sama lain. Memasing jujur mendedahkan identiti. Entahlah, mungkin aku bernasib baik kerana tak pernah terjebak dalam mana-mana penipuan. Mungkin juga disebabkan aku mengikut gerak hati. Mat Salleh kata instinct. Woohoo, ada gaya-gaya manusia psikik pula. Malangnya jodoh aku dengan mereka tak pernah sampai. Mungkin kerana tiada chemistry menyebabkan kami selalu berselisih pendapat, atau mungkin lama-kelamaan menjadi hambar lalu terus mengjauhkan diri tanpa ada sebarang kata putus. Kata orang, faham-faham sendirilah.
Dalam menjalinkan sebarang hubungan di alam maya, sama ada sebagai rakan, perniagaan, cinta, kerja dan lain-lain, ia bergantung sejauh mana tahap kepekaan kita pada ‘rakan maya’ itu. Takkanlah kalau dia kata nak bersedekah jariah duit sekontena kepada kita, maka kita terus percaya? Hilang akal ke apa? Takkanlah tetiba ada orang yang terlalu murah hati beri tiket melancong secara percuma ke luar negara? Kita tak rasa peliknya? Apa orang tu tidur atas duit ke sampai begitu dermawan bersedekah serba-serbi untuk kita yang tak dikenali ini? Oh, tolonglah! 
Ayat-ayat manis tanpa wajah, amat bahaya. Lainlah aku. Sepanjang aku berkenalan dengan gadis-gadis di Internet, tak pernah sekalipun aku mengarang ayat-ayat manis sebagai senjata untuk menggoda. Niat asal adalah berkawan. Cerita tentang minat, tentang kerja, tentang kawan-kawan, err... juga tentang politik kadang-kadang. Lontarkan persoalan-persolan yang dapat memancing ‘rakan regu di sebelah sana’ melontarkan fikiran dan pendapat. Beri soalan-soalan cepu emas. Dari situ pun kita boleh menilai siapa teman chatting kita. Weh, jangan main redah!
Namun antara aku dengan Julie, setakat ini berjalan lancar. Dalam banyak-banyak teman tapi mesra, dengan Julie paling menjadi. Dengan Julie tingkat hubungan itu naik ke peringkat seterusnya tetapi masih dalam usaha mengenali hati budi masing-masing. Ececeh!

Julie : Buat apa tu?
Aku : Makan karipap.
Julie : Beli?
Aku : Tak. Jah buat.
Julie : Jah sihat?
Aku : Sihat. Cuma hari ni dia sentap sikit dengan saya.

Tengok! Jujur tak aku? Semua kronologi tentang Jah pun aku mahu cerita pada Julie. Pendek kata, dia ‘kenal’ Jah melalui aku. Julie juga begitu. Gaduh dengan kawan di tempat kerja pun dia cerita juga pada aku. Ada Mat Bangla mengurat dia pun, dia cerita juga pada aku.

Julie : Kenapa?
Aku : Dia cerita kat saya, yang dia takut sebab dapat coklat misteri di pejabat. Dua kali dia dapat. Tapi saya usik dia. Saya kata, ada juga yang minat dia ya.
Julie : Ooo... patutlah dia sentap. Awak macam menghina dia. Seolah-olah dia tak laku.
Aku : Wah, awak pun sebelahkan dia?
Julie : Dah tentulah. Saya perempuan. Malu pun ada kalau lelaki cakap macam tu. Terhina tau.
Aku : Saya nak bergurau saja. Takat dengan Jah, saya memang gurau kasar. Semua lepas, tak ada tapis-tapis.
Julie : Bukan semua benda boleh dibuat gurau.
Aku : Yalah. Saya silap. Tapi sampai ke sudah dia sentap. Kemudian dia lari balik. Tak sempat saya nak pujuk.
Julie : Esok awak kena pujuk dia.
Aku : Esok kena belanja dia cendol depan pejabat. Cendol pulut kat situ sedap. Teringin sangat nak belanja awak makan cendol kat situ.
Julie : InsyaAllah, masanya akan tiba tak lama lagi.
Aku : Tak lama lagi? Bila tu?

Aku rasa macam mahu lompat bintang.  Dalam tempoh sebulan dua lagi, aku yakin mampu merembat kereta terpakai yang aku intai dengan Jah dulu. Dan aku mahu Julie jadi orang pertama menaikinya sebagai tanda merasmikan kereta pertamaku. Weeheee!

Julie : Dua tiga bulan lagi macam mana? Dah sedia nak bersemuka dengan saya yang garang ni?
Aku :Ya, bersedia. Bersedia nak berdepan dengan Cik Julie yang garang macam harimau miau-miau. Nak kongsi gambar kenduri di rumah Jah tak? Awak boleh tengok suasana kenduri dan budaya di kampung saya.
Julie : Mestilah nak!

