Thursday, January 19, 2012

3 Julai - 4 Julai


3 Julai. Sabtu. 9.00 pagi.

Pagi yang bosan! Hari ini aku tidak ke mana-mana sangat. Selepas merajinkan diri menolong Nenek cuci pinggan mangkuk selepas sarapan, aku siramkan bunga-bunga Nenek. Kemudian aku bersama-sama Atuk pergi ke Pasar Chow Kit demi mendapatkan bekalan bahan-bahan makanan yang bakal dicernakan oleh perut seluruh penduduk rumah Atuk. Namun agak menggembirakan kerana kereta Atuk tidak meragam lagi. Semalam Abang Mekanik kesayangan Atuk sudah datang baiki kereta itu. Jadi tanpa sebarang kekhuatiran, dengan seronoknya aku mengikut Atuk.


Di pasar, tiada sebarang kejadian yang menarik, selain daripada perasan ada beberapa jejaka memandang-mandang pada aku. Aku seram! Entah-entah mereka itu jejaka Lombok. Eee! Sebagai remaja di akhir sunti, juga bakal gadis aku perlu berhati-hati. Sudahlah emak ayah jauh. Kalau jadi apa-apa, macam mana? 


Di sebalik keperasanan aku ketika di pasar tadi, tiba-tiba aku terfikir adakah aku layak untuk diminati atau meminati makhluk berlainan jantina? Erk, harapa-harap bukan jejaka Lombok! Nauzubillah, minta dijauhkan! Mengapa aku tidak layak? Okey, kembali kepada matlamat asal pewujudan jurnal ini; aku belum baligh! 


Wajarkah seorang remaja yang kini melewati episod-episod terakhir kesuntiannya, dan masih belum datang bulan, diminati atau meminati? Bukankah seseorang perempuan yang tidak datang bulan itu tidak sempurna keperempuanannya? Aku bukan perempuan yang sempurna? Argh, tiba-tiba makin meningkat tahap kepeningan aku apabila memikirkan hal ini. 


Dengan siapa aku boleh meluahkan hati dan perasaan ini? Tidak mungkin dengan Atuk. Abang? Jangan harap! Satu-satunya perempuan di rumah ini ialah Nenek. Nenek? Kalau aku berbincang dengan Nenek, harus aku meningkatkan iman, semangat dan kesabaran dahulu sebelum aku kekeringan air liur, dan berhadapan dengan implikasi keletihan rahang yang maha hebat kerana membuat pengulangan dialog secara berturut-turut di depan Nenek. Mungkin aku akan terlebih buat senaman jari, tangan dan lengan akibat keletihan mengadakan acara menulis-nulis di papan putih. Nampaknya terpaksalah aku melupakan hasrat suci lagi murni itu. Lagipun pemikiran dan pengetahuan Nenek tentu lain berbanding generasi sekarang. Wah, nampak seperti merendah-rendah Nenek pula. Ops!


Mungkin aku boleh tanya satu-satunya menantu Nenek aku yang kini berada di Denmark itu. Namun bukanlah sekarang. Di Denmark sekarang, mungkin satu-satunya menantu Atuk dan Nenek itu masih seronok meningkatkan kuantiti tahi mata. Baik aku hantar emel sahaja kepadanya. Dengan sepenuh keyakinan aku berfirasat beliau ada jawapan untuk itu.


Okey, aku tulis untuk satu-satunya isteri Papa sekarang.


4 Julai. Ahad. 10.15 pagi.

Tadi sebelum membuka emel balasan daripada satu-satunya menantu perempuan yang Atuk dan Nenek aku ada, iaitu mama aku sendiri, aku cuba buzz Rini yang tiba-tiba memunculkan diri dalama senarai Yahoo Messenger aku.
Malangnya, Rini tiba-tiba ghaib. Aku cuba berbaik sangka. Mungkin talian Internet di rumah Rini bermasalah. Jadi dengan tenang aku berharap Rini muncul semula. Tujuan utamanya tentulah kerana aku ingin tahu mengapa sejak akhir-akhir ini dia suka menyendiri. Sebagai seorang sahabat, sudah tentulah aku ambil peduli padanya. Apa gunanya sahabat seandainya tidak mampu membantu, seandainya tidak peduli? 


Aku tunggu punya tunggu, namun sudah setengah jam Rini tetap tidak muncul-muncul semula. Hmm... mengapa dengan Rini agaknya? Sebagai sahabat aku mula naik risau. Namun aku mati akal sekarang. Apa yang mampu aku lakukan? Adakah Rini sudah tidak sayang aku sebagai sahabatnya?


Nampaknya ada emel masuk. Mungkin balasan emel dari Mama. Baik aku tengok. Nanti bila-bila aku sambung ya.


11.00 malam.

Malas betul aku hendak menaip. Bagaimanapun aku perlu juga menaip kerana aku perlu masukkan jawapan daripada Mama mengenai persoalanku semalam. Semalam dalam emel, aku tanyakan kepada Mama mengapa aku masih belum datang bulan. Adakah aku tidak normal? Adakah aku akan berubah menjadi lelaki? Eee, seriaunya aku!


Mahu tahu apa jawapan Mama? Argh! Aku rasa ingin menjerit. Mula-mula sekali Mama taip begini, ‘Ha ha ha!’ Adakah patut? Memang sungguh tidak patut!


Agaknya Mama sangka aku sudah tidak sabar-sabar hendak baligh. Aku bukannya kisah sangat hal ini pada asalnya. Namun sejak akhir-akhir ini aku jadi tidak tentu arah apabila seorang demi seorang rakan-rakan baik aku datang bulan. Tinggal aku dan Rini sahaja yang belum. Tentulah aku risau. Rini pula sejak sehari dua ini asyik melarikan diri dari aku. Aku sungguh tak faham.


Kata Mama, aku kena makan lebih. Makan makanan yang berkhasiat. Aku kurus sangat. Ketika aku baca ayat Mama yang itu, spontan aku bangun dan berdiri di depan cermin besar di depan aku ini. Aku belek-belek diri sendiri. Hmmm... betullah, aku kurus. Bukan sahaja kurus, tetapi aku dikelaskan sebagai bersaiz XS. 


Di dalam kelas, memang akulah yang paling kecil lagi kurus. Walaupun begitu, ramai yang kata aku comel. Diulangi sekali lagi, comel! C-O-M-E-L. Aku akur dan menerima  tuduhan yang dilemparkan padaku itu dengan lapang dada. Ya, ya... aku tahu sesiapa yang membaca entri ini mungkin terasa ingin termuntah serta-merta. Ada aku kisah? 


Berbalik kepada perihal kekurusan aku itu tadi, disebabkan saiz jugalah setiap kali perbarisan, pasti aku berada paling hadapan sekali. Di kelas pun tempat dudukku paling depan juga. Pernah sekali aku sengaja menempatkan diri di bahagian tengah kelas. Namun setiap kali ingin menyalin nota di papan hitam, aku terpaksa berdiri. Kalau aku menulis sambil duduk, memang hampir panjanglah leher aku terjengah-jengah setiap masa. Maklumlah, kepala rakan-rakan menjadi penghalang pandangan aku. Takkan aku mahu cantas pula?


Jika dibandingkan aku dengan Nina, rakan aku yang paling awal datang bulan itu, memang macam emak dengan anak. Aku terfikir-fikir, apakah disebabkan saiz, aku jadi lambat datang bulan? Ketika itu terus sahaja aku duduk semula di depan komputer riba dan gigihkan diri menyambung baca emel Mama lagi.


Kata Mama, orang yang kekurangan gizi pun boleh menyebabkan lambat datang bulan. Yalah, kalau kurang gizi tentulah sistem badan lambat berkembang. Jadi sebab itulah Mama nasihatkan aku supaya makan makanan yang berkhasiat. Aku fikir dan ingat-ingat semula apa yang aku makan selama ini sehingga membuatkan tumbesaran aku agak terganggu tanpa aku sendiri sedari.  


Seingat aku, semua makanan yang halal, tolak batu dan kayu aku belasah sahaja. Memang semua makanan aku belasah sahaja, namun aku jarang mampu menghabiskan makanan yang terhidang dengan jayanya. Mahu habiskan sepinggan nasi pun aku terkulat-kulat. Agaknya sebab itulah aku jadi kurus. Kalau begitu aku perlu ikhtiar supaya berat badan aku bertambah. 