Siapa tak bahagia kalau macam ni? Dia memahami, terbuka, tak cemburu. Aku agak yakin untuk bersemuka dengan Julie. Dan pastinya aku perlu bersedia demi menyempurnakan saat itu. Tetiba denyut jantungku jadi tak tentu hala. Oh, Julie!


Monolog Jah

“Assalamualaikum.”
Aku menoleh apabila ditegur seseorang. Topi keledar aku tanggalkan dari kepala selepas Mr. Ready ditongkatkan. Aku sedekahkan senyuman pagi buat jejaka itu.
“Waalaikumsalam.” Aku kemaskan tudung pada cermin sisi Mr. Ready, tanpa segan silu pada Johan, jejaka yang menegur aku dengan ramahnya itu.
“Dah lawa dah tu.” Teguran Johan menyebabkan aku tersipu-sipu. Destinasi yang dituju oleh kaki kami tentulah ke pejabat.
“Deeja...”
Biji mataku memfokus pandangan pada Johan yang beriringan denganku. Aku jongketkan kening sekali padanya.
“Aku tanya, kau tak marah kan?” soal Johan ragu-ragu.
“Tanyalah. Takkan aku nak marah kau tak memasal pulak.” Ada unsur-unsur saspens di balik ayat-ayat Johan.
“Kau buat apa dengan coklat misteri yang kau dapat kali kedua tu? Kali pertama dulu kau bagi aku dan Lina makan. Kali ni kau buat apa?” soal Johan.
Laaa... apa punya soalanlah! Buat saspens saja.
“Aku sedekah pada anak jiran aku. Pahalanya aku hadiahkan pada makhluk yang bermurah hati bagi coklat tu. Macam mana? Okey tak?” Mukaku serius. Tetiba denyut jantungku tak keruan ritmanya. Aku yakin sangat individu misteri itu adalah rakan sepejabatku sendiri. Dan dengan selalunya dia memerhati tanpa pengetahuanku. Dan aku akan jadi tak tentu hala selagi aku belum tahu siapa si pemberi tersebut. Dan sehari-harilah juga aku tertekan sebab itu. Arghhh!
“Eh, kau ni! Lain kali, bagi aku.” Johan mencekak pinggangnya.
“Kau pun peminat coklat ke?” soalku.
“Ya, aku jadi minat coklat sebab gadis pujaan hati adalah peminat coklat. Maka aku kena belajar menyintai coklat sebagaimana dia.” Sengih Johan terhasil setengah. Kemudian dia menunduk, lalu mengeluarkan karbon dioksida dari lubang hidungnya secara mendadak.
“Malangnya, pujaan hati aku tak tau dirinya menjadi pujaan aku.” Sekali lagi sengih separuh Johan terhasil.
“Ooo, kenapa tak terus terang saja? Apalah!” Kepalaku tetiba tergeleng dua kali.
“Aku takut dia menolak. Lagipun, aku dapat rasa diriku ini bukan pilihannya. Aku syak dia ada pilihan sendiri.” Tiada senyum yang berjaya mekar pada bibir Johan. Malah Johan sengaja menonjolkan muka sedih yang dibikin-bikin.
“Belum cuba belum tau. Boleh tahan juga handsome kau ni. Kulit tanne, mata kuyu, err... apa lagi eh?” Aku pandang Johan atas bawah, sampai tersegan-segan dia jadinya. “Ada tahi lalat sebiji kat dagu. Tahi lalat pemanis tu!” usikku lagi.
“Engkau ni, kalau bab menyakat memang johan.” Bibir Johan tercebir.
“Apa pulak aku yang johan? Engkaulah Johan. Aku naib johan saja.” Tetiba gelakku terbabas keluar dari mulut. Namun demi menonjolkan kesopanan dan kesusilaan, dengan pantasnya aku tekupkan tapak tangan ke mulut. Manalah tahu, ada air liur terpercik ke muka Johan, mana tak kusorokkan muka malu itu nanti?
“Ingat tau, kalau kau dapat coklat lagi dan tak berani makan, aku ada.” Johan menepuk-nepuk dada, lalu tersengih sebelum cepat-cepat memotong aku.
“Joe, aku kenal tak pujaan kau tu?” laungku demi menyampaikan gelombang bunyi yang aku hasilkan ke corong telinga Johan. Namun Johan cuma menyerlahkan bibir yang lebar setengah inci sebagai jawapan.

Sebelum kaki ini menjejak ke dalam pejabat, aku baca dulu Al-Fatihah, Tiga Qul, dan Ayat Kursi sebagai pelindung. Hanya pada Allah saja aku berserah. Wahai otak, jangan kau fikirkan sangat tentang individu yang memberi coklat kepada aku.