Aku mesti fikirkan caranya!


Okey, mahu berkisah mengenai Rini yang tiba-tiba menjadi pendiam itu pula. Siang tadi aku berSkype dan berYM dengan Red Suzie, Anna dan Nina. Mereka bertiga memberi satu tugasan penting kepada aku. Ah, aku sendiri tiada kerajinan melaksanakan tugasan itu. 


Pada mulanya memang aku menolak, tetapi kemudiannya mereka pula bertolak-tolak sesama sendiri siapa yang lebih layak selain aku. Akhirnya daripada bertolak-tolakan, kami hampir bergaduh. Ini tidak boleh jadi!


Sebelum berlaku perpecahan dalam kumpulan kami lima sekawan ini, aku cepat-cepat menyetujui tugasan itu. Aku sayang persahabatan kami. Bagi aku, sahabat itu amat berharga macam sebatang gigi. Apa? Gigi berharga? Ramai yang tidak sedar betapa berharga dan bergunanya gigi bagi setiap orang. Gigi kekal tidak akan tumbuh lagi apabila patah. Apatah lagi gigi hadapan, mahu senyum pun malu. Seandainya senyum, tentu terserlah kecacatan pada senyuman itu. Kalau makan, tentu kunyahan tidak sempurna. Aktiviti makan pun tidak seronok. Sekiranya pasang gigi palsu, keselesaannya tentu tidak serupa dengan gigi asal yang sudah hilang itu. Hah, sekarang faham betapa berharganya gigi? Begitulah juga dengan sahabat. Tanpa sahabat, maka hilanglah kemanisan hidup ini.


Maka aku dengan moto ‘sedia berbakti demi kawan-kawan’, bersedia menggalas tanggungjawab itu.


Esok aku ceritakan. Apa? Mahu cerita sekarang? Helo, sabarlah sedikit. Selepas tugasan selesailah baru aku kongsikan. Wah, ayat macam ramai sangatlah pembaca blog ini. Padahal hanya aku seorang yang masuk blog ini. Huhu. Baiklah, nanti aku melompat-lompat ke blog-blog orang lain. Ermmm, yang pasti blog remaja perempuan jugalah ya. Mungkin mereka boleh kongsi pengalaman dengan aku. 


Namun seandainya ada pembaca lelaki masuk blog ini pun aku tidak kisah sangat. Cuma aku harap mereka tidak kenal aku, dan aku tidak kenal mereka. Malu ah! Ngeee....

Cikgu Paling Mantap! Bab 1 (Part 2)


“Haaa... begitulah kisahnya sampai saya naik pening dibuatnya.” Cikgu Fea akhirnya menyudahkan ceritanya. Kepalanya masih terasa pening. Pening akibat terkejut dengan insiden kemasukkan lipas, dan pening akibat proses pemvakuman kepala yang julung-julung kali dilakukannya. 

Walaubagaimanapun, Cikgu Fea tidak memberitahu keseluruhan cerita. Dia hanya berkisah sehingga Mi mencampak lipas pada Mirza, dan Mirza mengibas lipas itu kepadanya sahaja. Dia tidak pun cerita mengenai lipas itu terbabas masuk ke dalam rambutnya, mengenai proses pemvakuman kepala oleh Mak Cik Leha, juga mengenai menemuan serbuk-serbuk putih yang disyaki sebagai kelemumurnya itu.

“Ooo... begitu.” Cikgu Yani tergigil-gigil apabila membayangkan lipas berjalan-jalan pada lehernya. 

“Sekiranya saya yang hadapi keadaan itu, mungkin pengsan terus,” ulasnya lagi.

“Macam-macam hal.” Gumam Cikgu Lias sambil menggentel-gentel tahi lalat besar yang berjiran dengan hidungnya itu.

*          *          *

“Bagaimana sekarang?” Kilang air mata Melah Melia sudah tidak mampu dikawal lagi. Berderai-derai air matanya jatuh membasahi kertas ujian yang diterimanya sebelum rehat tadi. Hanya enam puluh peratus?

“Sabarlah. Markah saya lebih teruk. Lima puluh peratus sahaja.” Mirza memulakan sesi pujukan. Risau pula dia kerana Melah Melia tidak mahu makan. Takut pula sekiranya rakannya itu pengsan atau mengalami tekanan perasaan. Melah Melia memang pentingkan kecemerlangan dalam pelajaran. 

“Markah saya lagi teruk. Tiga puluh lima markah!” Tiba-tiba Rinn memunculkan diri di situ tanpa salam.

“Kur semangat! Waalaikumsalam,” sindir Mirza. Tangannya sengaja dilonglaikan dan dengan lemah-gemalai mengusap-usap dada, lagak orang terperanjat.

“Hmmm....” Rinn mencebik, namun tanpa dipelawa dia duduk di sebelah Melah Melia. 

“Ayah saya sudah janji, sekiranya saya berjaya dengan cemerlang pada peperiksaan yang akan datang, saya akan kembali bersekolah di sekolah lama. Sekarang bagaimana?” Melah Melia tersedu-sedu.

“Saya tidak mahu pindah ke mana-mana kelas atau sekolah lain. Saya mahu kelas sekarang sebab ada Rezza dan Rayyan yang kacak. Hihihi.” Rinn tergelak miang. Aksinya yang gedik itu cukup meloyakan Mirza. 

“Perempuan!” Bibir Mirza tercebir dan mimik mukanya menonjolkan tahap kemenyampahan yang tinggi pada Rinn. 

“Saya pun tidak harap hendak pindah ke mana-mana, sebab memang tidak ada peluang. Keluarga saya sengaja hantar saya ke kelas Dua Biru disebabkan mahu saya jadi ‘keras’. Mereka malu agaknya sebab saya lemah-lembut begini.” Muka Mirza tiba-tiba mempamerkan riak-riak sedih. 

“Walaubagaimanapun, saya juga mahu cemerlang dalam peperiksaan,” gumamnya.

“Apa kita hendak buat?” soal Melah Melia sambil mengusap air matanya.

“Entah!” Mirza dan Rinn bergabung suara menjawab.


Friday, January 13, 2012

Cikgu Paling Mantap! Bab 1 (Part 1)

“Aduh! Aduh!” 

Cikgu Lias dan Cikgu Yani seia sekata memandang ke arah pintu bilik guru. Seorang wanita muda bermuka bulat, berkaca mata gaya old school terkocoh-kocoh masuk. Tangan montoknya begitu giat memicit-micit dahi. Aksinya yang terkocoh-kocoh berjalan itu menyebabkan timbunan lemak yang terkumpul di bawah lapisan kulit perutnya beralun-alun. Turut sama beralun-alun mengikut rentak jalannya ialah ‘bahagian tambahan’ di bawah lengannya. Nampak terbuai-buai dan melambai-lambai dengan mesra pula gayanya.

“Kenapa?” Cikgu Lias terkerut-kerut kening.

“Hmmm... fenomena biasa apabila keluar daripada kelas Dua Biru,” gumam Cikgu Yani sambil kepalanya spontan tergeleng-geleng. 

Cepat-cepat wanita itu menghenyakkan duduknya tanpa bersopan-santun pada kerusinya. Cikgu Lias dan Cikgu Yani seia dan sekata memejamkan mata rapat-rapat. Kengerian tiba-tiba berbondong-bondong datang apabila melihat wanita yang tidak ubah seperti bebola daging gergasi yang dibaluti lelemak tepu itu duduk. Bagaimana agaknya sekiranya kerusi itu tidak berdaya menahan berat tuan punya badan? Harus terjadi sesuatu yang lebih menggemparkan bilik guru pula nanti.

“Err... Cikgu Fea mahu ubat tahan sakit atau ubat sakit kepala?” Sebaik sahaja mencelikkan biji mata, Cikgu Lias pantas menawarkan bantuan.

“Terima kasih.” Cikgu Fea, makhluk seperti bebola daging gergasi berbalut lelemak tepu tadi menolak pelawaan tulus ikhlas itu. Dalam masa yang sama dia menarik laci dan mengeluarkan ubatnya sendiri. 

“Ubat darah tinggi.” Cikgu Fea mengeluarkan kenyataan tanpa disoal.

“Kasihan... muda-muda sudah kena darah tinggi.” Cikgu Lias dan Cikgu Yani serentak tergeleng-geleng. Ah, nampaknya mereka berdua sungguh serasi dan seia sekata sejak awal lagi.

“Saya sudah habis ikhtiar bagaimana hendak menangani pelajar Dua Biru,” kata Cikgu Fea selepas dua biji pil berjaya masuk ke kerongkongnya. Ikutkan hati, mahu sahaja dia telan kesemua pil itu. Nauzubillah....

Apabila Cikgu Fea sudah mula membuka cerita, secara serentak tangan cikgu-cikgu yang lincah bekerja tadi terhenti secara drastik. Mata kedua-dua guru itu terfokus tepat kepada muka bulat lagi temban milik Cikgu Fea.
“Begini kisahnya....”

*          *          *

“Markah Melah Melia paling tinggi sekali.” Tangan montel Cikgu Fea menghulur kertas ujian yang siap bertanda itu kepada Melah Melia. Namun muka comel Melah Melia yang berkaca mata setebal botol sos cili itu tiada selera dia hendak pandang. “Enam puluh peratus!”

Drastik muka comel Melah Melia yang tadinya menggayakan senyuman sehabis lebar, kini mula menonjolkan wajah kurang menawan sebaik Cikgu Fea menyelesaikan ayat terakhirnya. Melah Melia mula menunduk. Suara Cikgu Fea yang menggetarkan gegendang telinganya tadi sudah mula bergema-gema dan akhirnya langsung dia tidak dengar. Pendengarannya seolah-olah hilang pula. Kilang air matanya aktif mendadak secara auto.

“Yang lain... semuanya bungkus!” Suara Cikgu Fea yang nyaring itu langsung tidak menarik perhatian pelajar Dua Biru. Masing-masing membuat aktiviti sendiri. Cikgu Fea yang berasa sakit hati itu terpaksa meneruskan aktiviti bercakap-cakap seorang diri. Dia fikir dinding dan kerusi meja di kelas itu sahaja menjadi pendengar setianya. 

Rinn yang duduk bersebelahan dengan Rezza di tepi tingkap, sibuk membelek-belek muka pada cermin kecil. “Eee... jerawat!” gumamnya dengan bibir memanjang 0.5 inci ke hadapan. “Rezza, jerawat saya comel tak?” soalnya mengada-ada. 

Rezza buat tidak endah dan terus tenggelam dalam dunianya sendiri. Mukanya tetap dihadapkan ke luar tingkap tanpa jemu. Hatinya tidak lagi berada di kelas ini.

Do, Re dan Mi pula tidak sudah-sudah menguap melebarkan bukaan mulut masing-masing. Sekali pandang mereka bertiga seperti sedang mengadakan pertandingan mulut paling luas pula.
Rayyan dan Naznin pula tidak habis-habis mengatur strategi bagaimana dapat menewaskan sesama sendiri dalam apa jua bidang. Fikiran mereka sentiasa berputar ligat hendak saling kena-mengenakan sesama sendiri. 

“Hei!” Vokal Naznin yang nyaring itu tiba-tiba terbabas keluar dari peti suaranya apabila sebatang kapur kontot dilontar tepat oleh Rayyan pada kepalanya. Kegeraman Rayyan secara tiba-tiba menjadi tidak terkawal apabila terkenangkan segala macam gelagat gedik melampau musuhnya itu.

Cikgu Fea buat-buat tidak dengar walaupun jantungnya nyaris gugur akibat  terperanjat yang bukan sedikit. Dia terus membacakan markah-markah yang ditanda pada setiap kertas ujian itu, sambil begitu rajin dan dedikasi menyerahkan kembali kepada tuan punya kertas.

Tidak lama kemudian dua buah roket kertas terbang bersimpang-siur di depan batang hidung Cikgu Fea tanpa diketahui siapa tuannya. Namun sekali lagi Cikgu Fea buat-buat tidak nampak walaupun paras takat didih darahnya hampir mencecah ke paras berjaga-jaga.

Tidak semena-mena seekor lipas yang entah dari mana tersesat di bawah meja Mi. Kelopak mata Mi yang tadinya rasa berat seperti ditindih batu-bata, terus sahaja segar-bugar. Pantas dicekupnya lipas yang kasihan itu lalu dicampaknya ke arah Mirza yang duduk selang semeja di hadapannya. 

Melah Melia yang begitu gigih menghasilkan air mata disebabkan prestasi ujian bagi mata pelajaran Cikgu Fea yang mendukacitakan itu, mula menggosok-gosok mata. Tidak lain dan tidak bukan, disebabkan terdapat bayangan objek hitam kecil melekat pada lengan baju Mirza yang duduk di sebelahnya. Cermin mata tebalnya yang dibuka ketika menggosok-gosok mata tadi, cepat-cepat dikenakan semula demi pandangan yang lebih jelas. 

“Err... lipas.” Lemah-lembut sungguh nada suara Melah Melia. Tenang betul dia walaupun lipas itu mula bergerak-gerak di lengan Mirza. Mungkin lipas yang tidak bersalah itu berasa pening akibat dicekup oleh Mi tadi.

“Hah?” Mirza menonjolkan wajah tercengang-cengang. Sah-sah dia tidak sedar ada seekor lipas pening melekat pada lengan bajunya. Cikgu Fea pula masih meneruskan sikap dedikasinya mengagihkan semula kertas ujian kepada para pelajarnya.

“Lipas di lengan baju awak.” Melah Melia sudah menghentikan aktiviti pembaziran air mata, sambil bibirnya memuncung ke arah lipas yang malang itu.

“Hah, lipas?” Mirza mula menonjolkan kekalutannya. “Lipas! Lipas!” Keadaan menjadi gempar apabila Mirza mula bangun sambil terlompat-lompat kegelian dan begitu giat mengibas-ngibas lipas di lengannya. 

“Eee....” Rinn sudah melompat di atas kerusi. Kebimbangannya terserlah. Risau sekiranya lipas itu terbang ke arahnya pula. Rezza hanya menjeling sekali lalu sebelum memandang semula ke luar.
Bagaikan tahu-tahu sahaja cerita ini hendak dipanjang-panjangkan lagi, lipas yang malang itu terpelanting ke leher Cikgu Fea yang berdiri lima kaki jaraknya daripada Mirza. 

“Cikgu, lipas!” Jeritan Naznin terlompat melepasi bibir sambil matanya terbuntang dengan kebesaran maksima. Jarinya lurus menuding ke arah Cikgu Fea.

“Hah? Mana? Mana?” Cikgu Fea mula menyerlahkan kekalutan dan rasa geli-geleman.
“Masuk ke dalam rambut cikgu!” Naznin terjerit-jerit.

Habis gempar kelas itu apabila Cikgu Fea yang nampak seperti bebola daging gergasi bersalut lelemak tepu itu terkinja-kinja kegelian. Bahagian-bahagian tambahan pada tubuhnya ikut beralun-alun dengan kurang gemalai mengikut gerakan tubuhnya. Dia mengibas-ngibas dan menggeleng-geleng kepala dalam kadar yang pantas. Harapannya cuma satu, mahu lipas yang pening itu mengeluarkan diri. Malangnya, lipas pening itu ada kemungkinan bertambah pening apabila gelengan kepala Cikgu Fea menjadi semakin tidak terkawal. Ia juga dikhuatiri tersesat di celah-celah rambut kerinting Cikgu Fea yang kembang itu. Oh, malangnya nasib lipas itu!

Tanpa sedar, Cikgu Fea melakukan tawaf beberapa pusingan di dalam kelas Dua Biru sambil meneruskan kegiatan menggeleng-gelengkan kepala. Mirza masih tergigil-gigil pada koordinatnya. Rasa geli-geleman masih tertinggal pada dirinya. Melah Melia pula menekup muka akibat tidak tergamak menyaksikan aktiviti tawaf yang dilakukan Cikgu Fea. 

“Oh, tragis!” Rinn menekup mulutnya seraya menggeleng-geleng tidak percaya. Sungguh tidak seronok melihat Cikgu Fea berlari-lari begitu. Sumpah!

“Cikgu pergi dewan. Mak Cik Leha sedang vakum bilik mesyuarat.” Tiba-tiba Rayyan datang dengan idea gilanya. 

“Hah? Vakum?” Cikgu Fea masih lagi mengibas-ngibas rambutnya. 

“Suruh vakum lipas yang menyorok dalam rambut cikgu!” Rayyan melaung kuat dengan harapan Cikgu Fea mendengar. Dalam keadaan kalut begitu, ada harapan Cikgu Fea tidak dapat menumpukan perhatian kerana fokus mindanya ketika itu hanyalah pada kegelian yang dialaminya. 

Tanpa melengahkan masa walau sedetik, Cikgu Fea berlari keluar menuju ke bilik mesyuarat yang setentang dengan kelas mereka. Sebaik sahaja Cikgu Fea keluar dari kelas Dua Biru, kesemua pelajar kelas Dua Biru menarik nafas lega. 

“Mak Cik Leha! Tolong! Tolong!” 

“Mengapa?” Mak Cik Leha, tukang cuci sekolah itu dilanda wabak terperanjat apabila tiba-tiba diterkam oleh Cikgu Fea tanpa bersopan-santun. 

“Tolong vakum! Tolong! Cepat! Cepat!” gesa Cikgu Fea. Mukanya masih menonjolkan wabak cemas yang masih menggebu-gebu. Dia terloncat-loncat di depan Mak Cik Leha tanpa segan silu. Tangannya begitu giat mengibas-ngibas kepalanya.

“Hah?” Mak Cik Leha tercengang-cengang. Akalnya masih belum berjaya menangkap apa yang diingini oleh Cikgu Fea. “Apa dia?” soalnya dengan muka berkerut, menambahkan lagi kedut-kedut sedia ada pada mukanya.

“Lipas! Lipas!” Kali ini Cikgu Fea terjerit-jerit. “Dalam rambut saya!” Tangannya mengibas-ngibas rambutnya tanpa henti sejak tadi. “Cepat Mak Cik Leha! Cepat!” Cikgu Fea sudah tidak terkawal aksi dan gelagatnya.

Sepantas yang boleh, Mak Cik Leha menghidupkan vakum lalu menghalakan muncung vakum ke kepala Cikgu Fea. Maka bermulalah aktiviti memvakum seluruh kepala Cikgu Fea. 

Selepas selesai, Mak Cik Leha buka tempat simpanan kotoran pada vakum itu. “Hah, ada pun,” katanya sambil menguis seekor lipas yang sudah lembik tidak bermaya. Alangkah kasihan lipas yang tidak berdosa itu.

Cikgu Fea mengusap-usap dadanya yang masih berombak kencang itu beberapa kali. Sah, lipas tersebut berjaya dikeluarkan dari rambutnya.

“Eh, serbuk apa putih-putih ini?” Mak Cik Leha menguis-nguis serbuk berwarna keputih-putihan yang menimbun pada jasad lipas itu. 

“Tentulah habuk pada karpet bilik ini,” balas Cikgu Fea sambil mengawal kembali ritma pernafasannya. 

“Eh, tadi mak cik sudah buang dan bersihkan kantung habuk selepas selesai memvakum bilik ini, iaitu sebelum memvakum kepala cikgu.” Seperti gaya seorang pakar forensik, Mak Cik Leha mencalit sedikit serbuk itu dengan telunjuknya. “Ini macam kelemumur pun ada,” katanya sambil menghidu-hidu sedikit.

“Sah!” Mak Cik Leha tumpukan fokus matanya pada Cikgu Fea. “Memang kelemumur,” katanya dengan keyakinan yang tinggi.

“Aduh! Aduh! Pening! Saya minta diri, terima kasih.” Cikgu Fea bangun dalam kadar yang pantas lalu keluar dari situ sambil memicit-micit kepalanya.

“Ish ish ish! Patutlah lipas ini pengsan sampai tidak jumpa jalan keluar.” Mak Cik Leha menggumam-gumam sambil memandang simpati pada lipas yang tersebut di atas.